Kesalahan bahasa dalam penulisan sering berlaku sama ada disedari ataupun tanpa 
disedari. Kesalahan bahasa pasti berlaku jika kita tidak mengetahui hukum 
tatabahasa. Oleh itu, dalam bahagian ini disenaraikan beberapa kesalahan bahasa 
yang biasa dilakukan sebagai panduan dan hukum tatabahasa sebagai rujukan bagi 
meminimumkan kesalahan bahasa yang berlaku semasa menulis.


3.1 Kesalahan dari segi kata, frasa dan imbuhan

Kesalahan dari segi kata, frasa dan imbuhan ialah kesalahan menggunakan kata 
atau frasa atau imbuhan di tempat yang tidak sepatutnya. Kesalahan dari segi 
kata, frasa dan imbuhan paling kerap kita lakukan dalam penulisan. Terdapat 
banyak kesalahan dari segi kata, frasa dan imbuhan yang dapat saya kesan dalam 
bahan terbitan. Yang berikut merupakan kesalahan kata, frasa dan imbuhan yang 
lazim berlaku.


3.1.2 Kata ganti nama

i. Penggunaan kata ganti nama dia di tempat kata ganti nama beliau

Contoh:

Walaupun kami akan kehilangan seorang pekerja seperti dia, kami tidak mahu 
menjadi penghalang bagi dia mendapatkan satu peluang yang lebih baik.
Dia merupakan seorang wanita yang gigih berusaha dan tabah dalam mengharungi 
cabaran dalam dunia perniagaan.

Sepatutnya:

Walaupun kami akan kehilangan seorang pekerja seperti beliau, kami tidak mahu 
menjadi penghalang bagi beliau mendapatkan satu peluang yang lebih baik.
Beliau merupakan seorang wanita yang gigih berusaha dan tabah dalam mengharungi 
cabaran dalam dunia perniagaan. 


NOTA: 

Kata ganti nama diri beliau digunakan untuk merujuk kepada orang yang 
berpangkat, berjaya dan berakhlak mulia. Kata ganti nama diri dia pula merujuk 
kepada orang biasa. 


ii. Penggunaan kata ganti nama ia untuk merujuk kepada benda, perkara ataupun 
konsep

Contoh:

Kami tidak lagi memerlukan akaun simpanan di atas dan berharap agar ia dapat 
ditutup segera.
Diharapkan pemberian anugerah itu tadi dapat menyuntik semangat hadirin yang 
ada di dewan ini dan ia pastinya memberikan kenangan indah kepada semua 
penerima anugerah. 

Sepatutnya:

Kami tidak lagi memerlukan akaun simpanan di atas dan berharap agar akaun ini 
dapat ditutup segera.
Diharapkan pemberian anugerah itu tadi dapat menyuntik semangat hadirin yang 
ada di dewan ini dan anugerah itu tadi pastinya memberikan kenangan indah 
kepada semua penerima anugerah.


NOTA: 

Kata ganti nama diri ia tidak boleh digunakan untuk merujuk kepada benda, 
perkara ataupun konsep. Kata ganti nama diri ia HANYA digunakan untuk 
menggantikan nama orang.


iii. Penggunaan kata ganti nama ia bertugas sebagai objek kepada kata sendi 
atau kata kerja transitif

Contoh:

Akmal berasa seronok dapat berkawan dengan ia.

Sepatutnya:

Akmal berasa seronok dapat berkawan dengannya.


iv. Penggunaan kata ganti nama ia bertugas sebagai kata nama pelaku dalam ayat 
pasif diri orang ketiga

Contoh:

Beg ia telah diselongkar ketika bersenam di padang.

Sepatutnya:

Begnya telah diselongkar ketika bersenam di padang.


v. Penggunaan kata ganti nama diri ianya

Kata ganti nama diri ianya tidak boleh digunakan kerana ianya merupakan 
gabungan kata ganti nama diri ia dan nya.

Contoh:

Penagihan dadah dalam kalangan pelajar perlu dibanteras segera kerana bimbang 
ianya kian menular.
Jika dahulunya beg genggam kerap digayakan ke majlis makan malam tetapi kini 
ianya bebas digayakan ke mana-mana sahaja.

Sepatutnya:

Penagihan dadah dalam kalangan pelajar perlu dibanteras segera kerana bimbang 
gejala tersebut kian menular.
Jika dahulunya beg genggam kerap digayakan ke majlis makan malam tetapi kini 
beg genggam bebas digayakan ke mana-mana sahaja.


vi. Penggunaan kata ganti nama diri singkat, iaitu kau, ku, mu dan nya yang 
dieja berasingan dengan kata yang menyertainya

Contoh:

"Tolong kau ambilkan aku segelas air," kata Najwa.
Hati ku telah dimiliki.

Sepatutnya:

"Tolong kauambilkan aku segelas air." kata Najwa.
Hatiku telah dimiliki. 


NOTA:

Kata ganti nama diri singkatan kau, ku perlu dieja rapat dengan kata kerja 
dasar yang mengikutnya. Begitu juga kata ganti nama diri singkatan ku, mu dan 
-nya sebagai akhiran ditulis serangkai dengan kata yang mendahuluinya.


vii. Penggunaan kata ganti nama kamu di tempat kata ganti nama kalian

Contoh:

"Kamu hendaklah belajar dengan bersungguh-sungguh," nasihat Cikgu Sofia kepada 
murid-muridnya.

Sepatutnya:

"Kalian hendaklah belajar dengan bersungguh-sungguh," nasihat Cikgu Sofia 
kepada murid-muridnya.


NOTA: 

Kata ganti nama diri kalian membawa maksud jamak, iaitu digunakan untuk merujuk 
kepada sekumpulan orang. Kata ganti nama diri kamu digunakan untuk merujuk 
kepada diri seseorang.


viii. Penggunaan kata ganti nama diri kita semua

Penggunaan kata ganti nama diri kita semua adalah salah. Hal ini demikian 
kerana kata ganti nama kita telah membawa maksud jamak. Jadi, kata semua tidak 
perlu hadir selepas kata ganti nama kita.


xi. Penggunaan kata ganti nama diri mereka yang digandakan

Contoh:

"Marilah kita sertai mereka-mereka yang baru datang itu," kata Salina.

Sepatutnya:
"Marilah kita sertai mereka yang baru datang itu," kata Salina.



Maklumat lanjut berkenaan buku CARA MUDAH MENGENAL PASTI KESALAHAN LAZIM DALAM 
BAHASA MELAYU ini boleh didapati di www.books.perintis.com.my atau sila 
berhubung dengan Cik Nor di talian 03-9019 5303. 

Kirim email ke