Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

Ini saya postkan semula artikel bagaimana untuk mengalakkan anak-anak kita 
untuk mempelajari bahasa Inggeris untuk membantu rajes_kasturi18 yang mempunyai 
anak yang masih lemah dalam berbahasa Inggeris

=================================================


Cara Mudah Mengajar Kanak-Kanak Mempelajari bahasa Inggeris - Pujian vs Galakan 
       Sebagai ibu bapa dan pendidik, kita perlu memberi pujian dengan betul 
dan berpada-pada. Mungkin anda tertanya-tanya, adakah pujian-pujian yang anda 
berikan kepada anak-anak dan pelajar-pelajar kita itu ada keburukannya? Ya, 
pujian ada keburukannya 
 jika tidak digunakan dengan betul. Memang pujian itu merupakan satu cara yang 
agak berkesan untuk meningkatkan harga diri seseorang tetapi terdapat satu lagi 
strategi yang lebih berkesan. 
  
          Dr. Rudolph Dreikur, seorang pakar psikologi yang terkenal, pernah 
berkata, “…seorang kanak-kanak  itu memerlukan galakan seperti pokok perlukan 
matahari dan air”. Strategi ini lebih memberikan kesan berpanjangan kepada cara 
kanak-kanak itu melihat dirinya. Pujian dan galakan itu merupakan strategi yang 
positif, berkesan dan membawa manfaat jika digunakan.
  
 Kedua-dua teknik ini boleh:
  
 i.       Membina harga diri
 ii.       Meningkatkan rasa bangga
 iii.      Menggalakkan kerjasama
 iv.     Membina perhubungan yang positif
 v.      Membantu kanak-kanak semasa mereka 
          menghadapi kesukaran dan masalah
  
          Bagaimanapun, jika anda kaji betul-betul, sebenarnya ada perbezaan 
yang ketara antara pujian dan galakan. Cuba anda lihat perbezaannya:
  
 1.      Pujian ialah satu ganjaran yang perlu dimenangi:
          “Tahniah Haziq kerana berjaya dapat A dalam ujian semalam!”
  
          Galakan pula ialah satu hadiah:
          ”Abah berasa bangga kerana Haziq betul-betul berusaha dengan gigih 
untuk   peperiksaan kali ini!”
  
 2.      Pujian menggunakan perkataan-perkataan yang menunjukkan kita 
          menghakimi:
           “Awak dapat jawab semua soalan dengan betul. Tahniah!”
  
          Galakan menggunakan pertuturan perkataan yang menunjukkan kita 
          mengambil berat:
          “Saya berasa gembira apabila awak mencuba untuk menjawab soalan saya  
  tadi.”
  
 3.      Pujian menggalakkan pertandingan:
          “Tahniah Aiman! Aiman dapat nombor satu dalam kelas!”
  
          Galakan menggalakkan kerjasama:
          ”Teruskan usaha Ain! Nampak makin bagus keputusan periksa Ain.”
  
 4.      Pujian menunjukkan penerimaan bersyarat:
          “Emak sayangkan Odah apabila Odah dapat keputusan yang baik dalam 
          peperiksaan.”
  
          Galakan menunjukkan penerimaan tanpa syarat:
          “Emak sayangkan Odah apabila Odah berada di sisi emak.”
  
 5.      Pujian mengajar kanak-kanak untuk memuaskan hati orang dewasa: 
          “Bagus betul Hafiz hari ini kerana tolong mak mengemas rumah. Mak 
rasa 
          bangga dengan Hafiz.”
  
          Galakan pula mengajar kanak-kanak untuk memuaskan hati mereka sendiri:
          “Abah perhatikan sekarang ini, Syakirin semakin rajin mengulang kaji 
pelajaran. Syakirin patut bangga dengan diri Syakirin.”
  
 6.      Pujian hanya boleh diberi apabila kanak-kanak itu berjaya:
          “Tahniah, Zul kerana berjaya mendapat keputus-an cemerlang dalam 
          peperiksaan.”
  
          Galakan pula boleh digunakan apabila seseorang kanak-kanak itu sedang 
 menghadapi kegagalan atau kekecewaan:
          “Tak apa, adik. Emak tahu adik dah berusaha keras untuk mendapatkan 
          keputusan yang cemerlang dalam ujian Matematik itu. Teruskan usaha 
adik itu!”
  
          Daripada penerangan-penerangan di atas, anda boleh lihat bahawa 
puji-pujian boleh mendatangkan ketagihan dan boleh menyebabkan kanak-kanak itu 
mencari motivasi yang berbentuk luaran. Sebaliknya, galakan akan kurang 
menyebabkan ketagihan dan lebih menggalakkan motivasi dalaman kanak-kanak itu. 
Secara amnya, pujian itu berkesan, tetapi galakan lebih berkesan!
  
          Topik ini dapat mendidik kita agar memberi pujian dan galakan bagi 
memotivasikan kanak-kanak untuk belajar dengan lebih gigih dalam memahirkan 
diri mereka dalam bahasa Inggeris. Selain dua strategi ini, ada satu strategi 
yang lain. Strategi ini juga sering disarankan oleh penulis perhubungan manusia 
yang tersohor, Dale Carnegie, dalam buku beliau “How to Win Friends and 
Influence People”. Lihat dalam cerita berikut bagaimana strategi ini digunakan 
dengan efektif:
  
          “Strategi ini saya pelajari daripada John William, yang merupakan 
Pengerusi di syarikat tempat saya bekerja dahulu. John merupakan seorang ahli 
korporat yang hebat dan amat berbakat. ‘Kemahiran manusia’ beliau amat 
menakjubkan dan beliau disayangi, dihormati dan disegani oleh semua orang yang 
me-ngenali beliau. Saya amat seronok memerhati dan mempelajari cara beliau 
berinteraksi dengan orang lain.
  
     Bila-bila sahaja setiausaha saya memberitahu bahawa John sedang di talian, 
saya akan berasa teruja. Saya amat seronok berbual dengan beliau. Suatu hari, 
saya cuba menganalisa sebab-sebab penggilan beliau cukup menyeronokkan saya. 
Selepas membuat analisa, saya mula memahaminya! John sering memuji saya, “Minit 
mesyuarat yang awak buat itu cukup hebat”. Beliau juga sering memberi galakan 
kepada saya, “Saya berasa gembira melihat awak hadir ke perlawanan persahabatan 
bola sepak syarikat kita semalam. Bagus kerana awak sudi meluangkan masa awak 
untuk datang memberikan sokongan”.
  
     Tetapi apa yang lebih penting ialah John sering menunjukkan minat beliau 
terhadap diri, keluarga, aktiviti-aktiviti dan juga kehidupan saya. Beliau 
sering menunjukkan minat kepada saya sebagai seorang insan dan bukan sekadar 
pekerja beliau. Apabila John menelefon saya, beliau sudah tentu ingin 
bertanyakan urusan syarikat tetapi beliau akan memulakan perbualan beliau 
dengan bertanyakan anak-anak, isteri atau aktiviti-aktiviti saya. Beliau 
menunjukkan minat terhadap diri saya dan saya amat menyukainya.
  
     Apabila saya menyedari akan kuasa minat ini, saya mula menggunakannya 
untuk membina dan mengekalkan perhubungan dengan kanak-kanak dan 
pekerja-pekerja saya. Saya masih ingat lagi pada suatu hari saya bertembung 
dengan seorang pekerja muda di pejabat dan kami mula berbual. Dengan mengambil 
iktibar daripada sikap John, saya tidak memberi pujian atau galakan kepada 
beliau. Sebaliknya, saya menunjukkan minat yang ikhlas terhadap diri beliau. 
“Saya nampak awak baru beli kereta ya, David. Cantik warna kereta awak tu. Di 
mana awak beli kereta tu?” Muka pekerja muda itu kelihatan teruja! Pengurus 
Besar syarikat beliau menyedari kereta baru beliau dan mengambil masa untuk 
memberitahu beliau! Perbualan yang ringkas itu lebih bermakna kepada beliau 
daripada sebarang pujian dan galakan.“
  
     Pengajaran daripada cerita ini, anda sebagai ibu bapa dan pendidik boleh 
memberikan hadiah menakjubkan kepada kanak-kanak dengan menunjukkan minat yang 
ikhlas dengan kehidupan mereka. Sebagai contoh, jika anak anda pulang dengan 
hasil lukisan yang dilukis oleh mereka di sekolah, anda mungkin boleh meluahkan 
perasaan anda, “Wah! Menariknya lukisan adik ni. Adik baru belajar di sekolah 
ke?” ataupun jika di sekolah, anda boleh me-nunjukkan minat anda dengan 
seseorang pelajar dengan berkata, “Cikgu dapat tahu bapa awak seorang anggota 
polis. Awak tahu tak datuk saya dulu pun seorang anggota polis?” Cuba tunjukkan 
minat yang ikhlas dengan kehidupan dan aktiviti-aktiviti anak-anak dan 
pelajar-pelajar anda.

Hubungi saya untuk kelas bahasa Inggeris yang akan bermula dua belas hb April 
ini.

  
 Dipetik dari buku terbaru saya, “Cara Mudah Memperkenalkan Bahasa Inggeris 
kepada Anak-Anak Anda” terbitan Perintis Books Sdn. Bhd.

Layari lama web saya di http://knowledgecentre.wordpress.com untuk 
artikel-artikel bahasa Inggeris, kewangan dan IT.


       
---------------------------------
Never miss a thing.   Make Yahoo your homepage.

Reply via email to