Setiap apa yang ada di muka bumi ini ada pasangannya. Suami isteri, hitam 
putih, sejuk panas. Begitu juga dengan miskin ada kayanya. Ketika ini banyak 
pihak yang memberi cadangan dan menjalankan program membasmi kemiskinan, samada 
kemiskinan bandar, kemiskinan tegar, fakir miskin apa sahaja yang miskin. 
Hakikatnya kemiskinan hampir mustahil dibasmi. Tetapi kemiskinan tidak mustahil 
dibantu. Setiap seorang miskin yang kita bantu, akan muncul 10 orang lagi 
miskin.

Justeri itu apa yang harus kita semarakkan ialah program membantu mereka yang 
miskin dan memerlukan ini dalam apa jua bentuk bantuan baik bantuan program 
untuk berdikari menjadi usahawan, membantu dari segi kewangan, barangan bahkan 
memberi bantuan kata-kata semangat.

Pada Sabtu 13 September 2008 bersamaan dengan 13 Ramadhan 1429 H saya 
berkesempatan menyertai rombongan ADUN Paroi YB Tn Hj Mohamad Taufek Abd Ghani 
http://mohdtaufek.blogspot.com dan Sdr  Zulkefly Mohamad Hj Omar 
http://zulkeflyomar.blogspot.com mengiringi sebuah persatuan sukarela PIFA 
untuk menghulurkan sumbangan kepada lebih kurang 30 keluarga yang memerlukan 
sekitar Senawang.

Walaupun Senawang ini tidaklah seperti kawasan pendalaman atau kampung, namun 
terdapat sebilangan besar keluarga yang memerlukan bantuan. Pelbagai masalah 
keluarga yang amat memerlukan bantuan yang kami ditemui dari ibu tunggal (cerai 
mati, cerai mati, gantung tak bertali) , anak yatim , mereka yang diberhentikan 
kerja , mempunyai tanggungan anak yang ramai dan masih bersekolah , menghidap 
pelbagai penyakit dan komplikasi serta seribu satu macam masalah lagi.

Mereka yang kami temui ini bukanlah dari golongan yang meminta-minta, tapi 
akibat beberapa masalah seperti diatas sudah pasti tersentuh hati semua yang 
melihatkan keadaan mereka.

Cubalah kita bayangkan sebuah keluarga yang mempunyai anak yang ramai lebih 
daripada 7 orang tinggal di rumah yang agak sempit, disempitkan lagi dengan 
ketua keluarga yang mempunyai masalah kesihatan , tiada pekerjaan tetap. Sudah 
semestinya jiran tetangga , pihak jawatankuasa taman atau surau , JKKK, Tok 
Ompek, Wakil Rakyat, Pegawai Kebajikan Masyarakat , Pegawai Baitul Mal 
seharusnya memainkan peranan.

Kebanyakan keluarga yang ditemui sesetengah mereka ada mendapat bantuan Baitul 
Mal , Jabatan Kebajikan Masyarakat namun ianya masih tidak mencukupi.

Oleh yang demikian semua pihak haruslah saling bantu membantu. Bayangkan 
keadaan anak-anak dari keluarga susah ini sekiranya terbiar tiada pembelaan. 
Kita takut lama kelamaan tanpa bimbingan dan sokongan semua pihak mereka-mereka 
ini akan memberi kemudaratan kepada masyarakat.

Seperkara lagi ialah kebiasaan atau “trend” masyarakat kita untuk memberi 
bantuan mereka yang memerlukan bantuan ini dengan mengadakan majlis 
besar-besaran. Walaupun niatnya baik untuk menghulurkan bantuan pada fakir 
miskin dalam satu majlis yang rasmi tetapi mereka yang menghulurkan bantuan 
tidak akan tersentuh hati melihatkan keadaan keluarga susah tersebut yang 
berpakaian kemas apabila datang ke majlis rasmi.

Orang-orang politik haruslah mendidik anak-anak politik mereka agar membiasakan 
diri masuk ke ceruk kampung, memanjat rumah-rumah pangsa, meredah rumah mesra 
rakyat serta setinggan serta melihat sendiri kesusahan rakyat Malaysia pada 
ketika ini.

Mungkin sebab orang-orang politik jarang turun padang bersalaman dengan orang 
yang susah di rumah usang mereka menyebabkan mereka asyik memikirkan tarikh 16 
September 2008.

Rozmal bin Malakan
Seremban
waghih.blogspot.com





Kirim email ke