Kolum ‘Dubai Online 2.0’  oleh Fudzail
No.23

Zainudin Maidin Yang Bergigi Kuning

Bagi kami yang berada di luar negara, 10 November 2007 memang satu hari yang 
mendebarkan. Jarak tidak membenarkan kami turut serta untuk mengharungi tembok 
polis, perang saraf, ugutan ‘saya pantang dicabar’ dalam sama-sama mencipta 
sejarah tanahair yang lebih hebat dari makan angin ke angkasa atau 
meng’angkasa’kan bangsa.

Memang terasa ingin sekali turun ke jalan raya untuk menyuarakan protes aman 
sebagaimana termaktub dalam rukun demokrasi. Ramai yang masih menganggap, 
demokrasi itu sekadar pilihanraya. Dan pilihanraya itu sekadar membuang undi.

Perarakan anjuran BERSIH ini mengembalikan nostalgia sewaktu dikejar polis dan 
disembur air di era reformasi. Setiap petang Sabtu untuk ramai-ramai 
mengutuk-ngutuk sang PM ketika itu. Perbicaraan ‘tilam sebagai saksi’ dan Balck 
14 yang memberi pengalaman sebagai rakyat yang prihatin dan mahukan perubahan.

Itu adalah deretan peristiwa yang tidak mungkin dilupakan, kerana selepas 
pilihanraya, saya dibuang kerja 24 jam tanpa alasan dan menjadi imigran 
sehingga sekarang.

Panggilan untuk berdemonstrasi dalam menegakkan kebenaran akan sentiasa 
disahut. Peduli apa dikategorikan halal atau haram mengikut hukum hadhari dari 
golongan yang semakin tidak peduli, samada halal atau haram, demi mencapai 
matlamat untuk terus kekal berkuasa atau mahu menjadi perdana menteri sebelum 
umur 40 tahun.

Tentunya puak-puak ‘beraja di mata, bersultan di hati’ yang sejak 50 tahun 
lalu, evergeen dari dulu, kini dan selamanya ini terus mahu berkuasa melalui 
proses ‘pilihanraya paling demokratik ala Malaysia’.  Sistem demokrasi yang 
dipunahkan secara sistematik selama 22 tahun oleh Abu Mirzan dan disambung 
warisannya dan bertambah kronik sejak 4 tahun lalu oleh Abu Kamarudin.

Demokrasi yang membenarkan parti pemerintah menyalahgunakan segala jentera dan 
harta kerajaan untuk berkempen dan memastikan badan seperti SPR, kehakiman dan 
Polis sebagai kuda tunggangan. Demokrasi yang memastikan semua media dikuasai 
oleh parti pemerintah dan kroni dan sekatan pada akhbar milik pembangkang. 
Demokrasi yang menidakkan pilihanraya yag adil, telus dan terbuka dalam erti 
kata sebenarnya.

Demokrasi yang memperlihatkan semakin kronik korupsi di semua peringkat dan 
sayap kerajaan serta penyelewengan yang melibatkan bilion ringgit tanpa apa-apa 
tindakan berkesan, selain ‘kerja bersama saya’ sebagai slogan imej hadhari. 
Demokrasi yang menyuburkan rasuah sebagai budaya kehidupan masa kini kerana BPR 
semakin berfungsi untuk melindungi perasuah dari didakwa dan menghukum whistle 
blowers dari membongkar kecurangan.

Begitulah pada 10 November 2007, dengan kemajuan teknologi, kami mengikuti 
perkembangan lanjut perjalanan perhimpunan 100 ribu rakyat melalui SMS secara 
lintas langsung, Internet dan tentunya Al Jazeera. Sebagai tanda sokongan, 
berbaju warna kuning sepanjang hari.

Berkebetulan pula, di Dubai ketika itu dalam persiapan acara Air Show dan rumah 
saya yang bersebelahan dengan lapangan terbang dapat menyaksikan pelbagai 
latihan pertunjukan secara terus menerus. Antara menonton raptai Air Show yang 
mengkagumkan dan liputan demonstrasi yang lebih mengkagumkan, dapat dirasakan 
keseronokan dan kesyukuran setelah mengetahui yang puluhan ribu rakyat telah 
menguningkan Kuala Lumpur.

TV Al Jazeera yang berpengkalan di Doha dan sama beroperasi di Kuala Lumpur 
memberikan liputan yang telus. Wartawannya terkena air asid secara langsung 
untuk disaksikan jutaan lain di dunia mengenai, inilah wajah ‘Demokrasi ala 
Malaysia’.

Begitupun, kegembiraan dan keseronokan melihat kejayaan wakil BERSIH menghantar 
memorandum pilihanraya kepada DYMM Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agung 
sedikit tercela apabila mendengar suara Sang Menteri Penerangan yang 
diwawancara di Al Jazeera.

Tidak pasti sama ada Sang Menteri yang pernah berjawatan ketua pengarang sebuah 
akhbar perdana milik parti pemerintah itu tidak memberus gigi dan bergigi 
kuning sewaktu ditanya soalan.

Mungkin juga ketua propaganda kerajaan ini telah terkejut beruk melihat 
ramainya rakyat berani melanggar hukum haram syura Hadhari walau diperlekehkan 
sebagai ‘beruk di tepi-tepi jalan’ oleh sang menantu kesayangan diperhimpunan 
angguk-angguk terbesar di dunia.

Malah Sang Menteri dengan angkuh berkata sehari sebelumnya yang perhimpunan 
rakyat ini tidak mungkin mendapat sambutan. Apalagi tiada umpan seperti konsert 
dan makanan percuma, apalagi projek besar di mana-mana koridor ekonomi yang 
tumbuh macam cendawan telah dijanjikan oleh penganjur, seperti yang biasa 
dilakukan oleh parti pemerintah.

Dalam ketawa terbahak-bahak mendengar jawaban yang tidak kena mengena dengan 
soalan serta bahasa Inggeris tunggang langgang, terasa begitu sedih dan terhina 
sebagai rakyat Malaysia di luar negara. Begitu teruk dan tiada kelasnya imej 
seorang ahli kabinet negara yang memalukan sekali.

Begitu emosional dan penuh dengan prasangka buruk terhadap orang lain. Helo 
Zam, kalau dibandingkan RTM dengan Al Jazeera, tentunya tidak terbanding sama 
ada dari segi mutu mahupun jenama secara global.

RTM sejak dulu sehingga sekarang tidak lebih longgokan propaganda dan saluran 
maklumat yang tidak mempunyai kredibiliti. Lebih dari itu, menteri yang 
bertanggungjwab juga sama tidak mempunyai kredibiliti walau dijulang sebagai 
Tokoh Wartawan Negara.

Pada Zainudin Maidin, anda telah memalukan negara dan menjatuhkan imej Malaysia 
sebagai salah satu negara ‘demokrasi’ yang dikatakan paling maju dikalangan 
negara OIC dan sepatutnya di hukum buang negeri selama-lamanya!


(Fudzail adalah ekspatriat Malaysia yang bermastautin di Dubai sejak tahun 
2000. Berkelulusan sains komputer dari New Zealand. Pernah terlibat dalam 
pembangunan Dubai Internet City, Palm Jumeirah dan 15 projek mega lain. Kini 
menguruskan projek pembinaan prasana dan utiliti di Palm Jabel Ali. Beliau 
boleh dihubungi melalui [EMAIL PROTECTED] serta kerjadubai.blogspot.com)

__________________________________________________
Do You Yahoo!?
Tired of spam?  Yahoo! Mail has the best spam protection around
http://mail.yahoo.com 

Kirim email ke