Adjust font size:

Politik wang: Umno digesa tunda perhimpunan 24 Mac

Jimadie Shah Othman | Mar 3, 09 1:43pm

kemaskini 3.28pm Umno digesa menangguhkan perhimpunan agung dan pemilihan 
hujung bulan ini sehingga siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 
(SPRM) terhadap amalan politik wang dalam parti itu selesai.

Bekas exco Pemuda, Datuk Mazlan Haron dan perwakilan Umno Muar, Datuk Kadar 
Sulaiman berkata mereka sedia memohon injunksi daripada mahkamah bagi 
menghalang perhimpunan itu jika saranan itu diabaikan oleh parti.

"Saya serta Datuk Mazlan Harun akan mengkaji untuk mengambil injuksi mahkamah 
sekiranya Umno belum habis menyelesaikan kes salah laku dan politik wang 
sebelum persidangan diadakan, dan juga segala permintaan-permintaan saya 
seperti yang disebutkan di atas tidak diambil tindakan," kata Kadar.

Dalam sidang media di sebuah hotel di Petaling Jaya hari ini, mereka 
bagaimanapun tidak menyatakan bila tindakan undang-undang itu akan diambil bagi 
"melihat reaksi" balas daripada parti itu terlebih dahulu.

Kedua-duanya juga mempertikaikan kenyataan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi 
yang dilaporkan menyebut siasatan salah laku dan politik wang dalam Umno telah 
ditutup setelah SPRM menutup 45 aduan.

"Persoalan saya, bagaimana beliau (Abdullah) yang menentukan bahawa segala 
laporan dan kes tersebut ditutup sedangkan saya sebagai salah seorang pengadu 
bersama Datuk Mazlan tidak langsung dipanggil memberi keterangan," kata Kadar.

Kadar juga berkata, laporan mereka kepada SPRM (dulu dikenali BPR) berhubung 
dakwaan politik wang dan penyalahgunaan kuasa terhadap Abdullah dan Datuk Seri 
Najib Razak yang dibuat pada 4 September lalu "tidak ada maklum balas positif".

Beliau juga mempertikan kewajaran Umno membawa amalan politik wang kepada SPRM 
"sedangkan perlembagaan Umno mengatakan bahwa ahli-ahli Umno tidak boleh dibawa 
ke mahkamah".

Mazlan pula menjelaskan, tindakan mereka bukan bertujuan menghalang kelancaran 
peralihan kuasa Umno Najib dengan alasan "peralihan kuasa boleh berlaku pada 
bila-bila masa sahaja".

Ditanya sama ada Umno masih mempunyai masa bagi menangguhkan persidangannya 
buat kali kedua, beliau berkata, Umno boleh merayu kepada Pendaftar Pertubuhan 
bagi tujuan itu.

Umno menunda persidangan tahunan dan pemilihannya dari Disember tahun lalu ke 
bulan ini bagi mempercepatkan peralihan kuasa Abdullah kepada Najib.

Pemilihan sebelum itu pernah ditangguh bagi mempersiapkan parti menjelang 
pilihanraya umum lalu.

Mazlan berkata mereka bersedia menerima tindakan Umno akibat membuat desakan 
sedemikian.

"Saya tidak kisah dibuang parti. Banyak lagi pembangkang yang tunggu. Kami 
lakukan ini pun sebab sayangkan parti," kata Mazlan, seorang ahli Umno di Kota 
Damansara, Petaling Jaya.

Ditemui selepas sidang akhbar itu, Kadar berkata sebagai perwakilan Umno 
bahagian, beliau akan tetap menghadiri perhimpunan agung mulai 24 Mac jika 
desakan mereka tidak dipedulikan.


      Nama E-mel baru untuk anda!
Dapatkan nama E-mel yang telah lama anda mahukan pada @ymail dan @rocketmail 
yang baru.
Cepat sebelum orang lain mendapatkannya!
http://mail.promotions.yahoo.com/newdomains/my/

Kirim email ke