Kolum ‘Dubai Online 2.0’  oleh Fudzail 
klpos.com
No.22
 
 
Darul Hikmah Yang Merentas Sempadan
 
Dengan pembangunan fizikal yang sedang pesat dan memuncak di UAE, pengumuman 
penubuhan semula Darul Hikmah untuk menjana modal insan dan ilmu pengetahuan 
serta intelektualiti dikalangan bangsa Arab dan umat Islam menjadi sesuatu yang 
cukup membahagiakan.
 
Sekali lagi, Naib Presiden merangkap Perdana Menteri UAE dan Raja Dubai, Sheikh 
Mohammed bin Rashid Al Maktoum menjadi tumpuan, kali ini bukan mengumumkan satu 
lagi projek mega yang mana semakin kerap di Dubai, tetapi inisiatif murni dalam 
memperbaiki taraf pendidikan dikalangan bangsa Arab khususnya dan umat Islam 
amnya.
 
Darul Hikmah ditubuhkan dibawah Yayasan beliau dimana sebanyak USD10 billion 
telah di peruntukkan dari poket beliau sendiri. Sheikh Mohamed menyasarkan 15 
objektif yang antara lain menambahkan peluang pekerjaan dikalangan belia Arab. 
Dengan peratusan penggangguran yang tinggi (15%) dikalangan mereka, maka 
cabaran utama ialah mencipta 80 juta peluang pekerjaan untuk sedekad lagi.
 
Ucapan penuh beliau boleh diakses di 
http://archive.gulfnews.com/nation/Education/10163394.html
 
Saya tertarik dengan penubuhan Darul Hikmah sebagai sebuah ‘rumah’ yang menjadi 
tapak kepada ilmu pengetahuan serta penyebarannya, memberi peluang kepada 
anak-anak muda yang berkaliber dalam menjayakannya.
 
Sheikh Mohamed membuat cabaran kepada mereka yang berminat untuk menghasilkan 
1,000 judul buku setahun untuk meluaskan dan memperkayakan bahan ilmu 
pengetahuan melalui pembacaan. Ini termasuk kerja-kerja hasil terjemahan dari 
pelbagai bahasa, tentunya juga dari Bahasa Melayu.
 
Inisiatif khas di ujudkan untuk menghasilkan lebih ramai penterjemah, dari dan 
ke bahasa Arab serta menawarkan penulis luar untuk menjadi tetamu di Dubai 
dalam menghasilkan kerja-kerja penulisan buku.
 
Darul Hikmah juga akan membantu para syarikat penerbitan dalam memperbaiki 
prasana serta pemasaran. Ini termasuk mencari bakat-bakat pengarang baru yang 
boleh dididik dan dikembangkan untuk mencapai tahap kecemerlangan.
 
Inisiatif sebegini sememangnya memberi anjakan kepada kelesuan penerbitan buku 
yang bermutu dan berfaedah dikalangan pasaran umat Islam. Mungkin dengan 
keadaan ekonomi yang tidak baik menyebabkan kurangnya minat membeli dan membaca 
buku.
 
Seperti kata Sheikh Mohamed, kita mesti menerima hakikat yang keadaan sekarang 
memerlukan kekuatan untuk mengubah realiti keadaan ummah. Lantas tema inisiatif 
beliau ialah ‘Ilmu Pengetahuan Adalah Kunci Kepada Masa Depan Ummah’.
 
Mungkin inisiatif sebegini boleh ditiru oleh pengerusi OIC ketika ini yang 
sibuk melancarkan pelbagai koridor pembangunan dengan projek bernilai bilion 
bilion. Kita memerlukan juga ‘koridor ilmu’ yang boleh memberi keseimbangan 
kepada pembangunan fizikal semasa yang melebihkan hiburan melulu sejak sedekad 
lalu.
 
Kebanjiran pelbagai universiti mungkin boleh meningkatkan peluang lebih ramai 
untuk mendapatkan ijazah. Tetapi kuantiti tidak mencerminkan kualiti siswazah. 
 
Mungkin telah ada usaha ke arah melahirkan ‘universiti unggul’ dikalangan 
universiti tempatan yang sukar untuk dicapai tanpa kebebasan atau autonomi yang 
sewajarnya baik buat tenaga pengajar mahupun para pelajar. 
 
Dengan pelbagai akta yang menaungi ‘kebebasan universiti’, menara gading tidak 
lebih sekadar kilang mengeluarkan ijazah.
 
Kebetulan Kementerian Pengajian Tinggi, melalui Pusat Promosi Pendidikan 
Malaysia (MEPC) membuat Ekspo Pendidikan Malaysia di Dubai dengan penyertaan 
sebanyak 14 universiti tempatan (awam dan swasta) Malaysia. 
 
Dikatakan seramai 50 ribu pelajar asing dari 150 buah negara sedang melanjutkan 
pelajaran di Malaysia dan kerajaan menyasarkan seramai 100,000 menjelang 2020 
dimana mahu menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan tinggi. 
 
Persoalannya, bagaimana pula dengan jumlah siswazah tempatan yang menganggur? 
Apakah mereka ini semakin bertambah atau berkurangan? Tidak pasti realiti 
semasa, tetapi dengan pelancaran pelbagai koridor yang menjanjikan ratusan ribu 
peluang pekerjaan selain kekayaan kepada kroni, kita berharap keadaan akan 
bertambah baik demi generasi akan datang.
 
Kalau tidak, mungkin para peneraju yang merancang dasar dan perlaksanaan boleh 
melihat ke Asia Barat dalam menumpang peluang dari Darul Hikmah!
 
 
(Fudzail adalah ekspatriat Malaysia yang bermastautin di Dubai sejak tahun 
2000. Berkelulusan sains komputer dari New Zealand. Pernah terlibat dalam 
pembangunan Dubai Internet City, Palm Jumeirah dan 15 projek mega lain. Kini 
menguruskan projek pembinaan prasana dan utiliti di Palm Jabel Ali. Beliau 
boleh dihubungi melalui [EMAIL PROTECTED] serta kerjadubai.blogspot.com)

__________________________________________________
Do You Yahoo!?
Tired of spam?  Yahoo! Mail has the best spam protection around 
http://mail.yahoo.com 

Kirim email ke