PP: Kerajaan Negeri Pulau Pinang kini akan membuka tender kepada orang
ramai berhubung dengan pengeluaran akhbar rasmi Kerajaan Negeri, Suara
Rakyat Pulau Pinang.

Sebelum ini, akhbar rasmi Kerajaan Negeri dipanggil Wawasan Rakyat
Pulau Pinang sepenuhnya dikeluarkan oleh pihak Kerajaan Negeri.

Suara Rakyat Pulau Pinang pertama kali dikeluarkan pada 23 Julai 2008.

Pengumuman tersebut dikeluarkan sendiri oleh exco Perdagangan Tempatan
dan Hal Ehwal Pengguna, Abdul Malik Abul Kassim bagi keluaran akan
datang yang dicadangkan dapat diterbitkan pada September akan datang.

Menurut Abdul Malik, tender terbuka dibuka selaras dengan pentadbiran
kerajaan baru yang diamalkan iaitu Keupayaan, Akauntabiliti dan
Ketelusan (CAT).

Dengan tender terbuka ini, Abdul Malik berharap ianya akan menjadi
sebuah akhbar yang dimiliki rakyat dengan membenarkan kumpulan rakyat
sivil untuk menyumbang dan mengambil bahagian dalam pengisian
penerbitan ini nanti.

"Ia akan menjadi pelantar penting bagi rakyat untuk menyuarakan
pendapat mereka kepada pihak Kerajaan khususnya Ketua Menteri", jelas
Abdul Malik dalam sidang media yang diadakan di Dewan Undangan Negeri
Pulau Pinang.

Berkaitan dengan isu penerbitan, pihak Kerajaan Negeri akan memohon
lesen penerbitan. Namun, Abdul Malik juga menyeru kepada pihak-pihak
yang berminat untuk memohon lesen yang sama dengan sendiri bagi urusan
penerbitan tidak dihalang oleh pengeluaran lesen penerbitan.

Buat masa ini, peruntukan yang diasingkan untuk penerbitan ini ialah
RM276 ribu untuk empat keluaran. Dalam keluaran sulung, kerajaan Negeri
membelanjakan RM85 ribu yang dicetak sebanyak 20,000 naskah.

Sungguhpun keluaran sulung diterbitkan dalam bentuk majalah, Abdul
Malik memberitahu ianya tidak mustahil bagi keluaran akan datang
berbentuk tabloid atau dalam apa juga bentuk.

"Semuanya bergantung kepada cadangan-cadangan dalam tender terbuka yang
berkuatkuasa serta-merta."

Memandangkan penerbitan akan datang diharapkan dapat mewakili rakyat,
Kerajaan juga berhasrat untuk melibatkan jawatankuasa sidang pengarang
nanti dari kalangan para pengarang akhbar, media serta badan-badan
bukan kerajaan (NGO).

Dalam keadaan lain, terdapat beberapa pihak yang merasakan projek
penerbitan seperti Suara Rakyat Pulau Pinang satu pembaziran serta
memfokuskan majalah seperti In-Penang.

Abdul Malik tidak menafikan kepentingan In-Penang sebagai mewakili
kerajaan dalam menyatakan aktiviti-aktiviti yang berlaku di sekitar
negeri ini tetapi Suara Rakyat Pulau Pinang akan memfokuskan kepada
suara rakyat sendiri mengenai isu dan harapan mereka terhadap kerajaan
negeri.

"Kita juga tidak menambah sebarang peruntukan, ianya tetap RM276 ribu
sejak ianya mula diperkenalkan pada tahun 1999", tambah Abdul Malik
lagi.

"Mengapa pihak-pihak ini tidak membangkitkan perkara ini sebelum
pilihanraya?"

"Malah, ini projek cadangan mereka dan memandangkan kerajaan ini
kerajaan rakyat, maka kebebasan diberikan kepada rakyat demi
kepentingan mereka," tambah Abdul Malik.

-KLpos


--
Posted By Topengperak_Xinwugi to Perisik Rakyat at 7/25/2008 12:24:00 AM

Kirim email ke