ADA setitik cemas berpusar di lubuk hati sementara menanti apakah
keputusan dan hasil pertemuan para Shibul Samaah, ahli Majlis Syura Pas
dengan Tokguru Nik Aziz yang juga Mursyidul Am Pas di Kota Bharu petang
tadi.

Resah dan gelisah takut mereka berbalah. Al maklumlah
(sekurang-kurangnya) lima lawan seorang. Lima ahli majlis syura dan
seorang Tok Guru. Kalau bertumbuk tentu Tok Guru yang rebah!

Mereka tidak berbalah, tetapi berbincang sebenarnya.

Sehingga jam 3:00 petang tidak ada apa-apa berita dari Kota Bharu.
Apakah mereka semua sudah cedera jiwa dan hati selepas hebat berdebat
dan membelek kitab? Menyebabkan keputusan tidak dicapai?

Puas cuba melongkar internet mencari blog orang-orang di KB takut-takut
ada yang lapor. Tetapi tidak ada juga. Nak telefon direct kepada
individu berkenaan (ahli majlis syura) rasanya tidak profesional, nanti
orang kata menggunakan konteks peribadi untuk dapat bahan berita. Tak
aci lagu tu.... jadi kena tunggulah.

Jam 6:36 pm baru ada masuk satu SMS yang memaklumkan perkembangan di
Kota Bharu. Bunyi SMS itu; "Asm TGNA beri lampu hijau muqabalah dengan
Pak Lah, presiden ketuai urusan politik.."

Terpinar juga biji mata sekejap membaca perkataan muqabalah. Apa
menatang muqabalah tu? Lepas tanya di pengirim baru tahu, rupa-rupanya
maknanya bersemuka. Tak pa lah tidak muzakarah, bersemuka pun jadilah...

Selepas berita TV3 yang kadang boleh dipercayai dan kadang tidak itu
menyiarkan kenyataan ringkas (sambil berdiri) Abdul Hadi, barulah
kelegaan sebenarnya terdampar di hati.

Lega kerana cadangan baik itu mendapat restui Nik Aziz. Pertemuan
membuahkan hasil yang baik seperti didoakan.

Maknanya pertemuan dan kerja majlis syura ulama itu menyelesaikan
masalah yang bertompok hari ini. Semua pihak diharap dapat menerima apa
yang diputuskan itu. Bahawa tidak ada perbicangan untuk bergabung
dengan Umno.

Tidak ada pengkhianatan dengan PKR, tidak ada soal sesiapa nak jadi
menteri, timbalan menteri ataupun pemandu kereta speaker.

Alhamdulilah...

Dan sekejap tadi saya menerima satu lagi SMS berhubung hal yang sama.
Pelik bunyinya. "He he aku menang...! Siapa yang menang? Saya menumpang
rasa menang dengan pengirim berkenaan, aku menang. Bukan aku, tetapi
kita orang-orang yang benar dan ikhlas!

Menang kerana melihat pemimpin tertinggi PAS duduk sekali dan masih
memakai akhlak Rasulullah s.a.w. dalam berbincang dan membuat keputusan
parti. Tahniah kepada Tok Guru Nik Aziz dan semua ahli majlis syura
ulama dan mereka yang menerima baik hasil temubincang di Kota Bharu itu.

Setidak-tidaknya kekalutan isu yang timbul kini telah menambahkan
perbendaharaan kata yang berbunyi MUQABALAH. [Berita asal]
Penulis dilahirkan di Kampung Gual Nibong, Gual Periok, Pasir Mas
Kelantan pada Feb, 1960. Mendapat pendidikan dan pengalaman
kewartawanan di Indonesia awal tahun 1980-an. Berkecimpung dalam dunia
kewartawan/penulisan buku politik sejak lebih 20 tahun. Sehingga kini
telah menghasilkan lebih 45 buah buku politik semasa. Antara buku yang
menjadi sebutan "Anwar Ibrahim: Mimpi dan Realiti, "Sumpah dan Airmata
Reformis Bangsa:,"Saya Mahafiraun", "Hitam Putih: Darul Arqam" dan
lain-lain. Blog beliau boleh dilayari di msomelayu.blogspot.com -
Pengarang

--
Posted By Topengperak_Xinwugi to Perisik Rakyat at 7/24/2008 01:51:00 AM

Kirim email ke