Pendahuluan

Kesalahan bahasa bukanlah satu isu yang baharu tetapi satu isu yang telah lama 
dibicarakan. Jika kita lihat, banyak kesalahan bahasa yang boleh kita temukan 
dalam bahan-bahan terbitan. Sebagai rakyat Malaysia, sudah sampai masanya untuk 
kita memperjuangkan bahasa kita sendiri. Adakah sesuatu yang amat sukar untuk 
kita menggunakan bahasa yang betul dari segi hukum tatabahasanya? Tidak malukah 
kita jika suatu hari nanti kita ditegur oleh pelancong yang fasih berbahasa 
Melayu kerana kesalahan bahasa yang kita lakukan? Teringat saya semasa saya 
mengikuti satu pembentangan kertas kerja semasa di universiti dahulu, seorang 
pelajar dari negara Jepun bangun membetulkan ejaan pada slaid pembentangan 
seorang rakan. Walaupun rakan tersebut mengatakan bahawa berlaku kesilapan 
semasa menaip, namun sebenarnya dia memang tidak mengetahui ejaan yang betul 
kerana semua perkataan tersebut dieja dengan salah. Soalnya di sini, jika 
bangsa Jepun begitu peka akan bahasa kita, mengapa tidak kita? 

Oleh itu, saya terpanggil untuk menulis buku ini bagi memberi anda sedikit 
penerangan tentang tatabahasa dan kesalahan yang biasa dilakukan. Terdapat 
empat bahagian dalam buku ini, iaitu:


Bahagian 1 - Pengenalan
Bahagian 2 - Pengetahuan Asas Tatabahasa
Bahagian 3 - Kesalahan Bahasa Yang Lazim
Bahagian 4 - Kesalahan Lazim dalam Penulisan Surat Rasmi


Dalam bahagian 1, anda akan diberikan penerangan sebab buku ini ditulis dan 
cara-cara untuk memaksimumkan penggunaan buku ini. Hal ini penting agar buku 
ini dapat membantu anda dalam meningkatkan pemahaman dari segi tatabahasa.

Bahagian 2 pula akan menyentuh aspek pengetahuan asas tatabahasa. Pengetahuan 
asas tatabahasa ini dipecahkan kepada enam subtopik utama yang perlu ketahui 
oleh semua orang, iaitu golongan kata, imbuhan, frasa, ayat, tanda baca dan 
ejaan. 

Dalam bahagian 3, dimuatkan aneka kesalahan bahasa yang lazim. Kesalahan bahasa 
yang disentuh melibatkan kesalahan bahasa yang biasa dilakukan dari segi kata, 
frasa dan imbuhan, ayat, ejaan dan tanda baca.

Akhir sekali dalam bahagian 4, disenaraikan 11 kesalahan lazim yang biasa 
dilakukan dalam penulisan surat rasmi.


1. Pengenalan

Banyak antara kita yang beranggapan bahawa kita telah menguasai bahasa Melayu 
dengan baik. Hal ini demikian kerana sejak kecil lagi kita telah bercakap dalam 
bahasa Melayu dan belajar bahasa Melayu sejak di bangku sekolah rendah. Jadi, 
kealpaan dalam menguasai bahasa yang baik terus berlaku. Ada juga yang 
beranggapan bahawa penguasaan dari aspek tatabahasa kurang penting. Oleh sebab 
itu, banyak dapat kita temukan kesalahan bahasa dalam penulisan sama ada 
artikel, berita, rencana, papan tanda, surat dan sebagainya. 

Adakah kita mahu perkara itu terus berlaku tanpa ada penghujungnya? Pasti 
jawapannya tidak, bukan? Sebagai rakyat Malaysia yang mengakui bahawa bahasa 
Melayu merupakan bahasa kebangsaan, kita harus memainkan peranan kita dengan 
membetulkan kesalahan bahasa yang selama ini kita abaikan.


1.1 Mengapakah buku ini ditulis?


Sebagai seorang pendidik dan penulis, saya banyak menemukan kesalahan bahasa 
dalam penulisan. Kesalahan bahasa ini adakalanya menjadi isu terutama ketika 
saya mengajarkan tatabahasa kepada pelajar kelas yang terpandai. Mereka banyak 
bertanyakan soalan terutama apabila wujudnya percanggahan penerangan tatabahasa 
yang saya berikan dengan ayat-ayat yang dibaca oleh mereka terutama daripada 
surat khabar, majalah, buku dan sebagainya. 

Sebagai seorang pendidik dan penulis, saya amat khuatir akan kesalahan yang 
berlaku dalam bahan penerbitan. Hal ini demikian kerana kesalahan yang terdapat 
dalam bahan terbitan bukan sahaja menjejaskan mutu hasil bahan terbitan itu 
sendiri tetapi juga akan merosakkan pembacaan dan menjejaskan penghayatan 
pembaca. Tambahan pula bahan terbitan juga acap kali menjadi bahan rujukan para 
pelajar dan orang ramai. Keadaan ini sudah pastinya akan menyebabkan kesalahan 
bahasa dalam kalangan pelajar dan orang ramai.

Oleh itu, sebagai pendidik dan penulis, telah menjadi tanggungjawab saya untuk 
memastikan kesalahan bahasa yang berlaku selama ini dapat diatasi atau 
setidak-tidaknya dapat membantu orang ramai meminimumkan kesalahan bahasa yang 
dilakukan. Besar harapan saya agar buku ini dapat membantu anda menguasai 
tatabahasa yang betul terutama dalam penulisan. 


1.2 Untuk siapakah buku ini ditulis?


Sebenarnya buku ini ditulis untuk semua orang tanpa mengira peringkat usia, 
pekerjaan atau pangkat. Hal ini demikian kerana buku ini sesuai menjadi bahan 
rujukan para pelajar yang akan menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah 
(PMR) atau Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk mendapatkan keputusan yang 
cemerlang dalam subjek Bahasa Malaysia.

Buku ini juga dapat memberikan panduan kepada guru-guru atau bakal guru bahasa 
dalam mengajarkan tatabahasa kepada para pelajar. Kepada para editor, wartawan, 
penulis atau bakal penulis yang baru berjinak-jinak dalam dunia penerbitan dan 
pegawai kerajaan, buku ini sememangnya dapat membantu anda meminimumkan dan 
seterusnya mengatasi masalah kesalahan bahasa yang kerap kali dilakukan. Hal 
ini demikian kerana buku ini bukan sahaja menyenaraikan contoh kesalahan bahasa 
yang kerap dilakukan tetapi juga penerangan dan tip mudah untuk membantu anda 
mengingati tatabahasa.

Jadi, tidak keterlaluan jika saya menyatakan bahawa buku ini perlu menjadi 
salah satu buku yang berada di dalam rak buku koleksi peribadi anda kerana saya 
percaya pada suatu hari nanti anda amat memerlukan buku ini untuk dijadikan 
rujukan bahasa anda.


1.3 Pendekatan yang digunakan


Buku ini menggunakan pendekatan mesra pembaca. Mengapakah saya berkata 
sedemikian? Hal ini demikian kerana dalam buku ini anda bukan sahaja disajikan 
pengetahuan asas bahasa tetapi juga setiap satu kesalahan yang berlaku dalam 
penggunaan kata, frasa, imbuhan dan ayat dengan cara yang mudah untuk difahami. 

Selain itu, setiap kesalahan yang disenaraikan dalam buku ini turut diberikan 
tip mudah untuk anda mengingati tatabahasa yang betul dan cara untuk 
mengelakkan kesalahan yang sama berulang. Di samping itu, dalam buku ini juga 
diberikan beberapa contoh pembetulan bagi kesalahan yang dinyatakan. Begitu 
juga dalam aspek kesalahan ejaan. Sebanyak 343 kesalahan ejaan disenaraikan 
dalam buku ini.

Perkara yang penting untuk diketahui oleh semua, buku ini mengikut aliran 
Tatabahasa Dewan yang sememangnya diguna pakai bukan sahaja dalam bidang 
pendidikan tetapi juga dalam urusan rasmi kerajaan dan penerbitan. Hal ini 
membolehkan buku ini digunakan sebagai rujukan oleh semua orang tanpa mengira 
usia dan jawatan. 


1.4 Cara untuk memaksimumkan buku ini


Buku ini menyediakan panduan kepada anda untuk membaiki penguasaan tatabahasa 
anda. Banyak contoh yang akan diberikan dalam buku ini dan Insya-Allah jika 
anda mengikuti panduan yang diberikan, anda pasti tidak akan mengulangi 
kesalahan bahasa yang sama dan seterusnya dapat menguasai tatabahasa yang betul.

Penerangan dan contoh-contoh yang saya berikan dalam buku ini mudah untuk 
difahami oleh setiap orang tanpa mengira peringkat usia sama ada pelajar, guru, 
editor mahupun sesiapa sahaja yang ingin menguasai tatabahasa dan seterusnya 
berbahasa Melayu dengan baik. Contoh-contoh yang saya berikan dalam buku ini 
merupakan kesalahan yang saya temukan dalam surat khabar, majalah, dan naskhah 
manuskrip serta karangan pelajar yang saya semak sepanjang saya terlibat dalam 
dunia pendidikan dan penulisan. 

Senarai di bawah merupakan cara untuk anda memaksimumkan penggunaan buku ini:

1. Baca dan fahamkan semua penerangan dan tip-tip yang diberikan

Terdapat banyak kesalahan bahasa yang boleh kita temukan dalam bahan terbitan 
dan yang kerap kita lakukan semasa menulis. Oleh itu, perhatikan betul-betul 
contoh kesalahan yang diberikan agar anda benar-benar faham dan dapat 
meminimumkan kesalahan bahasa anda.

2. Amalkan tatabahasa yang betul dalam penulisan anda

Cuba elakkan daripada melakukan kesalahan bahasa terutama kesalahan ejaan, 
penggunaan huruf besar dan huruf kecil, dan 'di' dan 'ke' yang didekatkan atau 
dijauh-kan berdasarkan penerangan dan contoh yang akan saya berikan. Jangan 
lakukan kesalahan yang sama kerana mengulangi kesalahan yang sama bermaksud 
anda tidak mempelajari apa-apa yang diterangkan dalam buku ini. 

3. Jadikan kamus teman anda

Jika terdapat apa-apa kekeliruan dari segi ejaan, anda harus menggunakan kamus 
untuk menyemak ejaan tersebut. Namun begitu, pastikan bahawa anda tahu 
menggunakan kamus tersebut. Hal ini demikian kerana kamus merupakan buku yang 
menyenaraikan semua perkataan termasuklah perkataan tidak formal, iaitu 
perkataan yang biasa disebut dan digunakan oleh masyarakat tanpa had sempadan 
daerah tetapi salah dari segi tatabahasa.

4. Beli bahan rujukan tambahan yang lain

Selain menggunakan buku ini sebagai bahan rujukan, anda juga perlu dari semasa 
ke semasa membeli bahan rujukan tatabahasa yang lain untuk meningkatkan 
pemahaman anda dalam tatabahasa. 

5. Bertanya kepada orang yang lebih pakar

Jangan malu untuk bertanya kepada orang yang lebih mahir jika anda masih kurang 
jelas dengan apa-apa yang diutarakan dalam buku ini. Selain itu, anda boleh 
bertanyakan apa-apa masalah tatabahasa yang mungkin tidak disentuh dalam buku 
ini. 

6. Baca buku ini semula setelah anda tamat membacanya

Setelah anda mengamalkan semua penerangan dan tip yang diberikan dalam buku 
ini, jangan lupa untuk membaca buku ini semula. Hal ini demikian kerana 
kadang-kadang kita mungkin terlupa perkara yang telah kita baca sebelum ini.


1.5 Kepentingan penggunaan bahasa yang betul


Adakah penggunaan bahasa yang betul begitu penting dalam penulisan? Soalan ini 
mungkin muncul dalam kotak fikiran kita apabila isu penggunaan bahasa yang 
betul ditimbulkan. Sebenarnya, dalam penulisan sesuatu sama ada karya, rencana, 
berita atau surat sekali pun bahasa boleh diibaratkan sebagai senjata untuk 
seseorang menyampaikan hasrat dan pemikiran mereka. Pemilihan kata-kata yang 
baik pasti dapat mengangkat martabat sesuatu hasil penulisan dan memantulkan 
keperibadian seseorang yang menulis hasil atau bahan penulisan tersebut.

Jadi, sebagai rakyat Malaysia yang telah mempelajari bahasa Melayu sejak kecil 
lagi, aspek ejaan, penggunaan huruf besar dan huruf kecil, 'di' dan 'ke' yang 
didekatkan atau dijauhkan merupakan perkara asas dalam penulisan bahasa Melayu 
yang perlu dijaga. Dalam sesuatu pekerjaan yang melibatkan penulisan, anda 
sepatutnya tidak boleh bertolak ansur untuk membiarkan kesalahan seumpama ini 
terus berlaku dalam penulisan anda.

Pada pendapat saya, apabila seseorang itu menulis dengan cermat dan menjaga 
aspek ejaan dan tatabahasa, orang tersebut sebenarnya menulis dalam keadaan 
sedar dan mempunyai sikap bertanggungjawab terhadap perkara yang ditulisnya. 
Hal ini bermaksud apabila seseorang itu menulis dengan menggunakan bahasa yang 
betul, maka martabatnya akan dipandang lebih tinggi.

Selain itu, penggunaan bahasa yang betul juga dapat membantu orang ramai 
terutamanya para pelajar dalam meningkatkan penguasaan bahasa mereka dan 
seterusnya memperoleh keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan awam. Hal ini 
juga dapat membantu para pelajar mendapatkan tempat di universiti awam kerana 
pada masa ini keputusan cemerlang dalam subjek Bahasa Malaysia menjadi 
prasyarat dalam kemasukan pelajar ke pusat-pusat pengajian tinggi. Tambahan 
pula penggunaan bahasa yang betul turut menghapuskan kekeliruan dan salah faham 
pembaca. 

Jadi, mulai hari ini marilah kita menggunakan bahasa yang betul dalam penulisan 
kita. Pelajarilah bahasa kita dan cintailah bahasa kita.


Maklumat lanjut berkenaan buku CARA MUDAH MENGENAL PASTI KESALAHAN LAZIM DALAM 
BAHASA MELAYU ini boleh didapati di www.books.perintis.com.my atau sila 
berhubung dengan Cik Nor di talian 03-9019 5303. 

Kirim email ke