Kenyataan Media : Pemudawilayah desak Mufti Wilayah keluarkan Fatwa Berhubung 
Konsert Avril
 


Berikutan dari keputusan Menteri Kabinet yang meluluskan Konsert Avril Lavigne 
yang akan berlangsung pada 29 Ogos 2008 di Stadium Merdeka, Dewan Pemuda PAS 
Wilayah Persekutuan (pemudawilayah) mendesak agar Mufti Wilayah Persekutuan, 
Datuk Wan Zahidi Wan Teh dan mufti-mufti lain mengeluarkan Fatwa bagi 
memperjelaskan hukum konsert berkenaan.
 
Fatwa ini penting kerana ia melibatkan soal masa depan masyarakat Malaysia, 
khususnya belia Islam yang kini semakin diperhambakan oleh dunia hiburan.
 
Tindakan kerajaan meluluskan Konsert ini dilihat umpama menuangkan minyak 
diatas api yang marak. Gejala sosial dan kerosakan akhlak semakin meningkat. 
Pemakaian remaja Islam juga semakin singkat dan menyerupai artis kesukaan 
mereka. Identiti Islam dan Melayu semakin luput dari tubuh anak-anak ini.
 
Mufti Wilayah boleh merujuk klip-klip video artis ini yang tersebar diinternet 
sebagai rujukan dalam mengeluarkan fatwa.
 
Pemudawilayah juga meminta agar Mufti Wilayah memainkan peranan yang penting 
dan tidak sekadar mencari populariti politik dengan hanya mengeluarkan 
pandangan terhadap isu hangat seperti kes Sumpah Saiful Bukhari Azlan.
 
Konsert Avril akan ditonton oleh ramai remaja Islam. Jika dibandingkan kesannya 
dengan kes Saiful, konsert ini lebih besar impaknya kerana ia melibatkan ramai 
orang. Oleh itu pemudawilayah mendesak agar Mufti Wilayah memainkan peranannya 
dan mempergunakan Ilmunya yang dikatakan lebih tinggi dari ilmu Imam Masjid 
Wilayah Persekutuan, Ramlang Porigi.
 
Pemudawilayah mengingatkan bahawa menjadi tanggungjawab Mufti Wilayah untuk 
menyelamatkan umat Islam dari terjerumus ke dalam kancah sosialisasi sedemikian 
dan beliau akan diminta pertanggungjawaban dihadapan Allah jika gagal 
mempergunakan ilmu yang ada dalam mencegah kemungkaran. Sesungguhnya neraka 
Allah itu luas, dan orang-orang berilmu tinggi, yang tidak mempergunakan ilmu 
adalah sebahagian dari isinya.
 
Herman Samsudeen
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan


      

Kirim email ke