Hilali tabah peluk Islam  KUALA LUMPUR 12 Sept. - Hilali Sibomana, 30, anak 
kelahiran Burundy, Afrika, tetap tekad untuk memeluk agama Islam walaupun 
bapanya, Yanduzo Bangirichenga mati disembelih di negara kelahirannya itu 
kerana merestui hasratnya untuk memeluk agama Islam.
  Hilali yang fasih berbahasa Inggeris menceritakan kepada wartawan bagaimana 
bapanya menjadi korban pihak yang cuba menghalangnya daripada meneruskan niat 
murninya itu. 
  ”Saya tidak mendapat hidayah seperti mana rakanrakan saudara baru lain yang 
memeluk agama Islam tetapi pintu hati saya terbuka untuk memeluk agama yang 
syumul ini setelah saya membuat banyak perbincangan dan perbandingan di antara 
al-Quran dan Kitab Injil,” katanya pada sidang akhbar di Pusat Hidayah, 
Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM) di sini, semalam.
  Sidang akhbar itu diadakan bagi menguaruarkan kepada orang ramai supaya 
tampil memberi sumbangan sama ada membeli kerusi atau meja bagi menjayakan 
majlis berbuka puasa untuk saudara baru pada 20 September ini.
  Hilali berkata, sebelum memeluk agama Islam, beliau adalah penyebar agama 
Kristian di Burundy.
  Justeru, beliau memberitahu, setelah mengenali Islam menerusi perbandingan 
dan persamaan yang ada di dalam kedua-dua kitab, akhirnya Allah menggerakkan 
hatinya berhasrat untuk memeluk agama Islam.
  Beliau berkata, sebagai anak tunggal, hasratnya itu dinyatakan kepada 
kedua-dua ibu bapanya dengan penjelasan bahawa Islam adalah agama yang benar 
dan membawa kepada kebenaran.
  ”Ketika saya nyatakan hasrat saya itu, ayah yang merupakan penganut agama 
Kristian, tidak membantah sebaliknya dia bersetuju,” katanya yang datang ke 
Malaysia sendirian pada November 2003. 
  ”Disebabkan dia (ayah) memberi kebenaran kepada saya untuk menjadi seorang 
Islam maka dia dibunuh tetapi saya tidak tahu apa pula nasib ibu,” katanya 
yang bakal melanjutkan pelajaran ke New Zealand tidak lama lagi.
  Beliau berkata, sepanjang bulan Ramadan ini, beliau beroleh ketenangan dan 
gembira apabila kakitangan di Pusat Hidayah mencurahkan kasih sayang, pengganti 
orang tuanya.











       

Kirim email ke