Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat 
Thu | Jul 10, 08 | 4:35:35 pm MYT       Permintaan Umno supaya "Yang di-Pertuan 
Agong campurtangan bagi menangani penghakisan hak-hak keistimewaan bumiputera" 
(Utusan Malaysia, 8 Julai 2008) ibarat mengesahkan satu perkara sahaja iaitu 
Umno yang telah mengangkat kedua-dua belah tangan. 
-->  Dia sendiri telah secara muktamad mengesahkan kegagalan parti itu sebagai 
pembela orang Melayu. Sudah selama 50 tahun dia membela(?).   Nasib orang 
Melayu menjunam dalam hampir semua pentas; agama, bangsa, tanah dan air.   
Bertolak dari kegagalan agama yang boleh disukat melalui pemisahan pemerintahan 
dengan Islam, menukar Islam sejati dengan Islam Hadhari, gejala ratusan ribu 
umat Islam yang murtad, sejuta penagih dadah, bangsa Melayu yang kekacauan 
identiti dan jati diri dari segi bahasa, adat, budaya dan budi; tanah rezab 
Melayu yang semakin susut serta terjual dan tergadainya tanah, air dan pasir 
dalam bentuk pukal akibat rundingan dan perjanjian yang tidak cermat dengan 
negara jiran.   Jika orang Umno asyik minta Yang Di-Pertuan Agong campur tangan 
untuk memperbetulkan setiap kali kesalahan yang dibuat mereka, sedarkah Umno 
bahawa Yang di-Pertuan Agong inipun adalah Raja bagi seluruh warganegara.   Apa 
kata jika mereka pun mengangkat memorandum balas membantah
 dasar-dasar diskriminasi Umno terhadap segala ketidakadilan Umno.   Ini semua 
bertolak dari perletakan paksi perjuangan yang salah. Jika Umno dari awal tidak 
meletakkan paksi bangsa dalam perjuangannya, bahkan meletakkan Islam sebagai 
asas, saya percaya keadaan tidak jadi setenat ini.   Apabila Umno 
membesar-besarkan bangsa, mengibar keris telanjang, mengacah dan mengucup keris 
berterusan, orang bukan Melayupun boleh gerun.   Apabila naluri manusia terasa 
terancam, mereka pada logiknya juga akan menggunakan sentimen bangsa sebagai 
perisai pertahanan yang sama. Mereka akan mengumpul dan menggunakan persamaan 
dan perkongsian sentimen sebagai benteng pertahanan.   Ini segala-galanya 
berpunca dari Umno. Sebab itu, polemik mengenai perpaduan nasional tidak pernah 
selesai.   Jika Islam yakin bahawa kaedah pengagungan bangsa adalah formula 
yang tepat, sudah lama Nabi SAW menggunakan keunggulan suku bangsa Quraisy 
sebagai tunjang perpaduan kaum. Semua orang diwajibkan menerima
 Quraisy segagai bangsa "superior".   Soalnya, kenapa Nabi Junjungan kita tidak 
memilih berbuat begitu?   Bahkan sebaliknya, Baginda menempelak asobiyah bangsa 
dengan sepotong sabda bermaksud, "tiada kelebihan bangsa Arab atas bangsa 
�Ajam kecuali dengan taqwa."   Kini sesudah 50 tahun, tanpa diatur dan 
ditunjuk-tunjuk oleh pemimpin Umno sekalipun, orang Melayu sudah lama tahu 
punca silapnya orang Melayu.   Mereka sangat tahu bahawa kegagalan ini 
disebabkan pengkhianatan pemimpin Umno dahulu dan sekarang yang tergamak 
memperkuda dan memperhambakan Melayu sesama Melayu.   Berselindung di sebalik 
istilah bumiputera, mereka (Umno) ratah daging dan darah sesama Melayu. Jika 
adapun usaha, mereka cuma berminat mengada-adakan projek yang boleh 
memperkayakan segelintir pemimpin Umno dan kroni.   Lihat sahaja isu di sekitar 
penjualan pasir satu waktu dulu, penguasaan saham di ECM Libra, Scomi, 
pembelian bas-bas RapidKL, isu kapal selam, siapa berada dibelakang Bernas dan
 terkini pula berbangkit soal tuduhan penglibatan pemimpin Umno dalam kontrak 
pembinaan Terminal Penerbangan Tambang Murah di Sepang atau disebut LCCT.   
Saya cuma sedut beberapa contoh untuk sekadar menggambarkan perihal curiganya 
rakyat terhadap kerja Umno yang kononnya membela orang Melayu.   Bila terdesak 
rapat ke dinding, mulalah panggil Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu. 
Satu masa nanti, jangan terkejut jika Kebawah Duli Raja-Raja Melayu kitapun 
boleh tiba ke tahap meragui keupayaan Pemimpin Negara yang ada sekarang. Di 
peringkat itu, saya tidak tahulah apa yang akan terjadi.   Sekarang, benih yang 
salah, yang ditanam 50 tahun lalu sudah berbuah. Ia beracun dan cukup pahit 
bila dimakan.   Ia telah menimbulkan loya dan sedang menyebabkan muntah-muntah 
di kalangan Melayu dan bukan Melayu. Hakikat jatuhnya hampir separuh 
kerajaan-kerajaan negeri dari tangan Umno/BN dalam pilihan raya 8 Mac lalu 
adalah testimoni.   Ini berbeza dengan PAS. Kita tidak bermuka-muka.
 Kita mahukan Islam sejak dari tahun 1951 hingga kini dan Insya Allah, hingga 
sampai ke hari kiamat.   Jika Umno bermula dari Islam sejak awal penubuhannya, 
tentu keadaan tidak menjadi begini.   Dengan menolak Islam dan mengambil faham 
kebangsaan, Umno secara terbuka sanggup mendepani mana-mana gerakan siasah yang 
mahukan Islam.   Bermacam-macam tindakan zalim telah dibuat walaupun di luar 
lingkungan keizinan demokrasi.   Dalam banyak hal, dia (umno) memperalatkan 
kuasa majoriti yang diperuntukkan dalam amalan demokrasi untuk menyekat dan 
menyusahkan pergerakan dan kemajuan agamanya sendiri.   Saya masih ingat lagi 
bagaimana ramai ulama�, ustaz dan aktivis Islam ditangkap dan disiksa.   
Ada Adun PAS yang mati dikapak di tengah-tengah pekan Kota Bharu pada tahun 
1960an.   Ada Adun dari Pasir Mas yang disumbat ke dalam penjara hingga menjadi 
hilang ingatan.   Ada jambatan dibakar di Rantau Panjang untuk menyekat 
pengundi-pengundi PAS dari keluar mengundi.   Ada
 penjawat awam yang menyokong gerakan Islam yang ditukar, ditahan kenaikan gaji 
dan disekat kenaikan pangkat.   Ada yang dicerai dan hidup menjanda kerana 
rumahtangga mereka porak peranda akibat suami yang disumbat ke penjara melalui 
ISA. Semuanya ini terlalu banyak berlaku di Kelantan.   Di Kedah pula, 14 orang 
ustaz dan orang awam dikepung dan ditembak hidup-hidup pada tahun 1986. Memali 
tiba-tiba menjadi kolam darah yang mengambus jasad syuhada, pejuang dan para 
wali.   Tanpa segan silu, Umno jugalah yang menafikan banyak peruntukan pusat 
dari mengalir ke Kelantan dan Terengganu. Siapa berani mengatakan bahawa 
sekatan penerimaan royalti minyak kepada Kerajaan Negeri Terengganu diantara 
tahun 1999 � 2004, misalnya, tidak berunsur politik?   Kini, Umno 
memutuskan Kerajaan Terengganu diberikan semula royalti kerana diperintah oleh 
Umno/BN.   Tidak zalimkah lagi? Lihatlah betapa siksanya pejuang-pejuang, 
penyokong-penyokong dan pencinta Islam untuk hidup di bawah
 dasar-dasar kemelayuan Umno yang melampau.   Pendek kata, terlalu panjang 
senarai kezaliman yang dilakukan oleh Umno kerana mengambil kebangsaan dan 
meninggalkan Islam.   Kini setelah 50 tahun, segala kudis, nanah, panau dan 
kurap penyakit asobiyah telah keluar ke permukaan.   Ada kes pembunuh Altantuya 
yang disebut-sebut melibatkan pemimpin tertinggi Umno. Setelah DSAI tidak 
terbukti melakukan liwat walaupun dituduh melakukan liwat 10 tahun yang lalu, 
kini dituduhnya beliau sekali lagi melakukan liwat. Lagi!   Belum reda dengan 
kemarahan rakyat mengenai kenaikan harga petrol, rakyat dihidangkan pula dengan 
berita terlepasnya Pulau Batu Putih daripada tangan Malaysia.   Entah. Saya 
tidak nampak cahaya lagi di hujung terowong masa depan untuk Malaysia baik 
dunia atau akhirat selagi berada di bawah Umno/BN. Majoriti rakyat pun saya 
kira sudah berkesimpulan begitu.   Ini boleh dikesan melalui pelbagai 
tulisan-tulisan kekecewaan baik di akhbar perdana, warta-warta mingguan,
 media-media nyamuk dan suara-suara berita dari akhbar-akhbar alternatif. Jika 
orang muda yang selalu buka laman web dan blog, fenomena ini semakin jelas.   
Apa yang ada di hadapan rakyat sekarang cuma satu sahaja iaitu memilih Pakatan 
Rakyat sebagai kerajaan alternatif.   TUAN GURU DATO' NIK ABDUL AZIZ BIN NIK 
MAT 
Menteri Besar Kelantan   6 Rejab 1429/ 9 Julai 2008. - mr_ 

       

Reply via email to