Kenapa perlu dirobohkan surau untuk pembinaan jalan ? Tidak bolehkah dilencongkan jalan supaya surau tidak dirobohkan ? Kalau kuil-kuil Hindu di Seremban tidak dirobohkan untuk pembinaan jalan hanya jalan yang dilencongkan , kenapa surau untuk umat Islam hendak dirobohkan ?
******************** Jalan pintas Lebuh Raya Kajang-Seremban diharap tak jejas penduduk Berita Harian 2 Disember 2008. SEREMBAN: Penduduk Taman Bukit Margosa di Paroi, dekat sini berharap pemaju projek Lebuh Raya Kajang-Seremban, laluan pintas menghubungkan bandar ini serta Kajang yang turut melalui taman itu supaya tidak mengabaikan kepentingan mereka. Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Persatuan Penduduk Taman Bukit Margosa, Zakaria Sheikh Othman, berkata penduduk tidak menghalang pembangunan, tetapi kontraktor projek itu perlu mengambil kira kepentingan mereka. Katanya, pemaju tidak boleh mengetepikan begitu saja pandangan jawatankuasa berkenaan yang mewakili suara penduduk, sebaliknya perlu berbincang bagi memastikan hak dan kepentingan orang ramai tidak terjejas dengan pelaksanaan projek terbabit. "Tindakan kami untuk mendapatkan maklumat mengenai projek itu daripada pemaju bertujuan mengelak kekeliruan penduduk yang boleh menimbulkan masalah pada masa depan, tambahan pula sebelum ini pemaju bersetuju berkongsi maklumat, tetapi sehingga kini maklumat berkaitan tidak peroleh. "Rata-rata penduduk taman ini, terutama pemilik kediaman dalam laluan pembinaan lebuh raya itu bimbang sama ada rumah mereka benar-benar terbabit atau laluan akan dilencongkan daripada cadangan asal. Itu saja maklumat yang kami perlukan," katanya. Lebuh Raya Kajang-Seremban adalah lebuh raya berkembar tiga lorong dan terbahagi kepada tiga seksyen iaitu seksyen pertama sepanjang 18.2 kilometer (km) dari Kajang ke Pajam; seksyen dua dari Pajam ke Setul sepanjang 14.5 km dan seksyen ketiga dari Setul ke Paroi sepanjang 11.6 km. Pelaksanaan projek itu membabitkan tiga pihak iaitu Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM), Projek Lebuh Raya Kajang-Seremban Sdn Bhd (Lekas) sebagai kontraktor utama dan IJM Sdn Bhd sebagai kontraktor kedua. Zakaria berkata, berdasarkan pelan asal, beberapa struktur di taman perumahan itu terbabit dalam pembinaan projek berkenaan, antaranya surau Taman Bukit Margosa dan beberapa kediaman yang menyebabkan penduduk membantah projek itu. "Selain itu, ada beberapa aspek teknikal yang menimbulkan kekeliruan, antaranya pembinaan sistem perparitan ke Sungai Paroi bagi mengelak taman perumahan ini terdedah kepada banjir seperti yang pernah dialami sebelum ini," katanya. http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Tuesday/Wilayah/20081202100413/Article/index_html