Baru-baru ini saya bersama beberapa wakil penduduk taman-taman perumahan 
sekitar Senawang telah berkesempatan menghadiri satu taklimat pencegahan 
jenayah di Balai Polis Senawang. Kerjasama antara orang ramai dan polis adalah 
amat penting dalam usaha mencegah jenayah di persekitaran kita tambahan pula 
dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu ketika ini.

Usaha pencegahan jenayah ini disulitkan lagi dengan kekurangan anggota polis , 
jawatan kosong yang belum diisi serta nisbah polis kepada penduduk yang agak 
tinggi.

Justeru itu semua pihak harus memahami bahawa usaha pencegahan jenayah ini 
tidak akan berjaya tanpa persefahaman dan kerjasama erat antara polis dan orang 
awam.

Apa yang menarik perhatian ialah kenyataan Ketua Balai Polis Senawang yang 
mengatakan dia datang dari sebuah kampung di Selangor. Di kampungnya tiada 
sebarang kes jenayah. Ini adalah kerana semua penduduk di kampung tersebut 
menjadikan surau sebagai pusat komuniti mereka dan mereka kenal antara satu 
sama lain di setiap kampung. 

Bagaimana dengan kita , adakah kita kenal jiran-jiran kita , kita kenal 
anak-anak jiran kita , kita menjadikan surau atau masjid sebagai pusat komuniti 
?

Banyak maklumat mengenai kejadian jenayah setempat akan diperolehi jika kita 
mempunyai hubungan yang erat antara polis dan orang awam , hubungan yang erat 
antara penduduk dan jawatankuasa penduduk.

Kejadian jenayah kecurian motosikal akan bertambah menjelang Sambutan 
Kemerdekaan , Sambutan Krismas dan Sambutan Tahun Baru. Kerana motosikal yang 
dicuri ini akan digunakan untuk tujuan lumba haram.

Antara kecuaian di pihak orang awam dalam usaha pencegahan jenayah ialah :
1. Tidak membuat laporan polis kejadian jenayah yang dianggap kecil seperti 
kecurian tong gas , pecah rumah tanpa barang berharga hilang dan sebagainya.
2. Tidak mencatat nombor plet kenderaan serta butiran lain mereka yang diragui 
masuk ke kawasan taman perumahan dan tidak menghubungi polis apabila nampak 
mereka yang mencurigakan.
3. Membiarkan anak-anak membawa kenderaan tanpa lesen
4. Tidak menghubungi terus balai polis terdekat dengan tidak menggunakan talian 
999. Talian 999 akan mengambil masa lebih lama untuk tindakan polis. 
5. Tidak mengenali Pengerusi Rukun Tetangga , Pengerusi Taman , Pengerusi 
Persatuan Penduduk untuk sebarang masalah berkaitan jenayah untuk mendapatkan 
kerjasama polis.
6. Tidak memasang kunci tambahan pada kenderaan dan rumah.
7. Membiarkan kunci tinggal di kenderaan apabila membuka pagar rumah , pintu 
rumah atau ke kedai.

http://waghih.blogspot.com 



      

Kirim email ke