Kitab Raheeq Al-Makhtum
Oleh Ustaz Fikri @ alamghiri

Sempena sambutan Maulid al-Rasul yang berlangsung pada
tahun ini, bersamaan dengan 9 Rabi’ al-Awwal 1429
hijrah. Bukannya 12 Rabi’ al-Awwal sebagaimana yang
dinyatakan oleh kebanyakan orang di Malaysia ini.
Kitab ini yang menjelaskan pembetulan pada kesilapan
tarikh tersebut dari kajian kitab lain yang
membicarakannya. 

Kitab ini memaparkan kisah sebenar dari sirah
perjalanan hidup Rasulullah yang ditulis oleh Syeikh
Safiy al-Rahman bin Abdullah bin Muhammad Akbar
al-Mubarakfuri al-A’zhamiy. Beliau adalah tenaga
pengajar di Universiti Salafiyah, Banaras, India.
Beliau dilahirkan pada tahun 1943 dikampung Husain
Abad dalam daerah Mubarakfur. Pendidikan awalnya
mengenai al-Quran diterima daripada datuk dan bapa
saudaranya.

Seterusnya beliau melanjutkan pelajarannya diDar
Ta’lim dalam daerah Mubarakfur pada tahun 1948. selama
enam tahun disitu beliau berjaya menamatkan pengajian
peringkat rendahnya yang sebahagian subjeknya di dalam
bahasa Parsi. Beliau berpindah ke Ihya al-Ulum,
Mubarakfur pada tahun 1954 untuk melanjutkan pengajian
menengahnya. Antara subjek yang dipelajarinya adalah
Bahasa Arab dan tata bahasanya serta beberapa buah
subjek agama yang lain.

Dua tahun kemudian beliau berpindah ke kolej yang agam
tersohor berhampiran wilayahnya iaitu kolej Faid ’Am
dalam wialayah Mi’u yang terletak sejauh 30 kilometer
dari Mubarakfur. Beliau berjaya menamatkan
pengajiannya dengan cemerlang dan sijilnya itu
memenuhi syarat untuk beliau menjadi pengajar dan
memberikan fatwa. 

Beliau turut mengambil peperiksaan yang dianjurkan
oleh badan kerajaan yang berada dibawa seliaan
kerajaan Uttar Pradesh bagi ujian Mawlawi pada tahun
1959 dan ujian Alim 1960. Kedua-dua ujian tersebut
berjaya diperolehinya dengan pangkat jayyid jiddan
(Amat Baik). Kebiasaannya lembaga peperiksaan itu
tidak pernah menganugerahkan pangkat cemerlang kepada
calon peperiksaannya tetapi penulis berjaya
memperolehinya dengan usahanya yang
bersungguh-sungguh.

Kepintarannya begitu terbukti dalam ujian yang
didudukinya. Beliau ditawarkan mengajar di Kolej Faid
’Am yang pernah menjadi tempat beliau menimba ilmu.
Kemudian beliau bekerja sebagai pensyarah kontrak pula
di Universiti al-Rasyad dan selepas tamat beliau
diundang untuk mengajar di Dar al-Hadits, daerah Mi’u,
India pada tahun 1966. selepas itu beliau telah
diundang untuk mengajar di Kolej Faid al-’Ulum, Madya
Pradesh yang terletak sejauh 700 kilometer dari
wilayah Mi’u. 

Beliau mengajar di sana selama 4 tahun sebelum pulang
semula ke wilayahnya pada tahun 1972. Beliau diminta
semula untuk mengajar di Dar Ta’lim dalam daerah
Mubarakfur pada tahun 1972. Selama dua tahun berada di
sana, selepas itu beliau berpindah ke Universiti
Salafiyah, Banaras hingga kini.Pada tahun 1976, beliau
menduduki sebuah lagi peperiksaan yang dikenali
sebagai al-Fadhilah fi al-Adab al-’Arabiy bagi
kesusasteraan Arab. Dalam ujian peperiksaan ini juga,
beliau mendapat pangkat jayyid jiddan (Amat Baik).  

Karyanya yang lain 

Syarah al-Azhar al-’Arab (Arab) kitab himpunan syair
yang dikumpulkan oleh Muhammad Yusuf al-Surati. 
Risalah al-Masabih fi Masa`il al-Tarawih karya
al-Suyuthi – diterjemahkan ke dalam Bahasa Urdu. 
Al-Kalim al-Thayyib karya Ibn Taimiyah – diterjemahkan
ke dalam Bahasa Urdu. 
Al-Arba’in al-Nawawiyah – diterjemahkan ke dalam
Bahasa Urdu. 
Berita gembira tentang Muhammad dalam kitab Yahudi dan
Nasrani – diterjemahkan ke dalam Bahasa Urdu. 
Tazkirah Syeikh al-Islam Muhammad bin Abdul Wahab
al-Najdiy – diterjemahkan ke dalam Bahasa Urdu. 
Ringkasan kitab Bulugh al-Maram dalam bahasa Arab. 
Qadiani dan pahlawan islam Syeikh Tsana` Allah
al-Amritsari – diterjemahkan ke dalam Bahasa Arab dari
Bahasa Urdu. 
Kajian tesis al-Raheeq al-Makhtum yang dipersembahkan
kepada badan Rabithah al-’Alam al-Islami (Badan Ikatan
Dunia Islam). 
Kelebihan Kitab al-Raheeq al-Makhtum 

Buku ini merupakan sebuah buku yang tersenarai dalam
pertandingan Sayembara Penulisan Sirah Nabawiyyah pada
tahun 1976. Pertandingan ini diumumkan selepas
berlangsungnya Muktamar Sirah al-Nabawiyyah di
Pakistan pada tahun itu juga.Beliau begitu berhasrat
untuk meninjau perjalanan hidup Rasulullah sebagai
contoh realiti umat dan sangat bererti dalam usaha
setiap mereka dalam mengambil iktibar. 

Kisah hidup Rasulullah ini jugalah yang menjadi sumber
kehidupan dunia Islam dan kebahagiaan manusia
seluruhnya. Selepas pertandingan tersebut, beliau
dinobatkan sebagai johan mengatasi 171 calon lain yang
turut menyertai pertandingan tersebut dari pelbagai
negara dan etnik dunia Islam. Beliau yang menulis
kisah ini bukanlah bertujuan untuk memenangi
pertandingan tersebut, tetapi hanya untuk
mengetengahkan kebenaran isinya sebagai pengajaran dan
pembetulan kepada generasi kini dalam menerima sirah
Rasulullah dalam kehidupan mereka.

Perincian kisah ini berlandaskan fakta sebenar yang
diadaptasikan melalui hadis-hadis Sahih yang
diriwayatkan oleh para muhaddisin serta buku-buku
sejarah yang dikira tepat dari nukilan faktanya.
Kandungannya menggabungkan perbincangan tentang aspek
pensejarahan yang meliputi sejarah orang-orang Arab
pada zaman jahiliyah sebagai laluan untuk
menjustifikasikan mengapa perlunya Allah mengutuskan
Rasulullah di bumi Arab.

Buku ini juga memaparkan liku-liku perjuangan dakwah
Rasulullah, strategi dan uslub dakwah yang dikemukakan
melalui tiga peringkat dakwah iaitu peringkat
permulaan, peringkat tribulasi dan peringkat kejayaan.
Buku ini sangat sesuai untuk dijadikan rujukan kepada
para pelajar, pendidik, pendakwah dan masyarakat
pelbagai lapisan untuk mengetahui dengan lebih
mendalam perjuangan Rasulullah dalam usaha menegakkan
agama Allah di muka bumi ini.

Saya sendiri mengenali buku ini semasa tahun pertama
belajar di universiti kerana subjek sirah yang kami
pelajari meminta agar kami merujuk kepada beberapa
buah kitab berkaitan dengannya dan kitab ini adalah
kitab yang terpenting selain kitab-kitab Sirah silam
seperti Kitab Ibn Hisyam dll. Kitab ini telah
diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu dan yang terbaik
dari pengamatan saya adalah dari cetakan Yadim
(Yayasan Dakwah Islam) yang berharga RM50 sebuah. 

Pada mulanya seorang sahabat yang ingin membaca buku
berkaitan Sirah ini menyuruh saya membelikan sebuah
kitab yang baik untuknya, selepas saya mengamati di
sebuah pustaka di KL, saya melihat isi beberapa buah
kitab terjemahan yang sama agak longgar bentuk
penceritaan serta gaya bahasanya, manakala harganya
pula begitu mahal. Tuan kedai telah menunjukkan buku
terbitan Yadim yang baru diperolehinya ketika itu,
selepas saya membacanya dan meneliti isi kandungannya
yang begitu baik seiras dengan terjemahan daripada
bahasa Arabnya. 

Saya membelinya dan membacanya sedikit sebelum
menyerahkan kepada rakan saya. Bermula saat itu, saya
mengidam untuk membelinya dan menyimpannya sebagai
koleksi saya sendiri. Pada bulan Disember 2007,
sewaktu berjumpa seorang rakan untuk menjayakan satu
projek menulis buku rujukan sekolah rendah. Saya dan
beliau berbincang untuk menghasilkan sebuah buku
berkenaan sejarah Nabi SAW bagi kanak-kanak.

Saya terus mencadangkan buku ini bagi tujuan tersebut.
Beliau yang bersetuju telah menghadiahkan buku ini
kepada saya untuk dijadikan bahan rujukan utama dalam
penghasilan buku kanak-kanak tersebut. Tetapi, projek
ke arah itu masih lagi tergendala hingga kini. Insya
Allah jika dikuatkan oleh Allah Taala, projek ini akan
dilaksanakan dalam jangka masa yang terdekat. 

Saya memohon DOA dari kalian jua dalam
mengusahakannya, insya Allah Taala! Walhamdulillah.



      
____________________________________________________________________________________
Never miss a thing.  Make Yahoo your home page. 
http://www.yahoo.com/r/hs

Kirim email ke