Larangan Memberontak Dan Adab Menasihati
Pemimpin Kaum Muslimin 

http://aqidah-wa-manhaj.blogspot.com/ 

Imam Abu Ja’afar ath-Thahawi rahimahullah berkata:

“Kita tidak membolehkan memberontak (membelot) terhadap para imam (pemimpin 
muslim) dan para penguasa walau pun mereka melakukan kezaliman. Kita tidak 
menyumpahi (memaki hamun) mereka dan tidak berlepas diri dengan tidak taat 
kepada mereka. Kita berkeyakinan bahawa mentaati mereka sepanjang dalam 
ketaatan kepada Allah adalah wajib, selama mana mereka tidak memerintahkan 
melakukan maksiat. Kita tetap mendoakan kebaikan untuk mereka supaya mereka 
dikurniakan dengan kebaikan sama ada dari segi fizikal atau pun rohani.”

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

“Sesiapa yang mentaatiku bererti dia mentaati Allah. Sesiapa yang menderhakaiku 
bererti dia menderhakai Allah. Sesiapa yang mentaati pemimpin, bererti dia 
mentaatiku. Sesiapa yang menderhakai pemimpinnya, bererti menderhakaiku.” 
(Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 2957)

“Seseorang muslim wajib mendengar dan taat, sama ada suka atau pun tidak. 
Melainkan apabila dia diperintah untuk melakukan maksiat. Bila dia 
diperintahkan untuk melakukan maksiat, tidak ada lagi istilah mendengar dan 
taat (dalam urusan maksiat tersebut.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 2955)

Dari Auf bin Malik radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam 
bersabda: “Sebaik-baik pemimpin kamu adalah yang kamu cintai dan mereka 
mencintai kamu, kamu mendoakan mereka dan mereka mendoakan kamu. Sejahat-jahat 
pemimpin kamu adalah yang kamu benci dan mereka membenci kamu, yang kamu 
menyumpahinya dan mereka menyumpahi kamu.” Kami bertanya: “Wahai Rasulullah, 
adakah ketika itu kami boleh memerangi mereka dengan pedang?” Beliau menjawab: 
“Tidak, selama mereka masih menunaikan solat bersama-sama kamu. Ingatlah, 
sesiapa yang melihat pemimpinnya melakukan kemasiatan, hendaklah dia membenci 
kemaksiatannya itu, namun janganlah dia berlepas diri dari mentaatinya”.” 
(Hadis Riwayat Muslim, no. 1855)

Dalam persoalan prinsip ini, imam Abil ‘Izz al-Hanafi mensyarahkan perkataan 
imam Abu Ja’afar ath-Thahawi di atas dengan katanya:

“Ada pun kewajiban untuk mentaati mereka (bukan dalam persoalan maksiat) walau 
pun mereka melakukan kezaliman adalah sesuatu yang disyari’atkan, kerana keluar 
dari ketaatan kepada mereka (pemerintah/penguasa) akan melahirkan kerosakan 
yang belipat kali ganda dibandingkan dengan kezaliman mereka sendiri. Malah, 
bersabar terhadap kezaliman mereka dapat meleburkan dosa-dosa dan dapat melipat 
gandakan pahala. Kerana Alla tidak akan menaikkan penguasa ke atas diri kita 
melainkan disebabkan oleh kerosakan amal perbuatan kita juga. Ganjaran itu 
bergantung kepada amal perbuatan. Maka, hendaklah kita bersungguh-sungguh 
memohon keampunan, bertaubat, dan memperbaiki amal-amal perbuatan.

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

“Dan apa sahaja musibah yang menimpa kamu, maka adalah disebabkan oleh 
perbuatan tangan kamu sendiri, dan Allah memaafkan sebahagian besar (dari 
kesalahan-kesalahan).” (Surah asy-Syura, 42: 30)

“Dan demikianlah Kami jadikan sebahagian orang-orang yang zalim itu menjadi 
teman bagi sebahagian yang lain disebabkan apa yang mereka usahakan.” (Surah 
al-An’am, 6: 129)

(Dengan ini) apabila rakyat ingin selamat dari kezaliman para pemimpin mereka, 
hendaklah mereka meninggalkan kezaliman itu juga.” (Rujuk: Tahzib Syarh 
ath-Thahawiyah, jil. 2, m/s. 199-200, Pustaka at-Tibyan)

Syaikh al-Albani rahimahullah turut mengulas perkataan imam Abu Ja’afar 
ath-Thahawi dan syarah oleh imam Abil ‘Izz di atas dengan perkataannya:

“Dengan itu, jelaslah bagaimana cara menghilangkan kezaliman yang dilakukan 
oleh para penguasa yang satu kulit dan satu bahasa dengan kita. Caranya, kaum 
muslimin (umat Islam) mestilah bertaubat kepada Allah, memurnikan aqidah, dan 
mendidik diri serta keluarga mereka dengan pendidikan Islam secara benar. 
Perkara tersebut adalah sebagai usaha dengan berpandukan kepada firman Allah 
Subhanahu wa Ta’ala berikut:

“Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan sesuatu kaum sehinggalah mereka 
sendiri yang mengubah keadaan yang ada pada diri mereka.” (Surah ar-Ra’d, 7: 11)

Bertepatan dengan perkara persebut, ada seorang da’i (pendakwah) di zaman kita 
ini berkata, “Tegakkanlah daulah Islam di dalam hati-hati kamu, maka daulah 
Islam itu pun kemudiannya akan tertegak di atas muka bumi”.

Jadi, di dalam menyelesaikan masalah tersebut bukanlah dengan kaedah-kaedah 
seperti yang diguna-pakai sebahagian orang, iaitu dengan memberontak dan 
memerangi penguasa. Kerana, perkara tersebut di samping termasuk ke dalam 
bentuk bid’ah, ia juga bertentangan dengan nash-nash syar’i yang mana 
memerintahkan kita untuk mengadakan perubahan pada masyarakat dengan cara yang 
baik. Dalam persoalan ini, kita juga perlu memehami sebuah prinsip:

“Sesungguhnya Allah pasti menolong orang yang menolong (agama)-Nya. 
Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Kuat lagi Maha Perkasa.” (Surah al-Hajj, 
22: 40) (Rujuk: Syarah dan Taqliq Syaikh al-Albani ke atas Aqidah 
ath-Thahawiyah)

Imam Ahmad bin Hanbal rahimahullah berkata:

“Sesiapa yang keluar (dari ketaatan) terhadap seorang pemimpin dari para 
pemimpin kaum muslimin, padahal manusia telah bersatu dan mengakui kepimpinan 
baginya dengan cara apapun, sama ada dengan redha atau dengan kemenangan (dalam 
perperangan), maka sesungguhnya orang tersebut telah memecah-belah kesatuan 
kaum musilmin dan menyelisihi pesanan-pesanan dari Rasulullah Shallallahu 
‘alaihi wa Sallam dan apabila ia mati dalam keádaan demikian maka matinya 
seperti mati jahiliyah. Tidak halal memerangi penguasa (pemerintah) dan keluar 
dari ketaatan kepadanya disebabkan seseorang. Sesiapa yang melakukan perkara 
yang seperti itu maka dia adalah seorang mubtadi’ (pelaku bid’ah) yang bukan di 
atas Sunnah dan jalan (yang lurus). (Imam Ahmad bin Hanbal, Ushulus Sunnah, no. 
33 dan 34)

Imam al-Barbahari rahimahullah turut menjelaskan:

“Jika kamu melihat orang yang berdoa keburukan kepada pemimpin, ketahuilah 
bahawa ia termasuk salah seorang pengikut hawa nafsu, namun bila kamu melihat 
orang yang berdoa untuk kebaikan seseorang pemimpin, ketahuilah bahawa ia 
tergolong sebagai seorang ahli sunnah, insyaAllah.

Fudhail bin Iyadh berkata, “Jika aku mempunyai doa yang baik yang makbul, maka 
semuanya akan aku persembahkan (pohonkan) untuk pemerintah.” Ia ditanya, “Wahai 
Abu Ali, jelaskan maksud ucapan tersebut?” Beliau berkata, “Bila doa itu hanya 
aku tujukan untuk diriku, tidak lebih hanya bermanfaat untuk diriku, namun bila 
aku pohonkan untuk pemimpin dan ternyata para pemimpin berubah menjadi baik, 
maka semua orang dan negara merasakan manfaat dan kebaikan.” (Dikeluarkan oleh 
Abu Nu’aim dalam “al-Hilyah” (8/91) dari jalan Mardawaih as-Shabigh dan sanad 
Abu Nu’aim adalah sahih)

Kita diperintahkan untuk mendoakan mereka dengan kebaikan bukannya keburukan, 
walau pun dia seorang pemimpin yang zalim lagi jahat kerana kezaliman dan 
kejahatan akan kembali kepada diri mereka sendiri sementara bila mereka 
(pemimpin) menjadi baik maka mereka dan seluruh kaum muslimin akan 
merasakannya.” (Imam al-Barbahari, Syarhus Sunnah, Tahqiq Syaikh Khalid bin 
Qasim al-Roddadiy, Edisi Terjemahan Terbitan Dar El-Hijrah, Cet. Pertama, 
1423H/2002M, m/s. 83-84)

Adab Jika Mahu Menasihati Penguasa/Pemimpin

Telah berkata Ibnul Asir: “Nasihat ialah suatu ungkapan daripada sepotong ayat 
iaitu berkehendakkan kebaikan kepada yang dinasihatkan baginya, dan tidak 
mungkin diungkapkan dari makna ini bersama makna yang lain. Asal makna nasihat 
dalam bahasa ialah suci.” (Dinukil dari Dr. Khalid al-Anbariy, Sistem Politik 
Islam, m/s. 212-213)

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

“Sesiapa yang ingin menasihati pemimpin dalam sesuatu perkara, maka janganlah 
disebarkan (didedahkan) secara terang-terangan, akan tetapi peganglah tangannya 
dan ajaklah dia berbincang dengan diam-diam. Jika dia menerima, maka itulah 
yang diharapkan, jika tidak, maka sesungguhnya dia telah menunaikan 
kewajipannya”. (Riwayat Ibn Abi ‘Asim, al-Sunnah. Sanadnya sahih, sebagaimana 
dinyatakan oleh Syaikh al-Albani ketika mentahqiq kitab as-sunnah, m/s. 507)

Berkenaan hadis ini, Syaikh al-Albani menyatakan bahawa ini adalah kaedah 
sebenar dalam menasihati para pemimpin secara sembunyi (rahsia – pen.), apabila 
orang yang menasihati melaksanakan cara begini, maka dia sudah pun melaksanakan 
tanggungjawabnya dan tidak lagi bertanggungjawab selepas itu. (Dr. Khalid Ali 
al-Anbariy, Sistem Politik Islam, m/s. 220)

Ibnu Nahhas rahimahullah berkata:

“Saat yang amat tepat untuk menasihati pemimpin adalah di saat sepi dari pihak 
ketiga. Ini lebih baik daripada bersuara secara terbuka di hadapan media massa, 
bahkan menyuarakan dan menasihati pemimpin lebih mulia secara rahsia tanpa ada 
liputan pihak yang ketiga.” (Lihat: Tanbihul Ghafilin ‘An A’malul Jahilin wa 
Tahzirus Salikin Min Af’alil Halikin)

Imam asy-Syaukani rahimahullah berkata:

“Orang yang menyedari sebahagian permasalahan tentang kesalahan pemimpin, 
hendaklah dia menasihatinya, jangan menyebarkannya di hadapan orang ramai 
(umum). Tetapi hendaklah dia berbincang secara empat mata di dalam rangka 
menasihatinya, tidak merendahkan atau menjatuhkan maruah dan martabatnya, 
pent.) serta tidak memperlekehkannya sebagaimana yang terdapat di dalam hadis”. 
(Lihat: Sail al-Jarrar 4/556. Dinukil dari: Abu Farouq Rasul Dahri, Sikap Ahlus 
Sunnah wal Jama’ah Terhadap Pemerintah)

“Dalam masalah menegur penguasa (pemimpin), pendapat yang benar ialah 
melakukannya secara individu, bukan di khalayak umum. Adalah amat baik jika 
tegurannya secara rahsia atau menasihatinya dengan cara sembunyi-sembunyi, 
tanpa ada pihak yang ketiga”. (Lihat: Tanbihul Ghafilin ‘An A’malul Jahilin wa 
Tahzirus Salikin Min Af’alil Halikin)

Imam Ibnu Rejab al-Hanbali rahimahullah berkata:

“Ada pun nasihat untuk para pemimpin kaum Muslimin maka ia adalah cintakan 
kebaikan untuk mereka, petunjuk untuk mereka dan keadilan mereka, menyukai 
sokongan rakyat ke atas mereka, membenci perpecahan umat kepada mereka, 
mematuhi ajaran agama, suka memuliakan mereka kerana mentaati Allah, membantu 
mereka dalam kebenaran, taat kepada mereka dalam perkara yang haq, marah kepada 
orang yang membelot dari mereka, dan cinta kepada usaha mereka di alam urusan 
berbuat taat kepada Allah ‘Azza wa Jalla. Membantu mereka dengan kebenaran, 
menyedarkan mereka dengan lemah lembut, mengelakkan daripada menentang mereka 
dan mendoakan kejayaan (kebaikan) untuk mereka.” (Rujuk: Jami’ al-‘Ulum wa 
al-Hikam, m/s. 172 dan 173, Darul Falah)

Memuliakan Pemerintah

Daripada Abu Bakar radhiyallahu ‘anhu, katanya:

“Aku mendengar Nabi bersabda: “Sultan adalah bayangan Allah di bumi, sesiapa 
yang memuliakannya, maka Allah akan memuliakannya dan sesiapa yang 
menghinakannya, maka Allah akan menghinakannya”.” (Hadis Riwayat Ahmad, 5/42. 
Dinilai hasan oleh al-Albani di dalam Silsilah al-Ahadis ash-Shahihah, 5/376)

Dr. Khalid Ali al-Anbariy berkata:

“Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam telah mewajibkan ke atas umat ini 
menghormati dan memuliakan para pemimpin. Pada waktu yang sama, baginda 
melarang mencaci mereka dan menyebut kekurangan serta kelemahan mereka kerana 
yang demikian itu menyebabkan berlakunya kebencian rakyat kepada mereka mereka 
bahkan juga akan membawa kepada kejahatan, kerosakan, kederhakaan, dan 
permusuhan.

Dalam perkara ini, berkatalah Sahl bin Abdullah at-Tastari: “Manusia sentiasa 
dalam keadaan baik selama mana mereka menghormati sultan dan ulama, maka 
sekiranya mereka menghormati kedua-duanya ini, Allah memeberi kebaikan kepada 
kehidupan dunia dan akhirat mereka dan sekiranya mereka menghina kedua-duanya, 
Allah akan merosakkan kehidupan dunia dan akhirat mereka”.” (Sistem Politik 
Islam, m/s. 215)


@Brother an-Nawawi


------------------------------------

Free download [Internet Explorer/Firefox]:
Hidayahnet Toolbar [no virus, adware, malware etc] 
http://hidayahnet.ourtoolbar.com

--------------------------------------------------------------------------
**Boycott Israel**Support Palestine** 

All views expressed herein belong to the individuals concerned and do not in 
any way reflect the official views of Hidayahnet unless sanctioned or approved 
otherwise. 

If your mailbox clogged with mails from Hidayahnet, you may wish to get a daily 
digest of emails by logging-on to http://www.yahoogroups.com to change your 
mail delivery settings or email the moderators at 
hidayahnet-ow...@yahoogroups.com with the title "change to daily digest". 

--------------------------------------------------------------------------

Affiliates:
Islamic_Board - Malaysia - Islamic Events and Notices 
http://groups.yahoo.com/group/islamic_board/

iPerintis - eGroup untuk Saintis dan Jurutera Muslim  
http://groups.yahoo.com/group/iperintis/

Hidayahnet Toolbar [no virus, adware, malware etc] 
http://hidayahnet.ourtoolbar.com

Recommended sites:
Angkatan Belia Islam Malaysia  : http://www.abim.org.my
Jamaah Islah Malaysia          : http://www.jim.org.my
Palestinkini Info              : http://www.palestinkini.info
Partai Keadilan Sejahtera      : http://pk-sejahtera.org
Fiqh Siber                     : http://al-ahkam.net/
The Muslim Brotherhood         : http://ikhwanweb.com
Hidayahnet website             : http://hidayahnet.multiply.com/  Yahoo! Groups 
Links

<*> To visit your group on the web, go to:
    http://groups.yahoo.com/group/hidayahnet/

<*> Your email settings:
    Individual Email | Traditional

<*> To change settings online go to:
    http://groups.yahoo.com/group/hidayahnet/join
    (Yahoo! ID required)

<*> To change settings via email:
    mailto:hidayahnet-dig...@yahoogroups.com 
    mailto:hidayahnet-fullfeatu...@yahoogroups.com

<*> To unsubscribe from this group, send an email to:
    hidayahnet-unsubscr...@yahoogroups.com

<*> Your use of Yahoo! Groups is subject to:
    http://docs.yahoo.com/info/terms/

Kirim email ke