BERSEDIH ITU BUKAN PILIHANKU LAGI !
  
  
  Tiada sesuatupun yang menimpa seorang Muslim dari susah hati, dukacita,  
penat dan penyakit yang berterusan, tidak pula dengan kesedihan dan kesakitan,  
hinggalah kepada tusukan duri, melainkan dengannya Allah hapuskan dosa  hamba 
itu.  ( Hadith Riwayat al-Bukhari dan Muslim  )
  
  FADLI merenung jauh pantulan bayang sepenuh dirinya dalam cermin besar  di 
hadapannya. Semakin merangka. Matanya bagaikan bebola separuh terbenam  di 
tanah mendap.  Sinar yang terpancar dari irisnya bagai pelita malap,  bukan 
lagi gejolak api yang marak menyala, apatah lagi untuk menandingi  gemilang 
bintang Thuraya yang menjadi sang ratu di langit malam. Pipinya  pun demikian 
juga, menyerlahkan lagi tulang pipi yang sememangnya tinggi  menonjol.    
  
  Seri di wajahnya kini udam bagaikan tembaga kusam tak bergilap, sebagaimana  
malapnya kandil semangat tuan empunya wajah untuk hidup.
  
  ( CINTA BOLEH MEMBUAT MANUSIA EDAN ! Aku sangkakan diriku sudah cukup kuat  
untuk berdepan dengan hakikat yang kuhadapi sekarang. Rupa-rupanya tidak  ! )
  
"Maaf, kiranya email ini tidak selembut yang saudara harapkan, namun ini  
bukanlah masanya untuk saya menjadikan surat ini sebagai gelanggang bermain  
bahasa, apatah lagi untuk memainkan kata-kata demi mempermainkan perasaan  
saudara. Saya hanya ingin menyatakan yang saya tak sanggup menanggung akibat  
yang saya bakal terima jika saya menuruti sahaja kemahuan saudara."
  
  Email kiriman Anizah minggu lepas masih menjadi hantu dalam diri seorang  
Fadli. Titipan yang telah menoktahkan segala harapan dan impian yang tersimpan  
sejak lima purnama nan berlalu.
  
  Sejak itu, ingatan Fadli sarat berisi montaj imbauan kenangan zaman remajanya 
 yang saling asak-mengasak tanpa henti. Zaman yang penuh tipu daya dan fitnah  
pesona. Ego yang beraja dan bersultan. Bisikan iblis laknatullah dan pujuk  
rayu nafsu menjadi perdana menteri serta para menteri kabinet kerajaan  diri.
  
  
  ( Fahd yang kacak,
  Fahd yang pintar,
  Fahd yang ranggi,
  Fahd yang loaded... )
  
  
  Terpedaya. Fadli tenggelam dalam alam syok sendiri. Dangkal amat pula akal  
fikirnya dalam mentafsirkan wujud manusia di sekelilingnya, hingga dia  sampai 
hati melakukan penindasan.
  
  "Nak jadi kawan aku konon... EH ANIS, TENGOKLAH MUKA KAU TU DULU DI  CERMIN 
!", itu yang pernah dijerittempikkannya pada Anizah di hadapan  seisi kelas.
  
  Babak pertemuan semula di luar duga melela pula ke ingatannya...
  
  ( Ketika melangkah masuk lewat pintu cermin McDonalds, dadaku berdebar  
semacam, seakan-akan ada sesuatu yang hebat akan berlaku hari itu. Lalu  aku 
terlihat seorang gadis bertudung hitam duduk di sudut yang terpencil  bersama 
seorang gadis lain. Manis. Debar semakin hebat. Nanar rasanya.  Kaukah itu, 
Anis ? Mustahil ! Semakin aku mendekati meja itu, hakikat itu  semakin nyata. 
Aduhai, kau bukan lagi si gadis yang `berdosa padaku' hanya  kerana kau 
bertubuh gempal dan tidak jelita. Kulitmu sudah bertukar cerah  dan halus. 
Matamu bersinar ceria sekalipun tidak sebundar mata Iffah Sabarinah.  Hidungmu 
tidak mancung macam hidung Iffah, tetapi wajahmu seakan ada aura  penarik. Ada 
getar tenaga yang menyebabkan kau tidak jemu untuk kupandang  berkali-kali. 
Tiada lagi tanda-tanda hina diri dalam bahasa badanmu. Alangkah  !
  
  Meskipun wujud gendala yang menjadi aral, aku tak hiraukan semua itu.  Apa  
alamat emailmu dan di mana alamat posmu, sanggup aku lacaki. Syukur, pada  
balasan email pertamaku kau menyatakan keikhlasanmu untuk memaafkan
  dosa-dosa yang pernah kulakukan. Argh Anis, mulianya hatimu! Dan aku tidak  
lagi malu untuk mencintai dirimu. )
  
  Lalu email terakhir Anizah tiba...  
  
"Namun saya tak akan menamatkan email ini begitu sahaja, tanpa sebarang  
penjelasan kepada jawapan saya. Mudah-mudahan saudara memperolehi kekuatan  dan 
ketenangan lalu melangkah jauh untuk melupakan terus diri saya yang  tidak 
menjanjikan apa-apa buat saudara."
  
  Fadli pun merasakan, bagaimanakah rasanya berada di tempat Anizah pernah  
berada dulu.
  
  ( Azab. Sengsara. Lara.  Amat menyakitkan, sekalipun penolakanmu berasaskan  
rasional akal, masih berlapis santun lagi penuh penghormatan.  Apapun,  apa 
yang telah aku lakukan padamu dulu lebih perit lagi. Bukankah mulutku  sendiri 
yang telah melontarkan kata-kata yang tak pantaspun disebut oleh  makhluk yang 
bernama manusia, lalu menjatuhkan nilai diri Anis di hadapan orang lain ? Tak 
cukup lagi, aku kibarkan pula  api permusuhan, hanya kerana dia tak memiliki 
apa yang aku impikan dari  seorang gadis! Inikah namanya kifarah ? )
    
  
  II
  
  " FAHD, boleh jadi, kekecewaanmu sekarang adalah perkara terbaik yang  
ditakdirkan harus berlaku. Tentunya, untuk kebaikan dirimu juga...",  [1] 
Sheikh Muzzakir menuturkan kata-katanya  dengan nada lembut memujuk, butir demi 
butir, seusai membaca aksara terakhir  dari kertas bercetak di tangan kanannya.
  
  Dengan perlahan-lahan, dia pun menepuk bahu Fadli yang asyik tertunduk  
menghadap muka meja yang diperbuat  daripada simen.
  
  Fadli mengangkat kepalanya lalu merenung jauh ke hadapan dengan pandangan  
mata yang rudu, ke arah pokok-pokok bunga yang menghiasi taman. Ada air  mata 
yang mengalir dari sudut mata Fadli. Tatkala mata Sheikh Muzakkir  melihat ke 
dalam iris mata Fadli yang kelam bagai siang ditabiri mega mendung,  ada 
firasat yang memberi isyarat bahawa masih ada duka dan kecewa yang  sedang 
membelenggu.
  
  Anizah !
  
  Sekalipun air dapat menang atas api dengan kekuatannya,
  Air pun mendidih oleh api saat ia berada dalam kendi.
  Saat kendi menjadi pemisah di antara keduanya,
  Udara ( keinginan ) pun menjadikan aksi air nihil.  
  
  Terlihat dirimu adalah pemimpin dari isterimu, bagai air;
  Hakikatnya, dirimulah yang dipimpin olehnya dan memohon padanya.
  Itulah keanehan lelaki,
  Ia tak mampu menahan keinginan haiwaninya, itulah kelemahannya. [2]
  
  
  Sheikh Muzzakir hanya menggelengkan kepalanya tatkala mengingati kembali  
bait demi bait, stanza demi stanza puisi nukilan Maulana Jalaluddin Rumi  yang 
tiba-tiba merapung di kotak mindanya.
  
  Kemudian, isi email Anizah pula yang mengambil-alih :
  
"Pertama, bercintan-cintun sebelum kahwin, yang menjadi budaya popular 
muda-mudi  zaman sekarang, bukanlah gaya hidup pilihan saya...
  
  Agama yang kita sama-sama anuti ini bukan hanya datang untuk mengajar kita  
melafazkan dua kalimah syahadah, solat fardhu lima  waktu ( dan fardhu jumaat  
buat yang lelaki ), puasa, zakat dan haji mahupun apa-apa sahaja yang  kita  
belajar dari darjah satu sampai habis SPM dalam matapelajaran  Pendidikan  
Islam, tetapi turut menjaga kesucian dalam pergaulan antara lelaki dan  
perempuan, mengatur ia agar berada dalam kadar  yang sewajarnya demi keamanan 
dan ketenteraman dalam masyarakat. Dan  apa  yang saudara pohonkan dari saya, 
jelas bertentangan dengan apa yang  Islam  ajarkan. Bukanlah Islam yang kita 
anuti ini menentang percintaan atau  bercinta-cintaan,  tetapi percintaan 
biarlah berada dalam saluran yang dihalalkan dan  menuntut  kematangan peribadi 
serta pertanggungjawaban lagi menghormati nilai  kendiri-  PERKAHWINAN !  
Bukannya hubungan yang masih dalam teka-teki ke  mana  akhirnya, tanpa matlamat 
yang jelas. Saya dan mana-mana perempuan  bukanlah  bahan
 eksperimen `try and error', yang boleh dibuang bagai sampah,  macam bola 
ditendang ke sana ke mari bila hati sudah tak suka.
  
  Ketahuilah, pergaulan antara lelaki dan perempuan yang tidak dijaga merupakan 
 satu daripada puluhan pintu kehancuran akhlak dan moral. Memang kita pernah  
belajar tentang Tamaddun Rom, permulaan serta kejatuhannya daripada subjek  
Sejarah Peradaban Dunia semasa Tingkatan 4 dulu. Tetapi, apa yang kita  tidak 
pelajari dan ketahui di masa itu ialah
  seks dan keruntuhan moral menjadi punca sebenar kejatuhannya !"
  
  
  ( Maha Suci Allah yang menunjukkan padaku dan orang-orang seperti Anizah  
tentang bahaya yang tersembunyi dan arus ganasnya sedang menghanyutkan  ummah 
Islam sekarang. Romantisisme dan sentimentaliti. Jiwang-jiwang dan  bersentimen 
emosi semata-mata. Senjata syaitan untuk membawa manusia kepada  pemujaan 
makhluk dan ideologi muluk-muluk. Kerananya, manusia tidak lagi  hidup dalam 
keadaan rasional dan sedar akan Allah SWT sebagai penguasa  alam semesta yang 
mengatur kehidupan mereka, tetapi lebih menurut orak-arik  nafsu dan emosi, 
lalu kehidupan masyarakat menjadi seperti daun-daun kering yang berterbangan 
simpang-perenang  dipuput angin. Justeru itu dimanipulasikan Barat untuk 
memperbudakkan umat  yang kian jauh dari kesyumulan ajaran Islam. Mesej demi  
mesej dipropagandakan  lewat wadah elektronik mahupun medan susastera, lebih 
menyihirkan dari  Harut dan Marut ! ) [3]
  
  Entah mengapa, indera keenam Sheikh Muzzakir dapat merasakan aura 
keistimewaan  Anizah, sekalipun tidak pernah bersua wajah dengan gadis ini. Dan 
dia dapat  merasakan Fadli bukanlah jejaka yang terbaik untuk Anizah.
  
"Saya ingin berterus-terang bahawa sesungguhnya saya berasa terganggu dengan  
permintaan saudara - hingga prestasi pelajaran saya jatuh. Apakah kesannya  
kepada saya? Saya kecewa kerana telah mengecewakan harapan semua orang  yang 
telah mempercayai dan menaruh harapan kepada saya - keluarga, pihak  kerajaan 
yang telah membiayai pengajian saya dan seluruh rakyat Malaysia  yang membayar 
cukai kepada kerajaan, lebih-lebih lagi rakyat Sabah yang  menunggu kepulangan 
saya untuk berbakti kepada mereka.
  
  Sayalah pemegang amanah mereka, berdosalah saya andai saya kecewa kerana  
kecuaian saya sendiri. Bukan hanya berdosa kerana mencuaikan amanah untuk  
menuntut ilmu, tetapi juga berdosa kerana membazirkan wang rakyat !"
  
  
  ( Ya Allah, bagaimanakah aku harus menjelaskan kepada Fahd bahawa penolakan  
Anizah itu wajar keranaMu? Sedangkan ketika aku menyampaikan baru sedikit  
kebenaran kepadanya buat membasuh hati yang luka, dia lebih senang membiarkan  
perasaan menjongoskan dirinya. )
  
  Kenangan demi kenangan terus datang silih berganti, menjadi kolaj yang  
saling bertindanan di atas kanvas nubari.
  
  " Zakir, Mak Ngah risaulah tengok budak Fahd tu. Dah bukan macam orang  lagi. 
Asyik berkurung sahaja dalam bilik dia. Ajak turun makan dengan Mak  dan Pak 
Ngah pun tak nak. Entah ada apa dengan dia. Eloklah pun kau datang  ke sini 
tengok-tengokkan dia, sementara cuti belajar kau belum habis. Mak  Ngah 
haraplah Fahd tu dah okay sebelum kau balik semula untuk belajar di  Jordan.", 
entah bagaimana, kata-kata Datin Siti Suwaibah jelas terngiang-ngiang  di 
telinganya. Ketika itu, dia baru tiba dari Kuala Lumpur dan sedang berada  
dalam perut kereta Dato' Zami yang meninggalkan Terminal Satu Lapangan  Terbang 
Antarabangsa Kota Kinabalu.
  
  " `Bertuah' punya budak ! Nasib baik kau ni anak adik perempuan aku.  Kalau 
tidak, biarlah kau jadi sotong kering dalam lokap sana !", Sheikh  Muzzakir 
bagaikan terdengar pula suara bapanya yang bernada keras lagi  tinggi.
  
  ( Ya, pada malam minggu yang hitam itu, kau flying lagi dari asrama, Fahd.  
Sudah berkali-kali kau mengulangi perbuatan itu semenjak datang belajar  di 
Kuala Lumpur ini. Aku sudah berusaha menegahmu, namun kau degil. Dan  
berkali-kali juga kau berjaya memboloskan diri dari kawalan warden. 
Rupa-rupanya,  kau masih tidak dapat meninggalkan tabiat hidup liarmu yang 
membarah sejak  di KK lagi- ke disko dan pub untuk berhibur dan minum-minum 
hingga mabuk.
  
  Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga. Kebetulan  
Pihak Polis dan Jabatan Agama Islam sedang membuat operasi anti-maksiat.   
Kantoi, kau tertangkap dalam keadaan mabuk. Kau ditahan di lokap  hingga ayahku 
terpaksa menjaminmu keluar. )
  
  " Mak bapak kau hantar kau ke KL untuk jadi manusia, bukannya untuk  kau jadi 
syaitan jembalang !"
  
  ( Berita tertangkapnya kau sampai juga akhirnya ke pengetahuan pihak  
sekolah.  Kau dibuang sekolah kerana telah mencemar imej sekolah menengah 
agama.  Sudahnya, kau terpaksa dihantar pulang ke KK. Dan aku, dek maruah yang  
tercemar, memilih untuk bertukar sekolah ke Kelantan dan belajar di  sebuah 
Mahaad. )
  
  Sheikh Muzzakir segera mewaraskan keadaan, sebelum montaj kenangan yang  
berona kelam itu mengorak-arikkan emosinya lebih jauh.
  
  ( Ya Allah, ampunilah aku. Sebagai seorang bakal pendakwah yang akan berjuang 
 menegakkan kebenaran dan kasih sayang di tengah masyarakat, aku seharusnya  
bersikap lebih optimis terhadap orang-orang seperti Fahd. Mereka sebenarnya  
amat dahagakan bimbingan ke jalan yang benar !  Ternyata Fahd, seperti  
majoriti anak muda yang lain, telah dininabobokkan dengan sentimentaliti dan 
idea romantisisma sejak kecil.   Berilah aku kekuatan dan kemudahan untuk 
mewaraskan kembali keadaan  dirinya, agar dia mampu berdiri gagah mendepani 
kehidupannya sendiri. )
  
  Dia sebenarnya masih sangat mengambil berat akan perkembangan Fadli dari  
semasa ke semasa. Meskipun kini dia sibuk melayari hidup di bumi Irbid  sebagai 
mahasiswa Usuluddin. Ruang maya dimanfaatkan sebaik-baiknya, sekalipun  Fadli 
begitu liat membalas emailnya.
  
  " Zakir, apakah ini satu pembalasan buat aku ? Kifarahkah ini ?",  suara 
Fadli memintas gulatan rayanan Sheikh Muzakkir. Dia kembali menajamkan  
fokusnya. Garis jujuhan air mata di wajah sepupunya itu kian kering, tetapi  
suaranya masih kedengaran bagai orang yang sedang menanggung kesakitan  yang 
amat sangat.
  
  
  III
  
  " APA sebabnya kau berfikir yang demikian, Fahd ?", soalan Sheikh  Muzzakir 
tiba-tiba sahaja menjadi punat yang ditekan untuk mengarahkan  minda Fadli 
kembali menghimbau dengan jelas, betapa satu persatu keberkatan  dan nikmat 
ditarik dari kehidupannya secara perlahan-lahan, sejak dia menyakiti  Anizah.
  
  Fadli teringatkan keputusan PMR yang mengecewakan, sekalipun masih 
melayakkannya  ke tingkatan empat. Gagal  dalam subjek Bahasa Inggeris, 
manakala  Matematik pula sekadar cukup makan. Namun, pintu keinsafannya belum 
terkuak  jua.
  
  " SPM pula lebih mengecewakan. SAP sahaja yang mampu aku raih. Tinggallah  
cita-citaku untuk menjadi seorang  peguam. Itupun aku tak sedar-sedar  lagi, 
sehinggalah Anizah muncul kembali bersama transformasi fizikal dan  reformasi 
personaliti.", Fadli mengakhirkan penjelasannya di situ.
  
  Hening jeda menguasai gazebo tempat mereka berdua duduk berdua. Lama. 
Hinggalah  Sheikh Muzzakir kembali membentangkan analisisnya.
  
  "Aku tidak dapat menolak kemungkinan bahawa apa yang telah terjadi  ke atas 
kau adalah satu kifarah atas apa yang kau telah lakukan pada Anizah  dulu."
  
  
  Jagung yang ditanam, jagunglah jua yang dituai  
  Jika padi, padilah tidak yang lain
  huma yang ditanam
  masakan labu pula yang tumbuh !  
  
  
  " Memang padan muka aku ! Kalaulah aku tidak menyakitinya... ",  tukas Fadli 
dengan nada penuh kesal.
  
  " Astaghfirullahalazim... Tak baik berkalau-kalau, berandai-andai  atau 
berjika-jika. Itu samalah dengan tidak redha akan ketentuan Allah.   Apapun, 
kifarah itu terjadi sebagai sebab untuk mendorong hatimu  untuk bertaubat 
nasuha, berhijrah dari keadaan yang buruk kepada yang lebih  baik. Kesakitan 
itu lebih baik supaya kau tidak lagi bertindak menyakiti  orang lain. Bagaimana 
seseorang itu akan merasakan pahitnya jadam dan serik  untuk meminumnya lagi, 
kalau dia tidak meminumnya terlebih dahulu?  Allah Maha Penyayang dan Maha 
Mengetahui segala-galanya, Fahd."
  
  
  IV
  
  FADLI menyerahkan kepilan boarding pass bersama kupon tiket penerbangan  
kepada kakitangan yang bertugas di Pintu Berlepas 1. Senyumannya terukir  
menatang ramah. Lelaki separuh baya yang menyambut berkas itu membalas  
senyuman, kemudian memisahkan berkas kepada dua bahagian.
  
  " Terima kasih.", ucap Fadli tatkala dia menerima boarding passnya.  Dia 
melangkah gagah menuju ke aerobridge, tanpa menoleh lagi ke belakang  walau 
sesaat.
  
  " Mama, Papa... Saya mahu ke Mekah. Pergi berumrah.", entah dari  mana 
datangnya keberanian Fadli untuk membuat permintaan di luar dugaan  pada dua 
minggu yang lepas.
  
  " Ke Mekah ? Kenapa dengan tiba-tiba sahaja, nak ? ", tanya Datin  Suwaibah. 
Khuatir. Resah. Hairan. Dia berkalih pandang lalu bertentang  mata dengan 
suaminya. Namun Dato' Zami hanya tersenyum.
  
  " Mama, janganlah fikir yang bukan-bukan. Buat masa ini, biarlah Fahd  pergi 
ke tempat yang jauh dari sini. Mencari ketenangan jiwa dengan bertaubat  dan 
memohonkan kekuatan untuk memulakan hidup baru yang ada keberkatan.  Selama ini 
Fahd banyak berbuat dosa. "
  
  " Alhamdulillah, Papa senang sekali mendengarnya. Pergilah nak."
  
  Seusai memasang tali pinggang keselamatan, Fadli memandang ke luar tingkap.  
Langit bagaikan lembar kertas gergasi yang menuliskan kembali kata-kata  dari 
email Sheikh Muzzakir.
  
  Walaupun Anizah menolak untuk berpacaran dengan kamu, tak bererti dia tidak  
menyayangi kamu. Dia tetap menyayangi kamu, sebagai saudara seiman dan  
seakidah. Dek rasa sayang itu, dia rela menolak permintaan kamu, agar kamu  
tidak hanyut dalam kehidupan yang merugikan di dunia dan akhirat. Tetapi  dan 
seringkali, kita sebagai manusia yang banyak khilaf ini, mudah tidak  berpuas 
hati andainya kebaikan datang bukan dalam bentuk yang kita kehendaki.
  
  Mungkin apa yang kamu kehendaki itu boleh merosakkan silaturrahim, siapa  
tahu ? Persahabatan, percintaan dan perkahwinan serta banyak perkara lagi  
adalah urusan yang datang dan pergi. Tiada yang kekal melainkan hubungan  kita 
dengan Allah yang kekal abadi. Jadi, usah berputus asa mahupun terlalu  
bersedih dengan kekecewaan ini, Fahd !
  
  
  (Ya Allah, ampunilah hambaMu! Anis, maafkanlah aku yang tamak dan terlalu  
mementingkan diri sendiri ini !) 
  Fadli menyeka air mata yang berjujuhan di  pipi.
  
  
  Sia-sia kucuba bunuh engkau
  kerana engkau tidak mati
  kerana engkau adalah sejarah
  sejarah tidak mati.  
  
  Sia-sia kucuba bunuh diriku
  kerana aku masih hidup
  kucuba bunuh kesedihan
  kerana kesedihan menghitam segala-galanya. [4]
  
  
  ( Akan aku hapuskan perkataan `cuba' dari mindaku, kerana berkata cuba  
adalah tanda ketidaksungguhan hatiku, membuka ruang keraguan dan kegagalan  
sebelum ditakdirkan gagal.
  
  Menghapuskan kenangan, sama ada didahului dengan perkataan `cuba' atau  
tidak, tidaklah termampu kerana kenangan akan terus berada dalam diri manusia  
itu selama hayatnya masih ada. Persoalannya, perasaan apakah yang timbul  dari 
dalam hati ketika berdepan dengan kenangan?
  
  Jadi...
  
  Akan aku hapuskan kesedihan.  Insya-Allah, lantaran bersedih itu bukan 
pilihanku lagi ! )
  
    
  
  TAMAT.
  
  
  [1]  Intipati dialog berasaskan al-Quran; ayat 216, Surah al-Baqarah
  
  [2]  Jalaluddin Rumi, Puisi `Pria Takluk Oleh Wanita'.
  
  [3]  Bacaan lanjut : Harun Yahya ( 2002 ), Romanticism, Weapon Of Satan,
  Millat Book Center.
  
  [4]  Nahmar Jamil ( 1971/72 ), fragmen puisi  Ku Cuba Bunuh Engkau dalam
  artikel Karyawan Bulan Ini, Nahmar Jamil: Roh Islam Di Hujung Jarinya
  oleh A. Rahim Abdullah, Dewan Sastera, April 2007.
  
  
  
       
---------------------------------
Looking for last minute shopping deals?  Find them fast with Yahoo! Search.

Reply via email to