http://www.zaharuddin.net/index.php?option=com_content&task=view&id=705&Itemid=72

 Riba Halal Jika Kerajaan Dengan Rakyat ? 
  
  Oleh 
  
  Zaharuddin Abd Rahman 
  
  www.zaharuddin.net 
    
    
   
    
  Ada pihak yang datang kepada saya berkenaan isu PTPTN lalu berkata:  
  "bukankah tiada riba di antara negara atau kerajaan dengan rakyat, 
sebagaimana tiada riba antara tuan dengan hambanya" 
  Benarkah riba menjadi halal apabila ia melibatkan hamba dan tuannya. Maka 
demikian juga kerajaan dan rakyat? 
  Sebelum saya mengulas ringkas berkenaan sejauh mana benarnya pandangan 
tentang riba antara kerajaan dan rakyat yang dikatakan halal, terlebih baik 
jika kita dapat melihat asas yang cuba digunakan, iaitu riba antara hamba 
dengan tuan. 
  RIBA ANTARA TUAN DAN HAMBA 
  Benar, mazhab Hanafi berpendapat riba tidak diharamkan jika transaksi itu di 
antara hamba dan tuannya.  Pandangan mazhab Hanafi ini ternyata dalam nas 
fatwanya: - 
  أن لا يكون 
البدلان ملكا 
لأحد 
المتبايعين , 
فإن كان 
(البدلان ملكا 
لواحد) لا 
يجري الربا   , 
وعلى هذا يخرج 
العبد .. 
    
  Ertinya : "Antara syaratnya (untuk jatuh riba) mestilah badal (harta) itu 
tidak dipunyai oleh satu pihak sahaja, jika (ia dipunyai oleh satu pihak 
sahaja) maka tiadalah jatuhnya riba, justeru itu terkeluarlah hamba " ( Badai 
As-Sonai'ie, Al-Kasani, 7/3129 )  
  Ringkasnya, asas pendapat Hanafi ini adalah kerana si hamba sebenarnya tidak 
boleh memilikinya hartanya sendiri, semua harta yang dimiliki oleh hamba 
sebenarnya milik tuannya.  
  Oleh kerana itu, tiada riba antara kedua-dua nya keran awnag hamab adalah 
wang tuan, dan wang si tuan juga wangnya juga. Maka tiada riba dalam hal wang 
satu pihak sahaja (iaitu si tuan).  
  MAJORITI MAZHAB TIDAK SETUJU  
  Namun, pandangan ini bertentangan dengan pendapat mazhab-mazhab lain yang 
berfatwa haramnya tetap sama. Imam Ibn Hazm dengan tegas menolak dengan dalil 
Saiyidina Hussain bin Ali pernah menerima hadiah kambing dari seorang hamba, 
apabila mengetahui ia dari seorang hamba, Hussain memulangkannya kembali tetapi 
kemudian hamba tersebut mengatakan dengan jelas :- 
  إنها لي 
    
  Ertinya : Ia ( kambing) itu milikku. 
  Dengan penjelasan itu, Sayyidina Hussain menerima hadiah kambing itu. Ini 
jelas membuktikan sang hamba masih boleh memiliki harta, jual beli, memberi 
hadiah dan sebagainya. Kalau hamba tidak boleh memiliki, sudah tentu, Sayyidina 
Hussain akan tetap menolaknya. ( Al-Muhalla, 8/515)  
  Apabila hamba dikitiraf boleh miliki harta secara berasingan dari tuannya, 
sudah tentulah riba tetap boleh berlaku di antara sio hamba dan tuannya. 
  Hal ini dikuatkan lagi oleh Imam  An-Nawawi berkata :- 
  يستوي في 
تحريم الربا 
الرجل 
والمرأة 
والعبد 
والمكاتب 
بالإجماع.. 
    
  Ertinya : Sama taraf hukumnya dalam pengharaman riba sama ada antara lelaki 
dan wanita, hamba, hamba yang tertulis ( untuk bebas) secara ijma'.." ( 
Al-Majmu' Syarah Al-Muhazzab, 9/442 ) 
  BAGAIMANA PULA RIBA ANTARA KERAJAAN DAN RAKYAT? 
  Jika dilihat perbincangan di atas tadi, jelas kepada kita memang benar mazhab 
Hanafi berbeza fatwanya dengan majoriti mazhab dalam hal riba antara tuan dan 
hamba.  
  Walaupun demikian, pandangan yang lebih kuat adalah masih BERLAKU riba antara 
keduanya, ia juga merupakan pandangan majoriti ulama dan mazhab. 
  Namun wujud di zaman moden ini individu yang cuba menghalalkan riba yang 
dikenakan oleh kerajaan kepada rakyat dan cuba mengambil hujjah mazhab hanafi 
berkenaan "tuan dan hamba". 
  Objektif di sebalik pandangan ini adalah untuk membenarkan sebuah bank yang 
dimiliki kerajaan atau pihak kementerian memberi pinjaman wang kepada rakyat 
dengan riba, atau meminjam wang dari pelabur dari kalangan rakyat lalu 
memberikan pulangan riba kepada mereka. Dengan itu ia dianggap halal kerana 
kononnya ia boleh diqiyaskan kepada fatwa mazhab Hanafi iaitu kes riba di 
antara hamba dan tuan. 
  QIYAS YANG MENYELEWENG? 
  Adakah ini qiyas yang benar?. 
  Sudah tentu tidak. Mazhab Hanafi tadi menganggap ia harus kerana bagi mereka 
sang hamba tidak punyai kapasiti untuk memiliki harta sendiri, kerana semua 
miliknya adalah untuk tuannya.  
  Jelas sekali sifat ini tidak relevan dengan rakyat, rakyat bukannya hamba. 
Harta rakyat juga tidak boleh diusik sewenang-wenangnya oleh kerajaan. Semua 
individu rakyat memiliki kapasiti khusus yang diiktiraf Islam untuk menjual, 
membeli, menyewa, melabur dan lain-lain dengan hartanya. Tanpa sebarang campur 
tangan kerajaan. Kerjaana hanya berhak mementukan undang-undang dan prasarana 
sesuai agar setiap transaksi terjaga dari eksploitasi dan penipuan. 
  Kerajaan tidak boleh campur tangan jika individu rakyat ingin membeli rumah 
di Kajang, di Damnsara dan sebagainya. Ia berlainan sama sekali dengan si hamba 
yang tidak boleh membeli rumah sendiri kecuali dengan arahan si tuan. 
  Tegasnya, rakyat bukan hamba yang dimiliki oleh kerajaan. Tidak sama sekali, 
malah kerajaanlah khadam dan hamba yang perlu berkhidmat untuk rakyat. 
  Kesimpulannya, pandangan yang cuba mengharuskan riba antara kerjaaan dan 
rkayat adalah tertolak dan tidak berasas sama sekali. Hal ini juga telah 
ditegaskan oleh Dr. Sami Hammud dan Prof  Dr. Yunus Al-Masri dalam kajian 
mereka. (Al-Jami fi Usul Al-Riba, hlm 202-204 ; Tatwir Al-A'mal Al-Masrafiah, 
hlm 201-205 )  
  Justeru, PTPTN tetap riba walaupun ia antara kerajaan dan rakyat, ini 
berdasarkan fatwa Majlis Fiqh Antarabangsa dan ulama yang pakar dalam bidang 
kewangan Islam dengan hujjah-hujjah yang amat jelas dan terperinci. 
  Sekian 
  Zaharuddin Abd Rahman 
  http://www.zaharuddin.net/ 
  27 April 2008  


       
---------------------------------
Be a better friend, newshound, and know-it-all with Yahoo! Mobile.  Try it now.

Kirim email ke