Kesalahan bahasa dalam penulisan sering berlaku sama ada disedari ataupun tanpa 
disedari. Kesalahan bahasa pasti berlaku jika kita tidak mengetahui hukum 
tatabahasa. Oleh itu, dalam bahagian ini disenaraikan beberapa kesalahan bahasa 
yang biasa dilakukan sebagai panduan dan hukum tatabahasa sebagai rujukan bagi 
meminimumkan kesalahan bahasa yang berlaku semasa menulis.


3.1 Kesalahan dari segi kata, frasa dan imbuhan

Kesalahan dari segi kata, frasa dan imbuhan ialah kesalahan menggunakan kata 
atau frasa atau imbuhan di tempat yang tidak sepatutnya. Kesalahan dari segi 
kata, frasa dan imbuhan paling kerap kita lakukan dalam penulisan. Terdapat 
banyak kesalahan dari segi kata, frasa dan imbuhan yang dapat saya kesan dalam 
bahan terbitan. Yang berikut merupakan kesalahan kata, frasa dan imbuhan yang 
lazim berlaku.


3.1.3 Kata, frasa dan imbuhan kata kerja

i. Kata kerja transitif

a. Kata kerja transitif berjumpa dengan kata lain selain kata nama (objek)

Contoh:

Syarikat kami mempunyai banyak sebab untuk membatalkan lesen perniagaan tuan.
Pengalaman kerja saya sendiri melibatkan banyak komunikasi dengan pelbagai 
lapisan masyarakat.
Bagi menghangatkan lagi majlis ini, dipersilakan ahli-ahli Kelab Kebudayaan 
untuk mempersembahkan Tarian Rampai Sari. Dipersilakan.
Melalui bengkel ini, saya juga dapat mengetahui tentang produk yang bagus 
seperti Nora Kay.
Kebaya labuh berbelah diserikan oleh butang bungkus mengembalikan semula 
unsur-unsur tradisional.

Sepatutnya:

Syarikat kami mempunyai sebab yang banyak untuk membatalkan lesen perniagaan 
tuan.
Pengalaman kerja saya sendiri banyak melibatkan komunikasi dengan pelbagai 
lapisan masyarakat.
Bagi menghangatkan majlis ini lagi, dipersilakan ahli-ahli Kelab Kebudayaan 
untuk mempersembahkan Tarian Rampai Sari. Dipersilakan.
Melalui bengkel ini, saya juga dapat mengetahui produk yang bagus seperti Nora 
Kay.
Kebaya labuh berbelah diserikan oleh butang bungkus mengembalikan unsur-unsur 
tradisional semula.


b. Pengguguran imbuhan meN-

Contoh:

Sesiapa yang buang sampah di merata-rata tempat akan didenda.

Sepatutnya:

Sesiapa yang membuang sampah di merata-rata tempat akan didenda.


ii. Kata kerja tak transitif

a. Pengguguran kata sendi

Contoh:

Budak kecil itu duduk kaki lima kedai sambil menunggu ibunya membeli barang 
keperluan harian.
Ahmad berpura-pura pergi sekolah untuk menutup tembelangnya di hadapan ibu 
bapanya.

Sepatutnya:

Budak kecil itu duduk di kaki lima kedai sambil menunggu ibunya membeli barang 
keperluan harian.
Ahmad berpura-pura pergi ke sekolah untuk menutup tembelangnya di hadapan ibu 
bapanya.


b. ...bersama dengan surat ini ATAU ...bersama surat ini

Penggunaan bersama dengan surat ini adalah betul. Hal ini demikian kerana 
bersama ialah kata kerja tak transitif yang tidak boleh berjumpa dengan kata 
nama secara langsung. Oleh itu, kata dengan perlu sebelum kata nama.

Contoh:

Bersama dengan surat ini kami sertakan borang permohonan untuk tindakan pihak 
tuan.


c. ...bersama dengan kami ATAU ...bersama kami 

Penggunaan bersama dengan kami adalah betul. Hal ini demikian kerana bersama 
ialah kata kerja tak transitif yang tidak boleh berjumpa dengan kata nama 
secara langsung. Oleh itu, kata dengan perlu sebelum kata nama.

Contoh:

Majlis mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua hadirin kerana bersama 
dengan kami pada pagi yang mulia ini.


d. ...berharap agar khidmat tuan ATAU ...berharap khidmat tuan

Penggunaan berharap agar khidmat tuan adalah betul. Hal ini demikian kerana 
berharap ialah kata kerja tak transitif yang tidak boleh berjumpa dengan kata 
nama secara langsung. Oleh itu, kata agar perlu sebelum kata nama.


Maklumat lanjut berkenaan buku CARA MUDAH MENGENAL PASTI KESALAHAN LAZIM DALAM 
BAHASA MELAYU ini boleh didapati di www.books.perintis.com.my atau sila 
berhubung dengan Cik Nor di talian 03-9019 5303.

Penulis buku CARA MUDAH MENGENAL PASTI KESALAHAN LAZIM DALAM BAHASA MELAYU ini 
juga menulis buku berikut:
i. Aneka Contoh Teks Pengacara Majlis
ii. Aneka Contoh Pantun Pilihan Mengikut Atur Cara Majlis

Kirim email ke