Kenyataan Media, 27 Februari 2009
Bersama Menjayakan Perhimpunan Aman 100 Ribu Mansuhkan PPSMI

Gerakan Memansuhkan PPSMI (GMP) akan mengadakan Perhimpunan Aman 100 Ribu di 
Istana Negara pada 7 Mac 2009 jam 2.00 petang.

GMP menetapkan tiga tempat berhimpun sebelum berarak ke Istana Negara seperti 
yang berikut:

(a) Pusat Perniagaan SOGO
(b) Centrel Market
(c) Masjid Negara

Bagi memudahkan perjalanan perhimpunan ini, semua peserta digalakkan 
menggunakan kenderaan awam. Peserta dikehendaki berada dilokasi yang telah 
ditetapkan pada jam 2 petang. Kawalan keselamatan akan dilakukan oleh pihak 
polis dan Unit Amal seluruh negara.

Permit perhimpunan sudah dipohon kepada Y. Bhg. Tan Sri Musa Hassan, Ketua 
Polis Negara.

Peserta dilarang sama sekali membawa barang-barang yang berbahaya seperti 
senjata, peralatan tajam dan lain-lain lagi. Sebarang symbol parti juga tidak 
dibenarkan.

Pimpinan yang akan turut sama dalam perhimpunan ini ialah Dato' A. Samad Said, 
Dato' Dr. Hassan Ahmad, Dr. Shaharil Mohamad Zain, Prof. Emeritus Abdullah 
Hasaan, Prof. Emeritus Dato' Nik Safiah Karim, YB Dato' Seri Anwar Ibrahim, YB 
Dato' Seri Tuan Guru Hj. Abdul Hadi Awang, YB Lim Kit Siang dan ramai lagi.

Warna tema GMP adalah putih. Peserta digalakkan menggunakan baju putih yang 
melambangkan pembersihan terhadap PPSMI.

GMP telah mendapat sokongan terbaharu daripada Majlis Permuafakatan Persatuan 
Ibubapa & Guru Nasional (PIBGN) yang mempunyai 8000 persatuan PIBG di seluruh 
negara. Pihak Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) yang mempunyai 25 buah persatuan 
gabungan juga telah turut sama menyokong GMP.

Sehubungan itu pihak GMP telah selesai mengadakan siri jelajah seluruh negara 
dan mendapat sambutan yang begitu mengalakkan. GMP penuh berkeyakinan bahawa 
100 ribu rakyat Malaysia akan berkumpul di hadapan Istana Negara seperti yang 
telah dirancang.

Hasni Abas
Setiausaha
Gerakan Memansuhkan PPSMI (GMP)
http://gerakanmansuhkanppsmi.blogspot.com 



      

Kirim email ke