FIQAH DAULAH DALAM PERSPEKTIF AL-QURAN DAN SUNNAH[1]
  Oleh Dr Yusuf al-Qardhawy
   
  Muqaddimah
   
  Segala puji bagi Allah, selawat dan salam semoga dilimpahkan kepada 
Rasulullah, kerabat dan para sahabat serta sesiapa pun yang mengikuti 
petunjuknya, amma ba'd.
   
  Buku ini mengandungi huraian tentang fiqah daulah dalam Islam. Ianya termasuk 
fiqah yang tidak banyak diketahui orang-orang Muslim pada dekad kebelakangan 
ini. Mereka tidak memberikan sumbangan yang memadai, dengan cara mengkaji dan 
berusaha membahasnya, sebagaimana perhatian yang mereka berikan terhadap fiqah 
yang lain, yang dibahas secara luas dan panjang lebar, terutama yang berkaitan 
dengan fiqah ibadah. 
   
  Al-Imam Ibnul-Qayyyim mengeluh akan kejumudan para fukaha pada masanya, iaitu 
abad kelapan Hijriyah. Sehingga mereka memaksa para pegawai yang berkuasa untuk 
menetapkan undang-undang politik sendiri, terlepas dari hukum syariat. 
Ibnul-Qayyim menyalahkan fukaha jumud ini sebagai sumber penyimpangan para 
pegawai dan penguasa serta jauhnya mereka dari manhaj syariat yang luas. Bahkan 
boleh jadi hal ini dianggap sebagai awal penyusupan hukum-hukum positif (komen 
saya: yang sekarang ini dianggap sebagai hukum tetap, ie undang-undang sivil), 
lalu menggeser hukum-hukum syariat Islam.   
   
  Para fukaha yang jumud ini masih mempunyai generasi penerus hingga saat ini, 
yang hidup pada abad kelimabelas Hijriyah. Sekalipun mereka hidup pada zaman 
sekarang, tetapi mereka menggunakan akal para ulama yang telah mati sekian 
abad, yang segala-galanya sudah banyak berubah, berbeza jauh dengan keadaan 
pada masa ini. Mereka lupa bahawa Al-Imam Asy-Syafi`i boleh berubah pendapatnya 
dalam tempoh waktu yang relatif singkat, sehingga dia mempunyai satu pendapat 
yang baru dan satu lagi pendapat yang lama. Sedangkan teman-teman Abu Hanifah 
boleh berbeza dengannya lebih dari sepertiga pendapat-pendapatnya, kerana ada 
perbezaan masa mereka dengan masa Abu Hanifah. Tentang hal ini mereka berkata, 
"Andaikata Abu Hanifah melihat seperti apa yang kami lihat saat ini, tentu dia 
akan mengatakan seperti yang kami katakan, atau bahkan lebih."
   
  Pernah ada tujuh riwayat yang berbeza, berasal dari Al-Imam Ahmad mengenai 
satu masalah, atau bahkan lebih, kerana adanya perbezaan situasi dan keadaan. 
   
  Kita lihat orang-orang yang menekuni bidang fiqah pada masa sekarang dan 
orang-orang yang mengira bahwa dirinya terjun dalam shahwah (kebangkitan) 
Islam, ada yang berkata, mesyuarat adalah sesuatu yang diisyaratkan, bukan 
sesuatu yang pasti. Boleh saja waliyul-amri  meminta pendapat orang lain agar 
dia mendapatkan keterangan, lalu dia abaikan pendapat Majlis Syura jika memang 
dia menghendaki hal itu, lalu dia tetap melaksanakan pendapatnya sendiri. Dia 
boleh meminta pertolongan kepada Majlis Syura, lalu mengukuhkannya jika dia 
mahu, atau menyingkirkannya jika dia mahu. 
   
  Kita melihat ada orang yang menolak multiparti di dalam daulah Islam, ada 
pula yang menolak pilihan raya untuk memilih seorang pemimpin daulah atau 
memiliki wakil-wakil rakyat yang duduk di Majlis Syura atau Dewan Rakyat. Ada 
pula yang menolak suara majoriti, menolak pembatasan masa jawatan pemimpin 
daulah untuk sekian tahun, ada pula yang berpendapat bahwa apa pun yang ada 
dalam sistem demokrasi mesti ditolak dan diperangi.  
   
  Kita melihat ada orang yang menolak para wanita memberikan suara dalam 
pilihan raya umum, terlebih lagi jika ada di antara mereka yang duduk di Dewan 
Rakyat, yang bererti sama dengan menelantarkan setengah kuasa masyarakat. Ada 
pula yang tidak memberikan hak ini kepada orang-orang non-Muslim, hak 
memberikan suara, atau memberi peluang kepada mereka untuk bergabung dalam 
hukum. 
   
  Bahkan di sana ada orang yang berkata, "Orang Muslim tidak diperkenankan 
mengajukan dirinya untuk duduk di Dewan Rakyat atau posisi lainnya, kerana 
dengan cara itu bererti dia meminta kekuasaan untuk diri sendiri. Sementara 
sesiapa pun yang menuntut kekuasaan, maka dia tidak layak diberi kekuasaan."
   
  Jumlah mereka ini memang tidak seberapa banyak jika dibandingkan dengan 
jumhur shahwah Islam, sekalipun suara mereka juga cukup lantang. Di sana ada 
satu kekuatan yang sudah dikenali dan memusuhi shahwah dan kesedaran Islam, 
yang sengaja dihembuskan menerusi orang-orang seperti itu untuk tujuan 
peribadi.  
   
  Kebalikan dari orang-orang yang jumud ini, kita mendapatkan orang-orang yang 
mengingkari adanya daulah di dalam Islam yang berhukum dengan apa yang 
diturunkan Allah. Mereka memisahkan antara agama dan politik dengan pemisahan 
secara menyeluruh. Jadi tidak ada agama dalam politik dan tidak ada politik di 
dalam agama. 
   
  Mereka ingin menerapkan Islam di dunia Timur seperti penerapan agama nasrani 
di dunia Barat. Padahal Islam bukan Nasrani, masjid bukanlah gereja, sejarah 
ulama Islam di sini berbeza dengan sejarah para pemimpin gereja di sana. Di 
dalam Islam tidak mengenali ungkapan, "Serahkan apa yang menjadi bahagian 
Kaisar kepada Kaisar, dan serahkan apa yang menjadi bahagian Allah kepada 
Allah." Bahkan Islam menyerukan bahawa Kaisar dan apa yang menjadi milik 
Kaisar, semuanya adalah milik Allah Yang Esa. Islam tidak pernah mendirikan 
mahkamah inkuisisi yang menyeramkan seperti yang didirikan gereja untuk 
menghabisi para ilmuwan, cendekiawan dan pembaharu, yang masih hidup mahupun 
yang sudah mati. 
   
  Mereka ingin menelanjangi Islam sebagai kekuasaan yang temporal, yang di 
dalamnya tidak ada kekuasaan agama seperti dalam nasrani. Dengan kata lain, 
Islam ingin dibiarkan tersingkir dan lemah, tidak memiliki kekuasaan, baik 
dalam daulah mahupun dalam agama.   
   
  Kita melihat mereka keluar dari ijmak umat yang nyata, yang diyakini 
sepanjang sejarahnya, bahawa Islam adalah akidah dan syariah, agama dan daulah, 
ibadah dan qiyadah (kepemimpinan), solat dan jihad, bahawa Rasulullah s.a.w 
adalah pemimpin pertama bagi daulah Islam, dan para pengganti baginda setelah 
itu juga mengikuti jalan yang sudah dirintis. Sistem khilafah merupakan 
perwakilan atas nama Rasulullah s.a.w dalam menegakkan agama dan mentadbir 
dunia.
   
  Orang-orang sekular dari kalangan liberalis atau komunis ini berbual sebagai 
orang Islam, hanya sekadar pengakuan di bibir, tetapi sama sekali tidak mahu 
tunduk kepada hukum Islam, tidak mempedulikan perintah dan larangannya, tidak 
kembali kepada Kitab dan Sunnahnya. Kalaupun suatu saat mereka kembali kepada 
Islam, hal itu dimaksudkan untuk mengalihkan kalam Allah dari tempatnya, 
mencekik nas agar mahu tunduk kepada mereka, bukan mereka yang tunduk kepada 
nas. Yang demikian ini sama sekali bukan tingkah laku orang-orang yang memiliki 
iman, sebagaimana firman Allah (yang bermaksud):
  "Sesungguhnya jawapan orang-orang Mukmin, bila mereka dipanggil kepada Allah 
dan Rasul-Nya agar Rasul menghukum (mengadili) di antara mereka, ialah ucapan: 
Kami mendengar dan kami patuh. Dan, mereka itulah orang-orang yang beruntung." 
(Surah An-Nur: 51)
   
  Mereka mencemuh Islam yang konfrehensif dan yang tidak dikenali bandingannya 
seperti itu sepanjang sejarah, lalu mereka menyebutnya sebagai Islam politik. 
Seakan-akan di sana ada macam-macam Islam, ada Islam spiritual, Islam 
intelektual, Islam sosial dan Islam politik. Padahal Islam adalah milik Islam 
ditilik dari substansi, elemen, sendi dan rujukannya, iaitu Islam Al-Qur`an dan 
Sunnah.     
   
  Antara golongan sekular yang mengusutkan tali Islam, dengan orang-orang yang 
jumud dan tidak mahu melirik apa yang ada pada zaman sekarang, ada gelombang 
Al-Wasathiyatul-Islamiyah (Islam moderat), yang mengambil Islam dari sumbernya 
yang bening dan yakin bahawa itulah manhaj yang lengkap bagi kehidupan, bagi 
individu, keluarga, masyarakat mahupun daulah. Islam moderat ini memandang 
Islam dengan satu mata dan memandang zaman sekarang dengan matanya yang lain, 
memadukan antara yang lama penuh manfaat dengan yang baru penuh kebaikan, 
menyertai yang salaf dengan yang baru, membandingkan yang tetap dengan yang 
berubah. Di samping itu, Islam moderat ini juga mengajak untuk memuliakan akal, 
memperbaharui pemikiran, ijtihad dalam agama, membuat inovasi di dunia, menukil 
tatanan-tatanan (sistem) moden yang paling baik, melihat demokrasi sebagai 
tatanan yang paling baik dengan Islam setelah menyaringkan dari hal-hal yang 
mencela, lalu mengisinya dengan nilai-nilai Islam dan
 hukum-hukumnya.
   
  Buku ini berusaha mengungkap fiqah dari satu masalah yang cukup penting, 
iaitu masalah daulah dalam Islam; bagaimana kedudukannya? Bagaimana hukum 
mendirikan daulah? Apa ciri-cirinya yang menonjol? Apa tabiatnya? Apakah itu 
merupakan daulah madaniyah (pemerintahan sipil atau orang awam) yang komitmen 
terhadap Islam, ataukah daulah teokrat diniyah (pemerintahan teokrat agama) 
yang dipegang para pendeta? Bagaimana cara kita membantah anggapan bahawa ini 
adalah pemerintahan agama yang diterapkan berdasarkan hak Allah? Apa sikapnya 
terhadap pelbagai parti, demokrasi, wanita dan non-Muslim? Bolehkah setiap 
jemaah Islam ikut bergabung dalam penerapan hukum di tengah negara sekular? Dan 
masih banyak masalah yang cukup sensitif dan penting. 
   
  Dari perbahasan ini kami berharap dapat memberikan sedikit sinar tentang 
masalah yang cukup penting ini, dan menjawab sebahagian syubhat yang merebak di 
tengah masyarakat, serta menjelaskan sikap yang adil antara orang-orang yang 
jumud dan sekular. Sebahagian isi dalam buku ini kami kutip dari buku-buku kami 
yang lain, terutama jilid kedua dari buku Fatawa Mu'ashirah (Fatwa 
Kontemporer). Semoga penempatan fatwa-fatwa ini ke dalam fiqah politik boleh 
lebih tepat dan sesuai dengan matlamatnya. 
   
  Yusuf Al-Qardhawy
  Kaherah, 1417/1996
   
  -----------------------------------------
  Nota:
  [1] Judul asal: MIN FIQHID-DAULAH FIL-ISLAM diterjemah oleh Abu Ahmad. 
Hakcipta dilindungi ALLAH SUBHANAHU WATA`ALA (ungkapan penerbit beginilah yang 
membuatkan saya berani tulis untuk disebarkan melalui internet). Bukannya apa, 
dalam suasana Pilihanraya Umum sekarang, kesempatan ini cukup baik untuk 
sama-sama kita kongsi apa yang dikatakan politik dalam Islam

       
---------------------------------
Be a better friend, newshound, and know-it-all with Yahoo! Mobile.  Try it now.

Kirim email ke