Sekapur Sireh
Pantun merupakan puisi berangkap tradisional yang sememangnya tidak dapat 
dipisahkan dalam apa-apa jua majlis. Penggunaan pantun dalam sesuatu majlis 
dapat mengukuhkan penyampaian hasrat dan buah fikiran seseorang pengacara 
majlis. Bahasanya yang indah, lembut dan tersusun mampu menyentuh dan mencuit 
perasaan hadirin. Penggunaan pantun dalam teks pengacara majlis pastinya 
menimbulkan pelbagai perasaan dalam kalangan hadirin mengikut atur cara sesuatu 
majlis. Jadi, penggunaan pantun dalam teks pengacara majlis sudah tentu dapat 
menarik perhatian dan tumpuan hadirin agar terus bersama-sama menjayakan majlis 
tersebut dengan jayanya. 

Oleh sebab pantun begitu berkuasa dalam mengindah dan membangkitkan perasaan 
hadirin, maka dalam pasaran sekarang terdapat banyak buku pantun. Namun, buku 
pantun yang diterbitkan acapkali menjurus kepada jenis majlis. Hal ini banyak 
menyebabkan orang bertanya kepada saya tentang pantun yang sesuai untuk apa-apa 
jua jenis majlis dan tidak terhad kepada majlis-majlis tertentu. Persoalan yang 
dilontarkan kepada saya ini menerbitkan idea kepada saya untuk menulis buku 
aneka contoh pantun pilihan mengikut atur cara majlis. 


Konsep buku ini sebenarnya bukan sahaja memudahkan pengacara majlis tetapi juga 
memudahkan sesiapa sahaja yang berminat dalam penulisan teks pengacara majlis 
atau baru berjinak-jinak untuk menjadi pengacara majlis untuk memasukkan contoh 
pantun pilihan sedia ada atau mengolah pantun yang diberikan mengikut 
kesesuaian majlis dan acara yang dikendalikan. Jadi, buku ini ditulis untuk 
memberi anda sedikit panduan dan idea tentang pantun yang sesuai mengikut atur 
cara. 


Terdapat enam bahagian dalam buku ini, iaitu:

Bahagian I - Asal Usul Pantun
Bahagian II - Fungsi Pantun
Bahagian III - Teknik Penciptaan Pantun
Bahagian IV - Senarai Kata Berima (Pembayang)
Bahagian V - Aneka Contoh Pantun Pilihan Mengikut Atur Cara Majlis
Bahagian VI - Pantun Untuk Atur Cara-atur Cara Lain

Bahagian I menyatakan maksud dan asal usul pantun Melayu secara ringkas. 

Bahagian II menyentuh fungsi pantun. Bahagian ini dipecahkan kepada dua, iaitu 
fungsi pantun dalam masyarakat Melayu pada zaman dahulu dan fungsi pantun dalam 
teks pengacara majlis. 


Dalam bahagian III pula, diberikan panduan untuk mencipta pantun mengikut 
langkah demi langkah. Dalam bahagian ini juga diberikan penjelasan tentang 
ciri-ciri pantun empat kerat untuk memudahkan pembaca mencipta pantun. 

Dalam bahagian IV, diberikan senarai kata berima yang dapat digunakan dalam 
mencipta pembayang pantun.


Dalam bahagian V, dimuatkan aneka contoh pantun pilihan mengikut atur cara 
majlis yang boleh diubah suai mengikut selera pengacara majlis. Buku ini 
menyajikan 11 jenis pantun mengikut atur cara majlis yang kerap diadakan dalam 
sesuatu majlis rasmi, iaitu:


Pantun Memulakan Majlis
Pantun Bacaan Doa
Pantun Mempersilakan Tamu Memberikan Ucapan
Pantun Ucapan Terima Kasih
Pantun Persembahan/Selingan
Pantun Mempersilakan Tetamu Menjamu Selera
Pantun Sebelum dan Selepas Penyampaian Hadiah/Cabutan Bertuah/Cenderamata
Pantun Meredakan Debaran
Pantun Sebelum dan Selepas Gimik
Pantun Memohon Maaf
Pantun Penutup Majlis

Akhir sekali, bahagian VI mempersembahkan pantun untuk atur cara-atur cara lain 
yang mungkin tidak disentuh secara spesifik dalam bahagian V.


Diharapkan buku ini dapat mencetuskan idea dan membantu para pengacara majlis 
atau bakal pengacara majlis untuk mengindahkan teks pengacaraan agar majlis 
rasmi yang dikendalikan tidak terlalu dilihat seperti majlis pengumuman 
semata-mata. 

*Petikan daripada Bahagian II

Fungsi pantun dalam masyarakat Melayu

Pantun Melayu terdiri daripada beberapa jenis pantun seperti pantun adat, 
agama, nasihat, jenaka, budi dan teka-teki. Setiap pantun yang dicipta 
mempunyai fungsi atau kegunaannya sendiri. Dalam masyarakat Melayu, pantun 
merupakan satu corak komunikasi berseni yang digunakan di tempat yang tertentu, 
dalam upacara yang tertentu atau untuk menyampaikan sesuatu dalam maksud 
termasuk kiasan atau sindiran. Penggunaan pantun dalam menyampaikan sindiran 
bertujuan agar yang kena sindir atau yang kena nasihat itu tidak marah, tetapi 
sebaliknya mempunyai azam untuk membaiki perbuatan dan perangai yang tidak 
disukai. Diingatkan di sini, seseorang yang akan menyampai atau melafazkan 
pantun juga harus memerhatikan isi pantun. Keadaan pantun dilafaz menjadi 
pertimbangan dalam penyampaikan isi pantun. Jika hal ini tidak diberi perhatian 
oleh orang yang melafazkan pantun, dikhuatiri akan menimbulkan salah faham 
kepada pendengar terutama pantun yang berkaitan dengan sindiran dan nasihat. 
Begitu juga jika melafazkan pantun berkaitan dengan budi dan jenaka. Cara 
melafazkan pantun harus dijaga agar maksud atau tujuan sesuatu pantun itu 
dilafazkan sampai kepada pendengar. Sesungguhnya, Pantun Melayu yang dicipta 
oleh masyarakat Melayu dahulu mempunyai beberapa fungsi. 

2.1.1 Untuk mendidik 


Masyarakat Melayu terutamanya golongan tua kaya dengan pelbagai nasihat. 
Sebagai golongan yang 'makan garam' terlebih dahulu pastinya mereka mempunyai 
pelbagai pengalaman hidup dan amat peka terhadap perubahan sesuatu perkara. 
Justeru, jika mereka mendapati ada sesuatu perkara yang tidak kena atau 
bertujuan untuk memberikan peringatan kepada golongan muda atau kanak-kanak, 
mereka akan menggunakan pantun sebagai alat untuk menyampaikan nasihat dan 
didikan. Contohnya seperti pantun Melayu lama ini;


Air melurut di tepian mandi,
Kembang berseri bunga senduduk;
Elok diturut resmi padi,
Semakin berisi semakin tunduk.

Selain pantun nasihat, pantun agama juga dicipta oleh masyarakat dahulu untuk 
tujuan mendidik. Pantun agama yang dicipta selalunya memberikan peringatan dan 
pedoman kepada semua lapisan masyarakat agar tidak tersasar ke jalan yang 
salah. Contohnya seperti pantun Melayu lama ini;

Sungguh indah pintu dipahat,
Burung puyuh di atas dahan;
Kalau hidup hendak selamat,
Taat selalu perintah Tuhan.


Maklumat lanjut berkenaan buku ANEKA CONTOH PANTUN PILIHAN MENGIKUT ATUR CARA 
MAJLIS  ini boleh didapati di www.perintis.com.my. Harga senaskhah ialah RM17. 
Jumlah muka surat ialah 160.

Kirim email ke