Bayaran rebat dicepatkan kepada Sabtu ini  09/06/2008 9:01pm

  PUTRAJAYA 9 Jun ¡X Kerajaan hari ini mengumumkan bayaran rebat kepada pemilik 
kenderaan persendirian yang layak yang sebelum ini dijadualkan mulai 1 Julai, 
dipercepatkan kepada Sabtu ini bagi mengurangkan bebanan rakyat akibat kenaikan 
harga minyak.
   
  Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata pemilik kenderaan 
yang telah memperbaharui cukai jalan pada April dan Mei tahun ini juga boleh 
mendapatkan bayaran berkenaan di pejabat pos pada tarikh berkenaan.
   
  Maklumat terperinci mengenai prosedur berhubung perkara itu akan diumumkan 
dalam masa terdekat, katanya selepas mempengerusikan mesyuarat pertama majlis 
menangani inflasi di pejabatnya di sini hari ini.
   
  Pemilik kenderaan berkuasa 2000 cc ke bawah, pikap dan pacuan empat roda yang 
berkuasa 2500 cc ke bawah akan diberi rebat RM625 setahun namun, bagi pemilik 
motosikal berkuasa 250 cc ke bawah rebatnya RM150 setahun.
  - Bernama
   
   
  Elaun keraian anggota kabinet dikurangkan 10 peratus   09/06/2008 9:01pm
  
 
  PUTRAJAYA 9 Jun ¡X Elaun keraian melibatkan Perdana Menteri, Timbalan Perdana 
Menteri, Menteri dan Timbalan Menteri akan dipotong 10 peratus mulai 1 Julai 
ini, kata Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini.
   
  Mengumumkan langkah-langkah penjimatan yang akan menjimatkan RM2 bilion 
setahun, Perdana Menteri berkata kerajaan akan mengumumkan langkah-langkah lain 
dari semasa ke semasa dalam usaha mengurangkan perbelanjaan kerajaan berikutan 
kenaikan harga minyak.
   
  Abdullah berkata penjimatan itu termasuk membekukan cuti berbayar bagi 
menteri dan timbalan menteri dan mengehadkannya kepada dalam negeri dan rantau 
Asean sahaja serta tidak melebihi seminggu.
   
  Sebelum ini, kumpulan itu menikmati cuti dibayar oleh kerajaan ke mana-mana 
destinasi sekali setahun.
  - Bernama
   
   
  Bot peronda negara jiran halang nelayan Malaysia di Pulau Merambong   
09/06/2008 7:29pm
  
 
  JOHOR BAHRU 9 Jun ¡X Nelayan-nelayan di Gelang Patah kini tidak lagi dapat 
menangkap ikan di perairan Pulau Merambong, kawasan yang kaya dengan sumber 
ikan, berikutan tindakan bot-bot peronda negara jiran menghalang nelayan.
   
  Menurut nelayan itu, walaupun pulau itu terletak dalam sempadan maritim 
Malaysia, pihak berkuasa negara jiran sering menghalang mereka daripada 
menangkap ikan di kawasan terbabit terutamanya pada waktu malam. 
   
  "Walaupun kita tahu kita berada di dalam perairan Malaysia berdasarkan 
kedudukan boya penanda sempadan, mereka (bot peronda negara jiran) tetap 
bertindak menghalau kita dengan alasan berada terlalu dekat dengan sempadan 
perairan negara mereka,¡¨ menurut nelayan di Kampung Pendas Laut, Mohd Rosli 
Abu, 58, kepada Bernama hari ini.
   
  Anggota bot peronda pengawal negara jiran itu dakwanya, juga pernah beberapa 
kali merampas kad pengenalannya ketika beliau sedang menangkap ikan berhampiran 
pulau itu pada waktu malam. 
   
  Mohd Rosli berkata, mereka memberi alasan mahu memeriksa sama ada beliau 
mempunyai rekod jenayah, sebelum memulangkan kembali kad pengenalannya itu. 
   
  "Kadang kala ada di antara bot-bot peronda terbabit dipandu laju berhampiran 
bot kecil saya, sehingga hampir mengakibatkan bot saya terbalik disebabkan 
ombak,¡¨ katanya, dan menambah, ini sebagai usaha untuk menghalaunya. 
   
  Pulau Merambong yang tidak berpenghuni itu terletak berhampiran sempadan 
maritim Malaysia dan Singapura. Ia hanya terletak kira-kira 10 minit perjalanan 
menggunakan bot dari Tuas, Singapura berbanding 30-45 minit dari Gelang Patah. 
   
  Nelayan, Tarmizi Jailani, 46, pula berkata, tindakan agresif bot peronda 
negara jiran itu mengakibatkan nelayan-nelayan tempatan kini tidak menjadikan 
kawasan perairan sekitar Pulau Merambong sebagai kawasan tangkapan ikan.
   
  "Apabila masuk sahaja 7 malam, nelayan akan meninggalkan kawasan perairan 
sekitar Pulau Merambong kerana bimbang akan gangguan dari bot-bot peronda 
negara jiran,¡¨ katanya.
   
  Nelayan-nelayan tempatan menurutnya, mengetahui tentang kedudukan sempadan 
maritim di antara Malaysia dan Singapura di sekitar Pulau Merambong itu 
berikutan terdapatnya beberapa tanda sempadan yang didirikan oleh Jabatan Laut. 
   
  "Kita sudah bertahun-tahun menangkap ikan di sini, kita tahu di mana perairan 
Malaysia dan perairan Singapura,¡¨ kata Tarmizi.
   
  Sementara itu Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nusajaya Datuk Abdul Aziz 
Sapian meminta pihak berkuasa negara ini menjalankan rondaan dengan lebih kerap 
di perairan Pulau Merambong bagi menangani masalah gangguan bot peronda negara 
jiran terhadap nelayan tempatan.
   
  "Kita terima banyak laporan dari nelayan-nelayan tempatan tentang gangguan 
daripada bot peronda negara jiran walaupun mereka (nelayan tempatan) jelas 
berada di dalam perairan Malaysia,¡¨ katanya.
   
  Beliau yang membawa media tempatan melawat Pulau Merambong menggunakan kapal 
Jabatan Laut Wilayah Selatan hari ini mahukan pulau yang terletak di lokasi 
strategik di Selat Johor itu dibangunkan.
   
  Menurutnya, Pulau Merambong itu amat strategik kerana ia terletak di 
tengah-tengah laluan perkapalan yang sibuk untuk ke Pelabuhan Tanjung Pelepas 
(PTP), loji janakuasa Tanjung Bin dan Asia Petroleum Hub serta laluan ke 
kawasan industri Tuas di Singapura.
  ¡X BERNAMA 
   
   
  MCA selangor minta kerajaan hapus cukai jalan   09/06/2008 7:07pm
  
 
  KUALA LUMPUR 9 Jun ¡X MCA Selangor hari ini meminta kerajaan pusat 
menghapuskan cukai jalan bagi semua kenderaan untuk meringankan beban kewangan 
rakyat berikutan kenaikan harga bahan bakar dan kemungkinan peningkatan tarif 
tenaga elektrik di negara ini.
   
  Ketika menyuarakan gesaan itu, ketuanya Datuk Ong Tee Keat juga mencadangkan 
agar bayaran tol di Selangor - negeri yang mempunyai paling banyak jalan raya 
bertol di negara ini - turut dihapuskan.
   
  Ong, yang juga Menteri Pengangkutan, berkata keputusan itu diambil hasil 
daripada perbincangan antara pemimpin MCA negeri dan anggota peringkat akar 
umbi.
  Katanya cadangan itu akan dikemukakan kepada kerajaan tidak lama lagi.
   
  "Ini bukan keputusan peribadi saya. Sebagai Menteri Pengangkutan, saya perlu 
memberi perhatian terhadap suara rakyat dan membawanya kepada Kabinet serta 
menteri berkenaan seperti Menteri Kewangan dan Menteri Kerja Raya untuk 
pertimbangan mereka,¡¨ katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan 
mesyuarat MCA Selangor di sini hari ini.
   
  Berikutan kenaikan harga petrol dan diesel, masing-masing sebanyak RM2.70 dan 
RM2.58 seliter mulai Khamis lepas, kerajaan membuat keputusan memberi rebat 
tunai RM625 setahun kepada pemilik kenderaan persendirian dengan kapasiti enjin 
hingga 2000cc serta kenderaan pikap dan trak dengan kapasiti enjin hingga 
2500cc dan RM150 kepada pemilik motosikal dengan kapasiti enjin kurang daripada 
250cc.
   
  Kerajaan juga akan memberi potongan cukai jalan sebanyak RM200 bagi kenderaan 
persendirian dengan kapasiti enjin lebih 2000cc dan RM50 bagi motosikal dengan 
kapasiti enjin lebih 250cc.
   
  Kini, kenderaan persendirian yang menggunakan enjin kurang 2000cc (petrol) 
dikenakan cukai jalan antara RM55 dan RM380 setahun, manakala kenderaan yang 
menggunakan enjin lebih 2000cc dikenakan RM381.
   
  Dalam isu berkaitan, Ong berkata penyusunan semula sistem pengangkutan awam 
di negara ini memerlukan kerjasama menyeluruh daripada pelbagai kementerian.
  Mengenai sistem pengangkutan rel pula, beliau berkata pelbagai inisiatif akan 
dilaksanakan, termasuk audit mengenai kos dan keselamatan sistem itu, 
meningkatkan kapasiti tren (LRT dan KTMB)dan memastikan perkhidmatan yang 
disediakan oleh KTMB mencapai standard antarabangsa.
  ¡X BERNAMA
   
   
  Kerajaan semak kadar kenaikan tambang pengangkutan awam  09/06/2008 6:55pm
  
 
  PUTRAJAYA 9 Jun ¡X Kerajaan sedang menyemak tuntutan pengusaha pengangkutan 
awam yang ingin menaikkan tambang perkhidmatan berikutan kenaikan mendadak 
harga petrol dan diesel.
   
  Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Saifuddin Abdullah 
berkata, semakan itu, yang meliputi bas ekspres, bas berhenti-henti, teksi dan 
bas sekolah dijangka dikemukakan pada Kabinet dalam masa terdekat.
   
  Beliau bagaimanapun enggan mengulas sama ada tambang untuk semua pengangkutan 
awam tersebut akan dinaikkan selepas kertas dibentangkan pada Kabinet.
  ¡§Kajian ini dijalankan sejak tahun lepas dan kini dalam peringkat akhir. 
Kami akan berusaha supaya hasilnya dibawa ke Kabinet akhir bulan ini.
   
  ¡§Kemungkinan ada tiga iaitu tambang naik, turun atau kekal pada status 
quo,¡¨ katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini, hari ini.
   
  Saifuddin berkata semua pengusaha pengangkutan awam mesti mematuhi tambang 
sedia ada sebelum kadar baru diputuskan kerajaan.
   
  ¡§Kita memahami masalah-masalah yang dihadapi oleh pengusaha pengangkutan 
awam tetapi undang-undang itu ada, mereka perlu mematuhinya.
   
  ¡§Tidak adil jika tambang dinaikkan, pengusaha bas ekspres diberikan subsidi 
diesel oleh kerajaan demi memastikan kos pengangkutan awam tidak meningkat,¡¨ 
katanya.
   
  Mengenai operasi sita yang dijalankan Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan 
(LPKP), beliau berkata, setakat semalam 41 permit pengangkutan awam telah 
disita, 19 di Johor Baharu, 18 di wilayah tengah dan empat di wilayah utara 
kerana mengenakan tambang berlebihan.
   
  ¡§Tidak dinafikan bahawa ada kenaikan harga tambang untuk sesetengah 
destinasi tetapi ia tidak melebihi jadual tambang yang diluluskan.
   
  ¡§Ini kerana sebelum harga diesel dinaikkan, para pengusaha bas telah menjual 
tiket pada harga diskaun atas faktor persaingan perniagaan,¡¨ katanya.
   
  Saiffudin berkata, kenaikan tambang bas ekspres bagaimanapun dikesan di 
kalangan ¡§ulat-ulat¡¨ yang beroperasi di luar kaunter tiket.
   
  ¡§Oleh itu kerjasama dan kesedaran daripada pengguna diharapkan supaya jangan 
membeli daripada ulat,¡¨ katanya.
   
  Katanya sebarang aduan mengenai aktiviti ulat atau kenaikan harga tambang 
boleh disampaikan kepada LPKP menerusi talian 1-800-88-9600 atau khidmat 
pesanan ringkas (SMS) ke 39900 berserta maklumat seperti tarikh, masa, tempat, 
nombor kenderaan dan nama syarikat.
  ¡X BERNAMA
   
   
  Syabas tolak terma, syarat akujanji air percuma   09/06/2008 5:45pm
  
 
  KUALA LUMPUR 9 Jun ¡X Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) hari ini 
menolak terma-terma dan syarat-syarat pembayaran yang dijanjikan Kumpulan Darul 
Ehsan Berhad (KDEB) bagi pihak kerajaan negeri Selangor berhubung pemberian 20 
meter padu air percuma.
   
  Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Ruslan Hassan berkata setelah menelitinya, 
SYABAS tidak bersetuju dengan kandungan surat akujanji bersyarat KDEB itu yang 
ditandatangani pada 6 Jun lalu dan dihantar kepada SYABAS dengan serahan tangan 
pagi ini.
   
  Surat penolakan SYABAS itu telah dihantar kepada KDEB untuk makluman dan 
tindakan lanjut, katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari 
ini.
   
  Ruslan berkata SYABAS tidak bersetuju dengan akujanji itu yang mencadangkan 
pembayaran bil-bil air yang diberikan percuma kepada pengguna hanya akan dibuat 
oleh KDEB selepas cadangan penstrukturan semula sistem bekalan air di Selangor 
oleh KDEB siap sepenuhnya September depan.
   
  Katanya cadangan KDEB itu secara langsung menjejaskan aliran tunai SYABAS dan 
boleh menjejaskan operasi syarikat itu.
   
  Ruslan berkata SYABAS berpendapat pemberian air percuma yang dicadangkan 
kerajaan Selangor itu tiada kaitan dengan program penstrukturan yang 
dicadangkan di negeri itu.
  "Oleh itu, cadangan balas SYABAS ialah untuk mengebil kepada pihak KDEB 
setiap penghujung bulan dan pembayaran oleh KDEB kepada SYABAS perlu diterima 
dalam tempoh 14 hari daripada penyerahan tuntutan tersebut,¡¨ katanya.
   
  Katanya kegagalan KDEB memenuhi syarat pembayaran seperti yang dicadangkan 
itu akan menyebabkan SYABAS terpaksa menghentikan program pemberian air percuma 
itu.
   
  Ruslan berkata SYABAS akan meneruskan dengan pengeluaran bil-bil seperti 
biasa tanpa pemotongan atau subsidi sehingga ia berpuas hati dengan akujanji 
yang dikeluarkan kerajaan negeri Selangor mahupun KDEB bagi pembayaran 20 meter 
padu air yang dijanjikan kerana SYABAS tertakluk kepada perjanjian konsesi 
seperti yang ditandatangani dengan kerajaan negeri dan Pusat.
  ¡X BERNAMA

       

Reply via email to