Laman web Yayasan Pembangunan Nurhikmah http://www.nurhikmah.org.my

Asalamualaikum wbt,

Bulan Ramadhan akan menjelang tidak lama lagi. Seperti biasa banyak syarikat, 
jabatan serta individu sibuk menyusun jadual berbuka puasa. Sudah menjadi 
kelaziman setiap majlis yang adakan antara yang dijemput adalah anak-anak 
yatim. Alhamdulillah dengan adanya jemputan maka dapatlah anak-anak tersebut 
bergembira menikmati juadah yang istimewa. Saat ketibaan bulan Ramadhan 
sangat-sangat dinantikan oleh anak-anak tersebut.

Terima kasih diucapkan kepada pihak penganjur yang saban tahun tidak pernah 
melupakan anak-anak yatim dalam penganjuran majlis mereka. Disamping dijamu 
makan anak-anak ini juga diberikan sumbangan yang berupa duit raya dan juga 
hadiah-hadiah yang lain.

Namun demikian ada beberapa perkara yang harus kita ambil kira. Ianya bukanlah 
satu peraturan yang harus kita patuhi tetapi hanyalah sebagai panduan.

1. Jangan memilih
Dirumah-rumah jagaan anak-anak yatim bukanlah semuanya dihuni oleh anak-anak 
yatim atau piatu sahaja. Terdapat juga anak-anak yang miskin dan anak-anak 
terbiar. Oleh yang demikian janganlah kita sebagai penganjur meletakkan syarat 
untuk menjemput anak-anak yatim atau piatu sahaja. Jemputlah semua anak-anak 
yang ada disitu. Jangan dipinggirkan anak-anak yang lain. Jangan lupa juga 
untuk menjemput 3 atau 4 orang pengiring yang terdiri dari pengurus atau 
pekerja dari rumah tersebut.

2. Sediakan kenderaan atau tambang
Rumah-rumah anak yatim tidaklah mempunyai peruntukan yang besar bagi membiayai 
tambang atau sewa bas. Jika anda ingin menjemput mereka sediakan kenderaan yang 
sesuai. Atau jika mereka perlu uruskan sendiri pengangkutan, berikan sedikit 
peruntukan untuk sewa pengangkutan pergi dan balik. Jika syarikat atau jabatan 
anda memiliki bas sendiri adalah lebih baik.

3. Tempatkan mereka bersama tetamu anda yang lain
Jangan diasingkan anak-anak tersebut diruang yang khas yang berasingan dari 
tetamu lain. Tempatkan mereka bersama-sama tetamu lain. Mereka ingin sekali 
berinteraksi dan bermanja dengan orang lain. Adalah lebih afdhal jika mereka 
diselangselikan dengan tetamu disetiap meja.

4. Anak-anak yatim bukanlah bahan pameran
Seringkali berlaku anak-anak yatim ini akan dapat bertemu dengan tetamu khas 
seperti VIP atau artis ketika sesi bergambar atau sidang akhbar. Sebelum itu 
mereka ditempatkan dimeja barisan belakang. Mereka cuma dipanggil kedepan 
apabila tiba sesi bergambar atau ketika menjadi latarbelakang sesi fotografi 
artis.

5. Selera kita mungkin sama dengan selera mereka
Adalah tidak manis jika tetamu dihidangkan dengan makanan yang berbeza dengan 
anak-anak yatim. Mereka juga ingin menikmati juadah yang istimewa seperti orang 
lain. Oleh yang demikian jangan diasingkan hidangan mereka dengan hidangan 
tetamu-tetamu lain.

6. Jika memberi hadiah, berilah kepada semua
Jika anda akan memberi sumbangan atau cenderamata berikan kepada semua mereka. 
Tentukan jumlah mereka yang akan hadir dan sediakan sumbangan atau cenderamata 
yang secukupnya. Selain dari wang mereka juga memerlukan pakaian dan alat-alat 
tulis.

7. Beri peluang mereka tunjukkan bakat
Kebanyakan rumah anak-anak yatim mempunyai pasukan kompang atau nasyid mereka 
sendiri. Selain dari persembahan artis jemputan, mereka peluang anak-anak ini 
menunjukkan bakat mereka. Mereka merasa dihargai jika diberi peluang memberikan 
persembahan mereka. Tapi jangan lupa memberi notis awal semasa mengundang 
mereka. Mereka juga mempunyai aturacara yang ketat sepanjang bulan ramadhan.

8. Jangan tahan mereka hingga larut malam
Anak-anak perlu menjalani tanggungjawab mereka sebagai pelajar. Mereka perlu 
hadir kesekolah pada awal pagi. Oleh yang demikian jangan menahan mereka 
didalam majlis anda sehingga larut malam. Lepaskan mereka pulang lebih awal 
supaya mereka dapat bangun sahur dengan segar dan seterusnya dapat bersekolah 
esok paginya. Awalkan acara penyampaian sumbangan dan cenderamata.

Semoga apa yang dipaparkan diatas boleh menjadi panduan kepada kita semua dalam 
mengendalikan majlis-majlis berbuka puasa bersama anak-anak yatim kelak. Jika 
anda ingin membuat sebarang penambahan atau komen, dipersilakan.

Terdapat 6 buah pusat jagaan anak-anak yatim, piatu, anak-anak miskin dan 
terbiar dibawah naungan Yayasan Pembangunan Nur Hikmah. Jika anda ingin agar 
kami menguruskan undangan bagi pihak anda sila hubungi En. Ahmad Fadzil di 
012-2968 649 atau boleh terus hubungi rumah-rumah berkenaan seperti berikut :

1. Pondok Penyayang Raudah, Batu 11 Gombak, Selangor
    No. Telefon : 03-61852068 (Ustaz Mukhtaruddin)

2. Asrama Anak-Anak Yatim Qanaah , Taman Greenwood, Gombak
    No. Telefon : 03-61892001 (Puan Shamsiah)

3. Asrama Penyayang Nur Iman, Setapak, KL
    No. Telefon : 019-2519082 (Ustazah Sharimah)

4. Persatuan Anak Yatim Flat Sri Sabah, Cheras, KL
    No. Telefon : 012-2427558 (Puan Kalsom)

5. Rumah Jagaan Nurhikmah, Tmn Mesra, Kajang, Selangor
    No. Telefon : 03-87396994 (Hj. Osman)

6. Asrama Anak-Anak Yatim Nurul Iman, Manjoi, Ipoh, Perak
    No. Telefon : 016-5460071 (En. Khairul)


Terima kasih

* Anda boleh menaja sajian sahur untuk anak-anak yatim melalui Program Mangkuk 
Tingkat. Sila klik MangkukTingkat.com

-----------------------------------------------------

Hadith : 

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:"Sebaik-baik rumah kaum muslimin ialah 
rumah yang ada anak yatim yang diasuh dengan baik dan sejahat-jahat rumah kaum 
muslimin adalah rumah yang ada anak yatim yang selalu diganggu dan disakiti 
hatinya." Riwayat Ibnu Majah

Huraian

i) Penghormatan dan bantuan kepada anak yatim mestilah dijaga terutama mereka 
yang terdiri daripada keluarga yang susah kerana anak yatim begitu memerlukan 
perhatian yang sewajarnya dalam meneruskan kehidupan sebagaimana yang dirasai 
oleh anak-anak yang lain. Mereka begitu rindukan belaian kasih sayang dan juga 
keprihatinan semua pihak agar mereka turut gembira. 

ii) Rasulullah s.a.w juga merupakan anak yatim di mana bapanya Abdullah 
meninggal ketika umurnya 2 bulan dalam kandungan. Manakala ibunya Aminah pula 
meninggal ketika baginda baru berumur 6 tahun iaitu ketika usia seseorang itu 
dahagakan kasih sayang seorang ibu. Datuknya Abdul Muttalib turut meninggalkan 
baginda ketika usia baginda 8 tahun. 

iii) Allah turut menyebut bagaimana keadaan nabi dan bagaimana pula Allah 
membantu baginda sehingga menjadi pemimpin yang teragung. Firman Allah dalam 
ayat 6 - 11 surah ad-Duha yang bermaksud : 

"Bukankah Dia yakni Allah mendapati engkau wahai Muhammad yatim piatu lalu Dia 
memberikan perlindungan. Di dapatiNya engkau mencari-cari jalan kebenaran lalu 
Dia memberikan petunjuk. Didapati-Nya engkau miskin lalu Dia memberikan 
kekayaan. Oleh itu, janganlah engkau mengasari anak yatim. Jangan engkau 
menengking orang yang meminta pertolongan. Maka hendaklah engkau 
menyebut-nyebut nikmat Tuhanmu sebagai tanda syukur kepadaNya." 

iv) Islam melarang umatnya daripada mengkhianati dan menghina anak yatim. 
Tetapi hendaklah memastikan agar hak mereka dalam memiliki harta, ilmu dan 
kasih sayang sentiasa terjaga. Pastikan mereka lahir sebagai anak yang soleh 
yang mampu membantu ibu atau bapa mereka yang telah meninggal dunia kerana 
sesungguhnya membiarkan mereka bererti kita telah mengkhianati agama dan 
menghina mereka bererti kita turut membenci Rasulullah s.a.w yang juga 
merupakan anak yatim piatu. Oleh itu bimbinglah mereka ke jalan yang diredhai 
Allah dan jauhilah mereka daripada jalan kesesatan. Allah telah memberi amaran 
melalui firmanNya dalam Ayat 1-2 Surah al-Ma'un yang bermaksud : "Tahukah 
engkau tentang orang yang mendustakan agama. Dia ialah orang yang menindas 
serta berlaku zalim terhadap anak yatim !" 




-------------------------------------------------------
  YAYASAN PEMBANGUNAN NUR HIKMAH
  No. Pendaftaran : 646393-A
          No. 16-3, Jalan Mesra Niaga,     Taman Mesra,     43000 Kajang,       
Selangor Darul Ehsan.
  Telefon  : 03-87332411
Faks      :  03-87332967
 
  Laman web : www.nurhikmah.org.my
  EMAIL  : [EMAIL PROTECTED] 

Kirim email ke