Nasiruddin mahu berdakwah di tanah kelahiran Oleh ZUARIDA MOHYIN
 SEBELUM ini anak muda kelahiran Pulau Nias, Sumatera Utara, Indonesia, ini 
tidak pernah mempersoalkan hal-hal berkaitan pegangan agamanya. Bagi beliau, 
kehidupan beragama bulat-bulat diterima sebagai satu warisan turun-temurun 
daripada keluarga serta beranggapan semua agama adalah sama. Pun begitu, 
semuanya berubah selepas seorang teman sebaya memperlekehkan agama kepercayaan 
beliau sekeluarga.
 Mula terlintas di hati Tasura Manao atau nama Islamnya, Muhammad Nasiruddin 
Abdullah, adakah agama yang lebih baik daripada agama ikutan mereka sekeluarga. 
 Bertitik-tolak daripada insiden itu, pemuda berusia 30 tahun ini mula mencari 
dan mengkaji beberapa agama termasuklah dalam pencarian berkaitan agama Islam. 
 "Sebaik menamatkan persekolahan, saya telah keluar merantau dan sepanjang 
tempoh perantauan itu banyak tempat yang saya pergi maka banyak jugalah budaya 
yang dikenali, terutamanya yang bersangkutan dengan aspek agama mereka. Ini 
sedikit sebanyak menjurus kepada anutan agama sesuatu bangsa itu. Bak kata 
pepatah orang sini, jauh perjalanan, luas pandangan.
 "Seingat sayalah semasa bekerja sebagai pembantu kedai di Jambi, di situlah 
saya mengenali serba sedikit tentang agama Islam. Ini kerana boleh dikatakan 
ramai masyarakat di sana berbangsa Melayu. Berbeza dengan tempat asal saya di 
mana majoriti masyarakatnya beragama Kristian. 
 "Barulah saya tahu bahawa Islam itu lain daripada agama lain. Sebelum ini, 
saya melihat Islam menerusi penganutnya yang sekadar Islam pada nama bukan di 
hati. Faktor itu jugalah yang menyebabkan saya menyedari kesilapan diri dalam 
menilai Islam yang sebenar-benarnya sebagaimana di dalam al-Quran dan hadis.
 "Kebetulan apabila pulang ke kampung saya bertemu dengan bapa saudara yang 
lebih dahulu memeluk Islam dan sudah lama tinggal di Malaysia. Pakcik saya 
sebenarnya sudah berkeluarga serta lama bekerja di Malaysia. Peluang inilah 
saya gunakan untuk cuba mengadu nasib pula ke Malaysia iaitu kira-kira 11 tahun 
lalu," katanya membuka bicara kami petang itu.
 Pemegang Diploma al-Quran dan Sunnah dari Kolej Universiti Islam Antarabangsa 
Selangor (KUIS) ini, mengucap dua kalimah syahadah pada 24 April 1997 di 
Pejabat Agama Islam di Gombak Timur, Keramat, Kuala Lumpur, selepas melihat 
dengan lebih dekat bagaimana pengamalan Islam di negara ini.
 Menurut Nasiruddin, paling menyentuh hati kecil insaniah beliau ialah melihat 
ibadat solat yang dilaksanakan secara berjemaah. 
 Apatah lagi, melihat disiplin dan pergerakannya yang begitu cantik dan sarat 
pengajaran di sebaliknya. Begitu juga, apabila turut berpeluang meraikan 
sambutan hari kebesaran umat Islam sedunia iaitu, Hari Raya Puasa.
 "Ada banyak juga ilmu berkaitan agama Islam saya peroleh secara tidak langsung 
iaitu menerusi ceramah di masjid berdekatan kediaman pakcik. Biarpun apa yang 
didengar cuma di hujung corong pembesar suara tetapi kesannya menangkap 
hinggakan timbul desakan untuk mempelajarinya. Di samping, tidak malu bertanya.
 "Sungguhpun baru beberapa bulan berada di Malaysia, anggapan saya tentang 
semua agama itu sama, sebenarnya meleset belaka selepas saya mengenali Islam 
yang sebenar. 
 "Ia adalah satu agama yang lengkap dan meliputi pelbagai bidang ilmu 
sehinggakan perkara-perkara yang remeh dijelaskan secara terperinci. Hal ini 
sekali gus menimbulkan keyakinan untuk menjadikan Islam sebagai pegangan 
hidup," jelas Nasiruddin yang kini mengajar pendidikan Islam kepada masyarakat 
Orang Asli Islam di Perkampungan Orang Asli Batu 12, Gombak, Selangor. 
 Tambah anak sulung daripada lapan adik-beradik ini, selepas bergelar Muslim, 
beliau tidak berani pulang ke kampung pada peringkat awalnya. Sungguhpun 
keluarga menerima pengislaman dirinya, mereka masih beranggapan soal agama itu 
boleh ditukar-tukar, umpama bertukar baju. Hakikatnya, tidak sebegitu. 
 Lantaran itu, beliau berazam untuk mendalami Islam dengan mengikuti 
kelas-kelas agama di Pejabat Agama Islam Gombak Timur seminggu sekali, selain 
menghadiri kursus-kursus anjuran Majlis Agama Islam Selangor (MAIS). 
 Hinggalah pada tahun 2000, Nasiruddin berpeluang melanjutkan pelajaran di 
Institut Dakwah Islamiah Perkim (IDIP) di Kota Bahru, kelantan selama tiga 
tahun. Pada 2003, beliau berjaya memperoleh Sijil Islam dan Dakwah.
 Menceritakan pengalaman pertama pulang ke kampung, perasaan takut berjaya 
diatasi memandangkan sudah ada sedikit ilmu di dada. Walau bagaimanapun, 
bertemu dengan keluarga adalah kegembiraan yang sukar digambarkan. 
 "Alhamdulillah, dengan ada ilmu, gementar berhadapan dengan persoalan keluarga 
dapat dikurangkan. Malah saya tidaklah menerangkan tentang Islam secara 
mendadak. Bagi saya, akhlak Rasulullah perlu ditonjolkan dahulu kerana dakwah 
secara ini jauh lebih berkesan. 
 "Saya juga bersyukur sentiasa dikelilingi teman-teman yang begitu memahami. 
Paling saya hargai sewaktu kejadian gempa bumi di tempat saya. Sokongan dan 
bantuan warga KUIS telah memenuhi hajat saya untuk pulang ke kampung halaman 
melihat keadaan mereka selepas peristiwa ngeri itu. Jasa dan kebaikan mereka 
hanya Allah yang dapat membalasnya," kata Nasiruddin yang berhajat untuk 
menyambung pengajian hingga ke peringkat ijazah sarjana muda sebelum berdakwah 
ke negara kelahirannya.

       
---------------------------------
Tired of visiting multiple sites for showtimes? 
  Yahoo! Movies is all you need

Kirim email ke