Mengenang Ustaz Jaiz Anwar
Mohd Fadli Ghani
Thu | Apr 09, 09 | 12:20:51 pm MYT


KETIKA cawangan PAS ditubuhkan di Hilir Perak pada awal 1953, Ustaz
Jaiz Anwar adalah seorang pelajar di Madrasah al-Ulum as-Syar�iyyah,
Batu 20 Bagan Datoh, Perak.

Iklan



Guru besar madrasah tersebut, Dato' Hassan Adli Mohd Arshad, bekas
Timbalan Yang Dipertua Agung PAS yang lebih dikenali sebagai �Pak Aji�
di kalangan pelajar merupakan Setiausaha PAS Hilir Perak dewasa itu.

Maka ramailah pelajar Madrasah al-Ulum turut terlibat dalam
program-program PAS di Hilir Perak ketika itu. Mereka bukan sekadar
menjadi penyokong PAS, tetapi pendukung setia yang menggerakkan PAS
Hilir Perak yang ketika dipimpin oleh Dato' Othman Abdullah.

Bagan Datoh sememangnya melahirkan ramai pemimpin besar PAS
termasuk Haji Ahmad Ali, Ustazah Zaharah Othman, Dato' Hassan Adli dan
Ustaz Jaiz Anwar. Ustaz Jaiz dilahirkan di Kampung Sungai Sumun, Bagan
Datoh pada 1941 dalam sebuah keluarga yang taat beragama. Semasa
kecilnya, beliau belajar di Sekolah Melayu Bagan Pasir.

Semasa memasuki alam persekolahan, suasana politik Tanah Melayu agak
kucar-kacir kerana baru lepas perang dan timbulnya perjuangan menentang
Malayan Union. Dari tahun 1948 beliau bersekolah di sini selama tiga
tahun. Sekolah Melayu hanya setakat Darjah 3 sahaja. Lalu bapanya
menghantar Ustaz Jaiz ke Madrasah al-Ulum kerana di sana, Tuan Guru
Mohd Arshad Mohd Salleh menjadi mursyidnya. Bapa kepada Dato' Hassan
Adli ini adalah ulama yang sangat dihormati.

Belajar di Batu 20 selama empat tahun telah membentuk jiwa
politik yang agak kental dalam diri beliau. Gurunya, Ustaz Hassan Adli
bukan sekadar seorang guru atau ulama, tetapi tokoh politik yang
terkenal juga di sana. Semenjak 1952, Ustaz Hassan Adli sudah menyertai
PAS.

Turut mengajar di madrasah ini ketika itu ialah Dato' Mohd Ghazali
Abdullah (ayah Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Lo'lo'), Mufti Perak
yang ketika itu adalah Timbalan Yang Dipertua Agung PAS.

Suasana politik yang mahukan kemerdekaan amat mempengaruhi para
pelajar. Ustaz Hassan Adli juga merupakan Setiausaha Persatuan
Guru-guru Madrasah Agama Rakyat Perak (PGMR) yang menyebabkan
tokoh-tokoh ulama seperti Tuan Guru Abdul Samad Noh sering keluar masuk
ke madrasah itu.

Pada 1955, Ustaz Jaiz mendapat peluang menyambung pengajian di Maktab Mahmud, 
sebuah sekolah agama terkenal di Kedah.
Menjadi pelajar di Maktab Mahmud rupanya lebih mencabar daripada
Madrasah al-Ulum kerana di sini pergolakan politik semasa lebih luas
diperkatakan. Salah seorang gurunya, Ustaz Jamaluddin Amini Marzuki
ialah Naib Ketua Pemuda PAS Pusat ketika itu.



bersahabat dengan Ustaz Fadzil
Semasa di Darjah 1 di Maktab Mahmud, Ustaz Jaiz mula berkenalan dengan
beberapa tokoh pelajar seperti Ustaz Johari Ahmad (bekas Pegawai Hal
Ehwal Khas Jabatan Penerangan) dan Ustaz Fadzil Mohd Nor. Ustaz Fadzil
ketika ini adalah Setiausaha Persatuan Pelajar Melayu Alor Setar dan
Setiausaha Kesatuan Pelajar Agama Kedah (KPAK).

Ustaz Jamaluddin Amini sendiri merupakan Yang Dipertua Kesatuan Pelajar
Agama Se-Malaya (KPAS) yang ditubuhkan pada 1954. Ustaz Jaiz ketika
balik ke Malaysia pada 2001 sempena sambutan 50 tahun PAS memberitahu
bahawa beliau bersama-sama Ustaz Jamaluddin Amini, Ustaz Fadzil dan
Johari Ahmad mengikuti usrah Ikhwanul Muslimin di Maktab Mahmud yang
dipimpin oleh Sheikh Taqiyuddin Qandil, bekas Setiausaha Ikhwanul
Muslimin Kaherah yang lari ke Tanah Melayu selepas pembunuhan Hassan
al-Banna.

Mereka adalah kumpulan pertama pelajar Melayu yang mengikuti
tarbiah Ikhwanul Muslimin di Malaysia kerana Sheikh Taqiyuddin Qandil
adalah pensyarah di Maktab Mahmud dan turut mengajar di Madrasah
Alawiyah, Arau.

Melalui Sheikh Taqiyuddin mereka didedahkan dengan pemikiran Islam yang
dicetuskan oleh Hassan al-Banna. Semenjak itu, mereka menjadi pendukung
kuat PAS dan turut terlibat berkempen dalam pilihan raya 1955 di Alor
Setar. Selepas tamat kelas Sanawi pada 1958, Ustaz Jaiz yang ketika itu
menjawat Ketua Penerangan KPAS merangkap Ketua Kesatuan Pelajar Islam
Perak (KPIP) telah menyertai PAS.

Antara orang kuat beliau dalam KPIP ialah Ustaz Hassan Shukri. Beliau
kemudian dicalonkan oleh PAS untuk bertanding dalam pilihan raya umum
Kedah pada 1958 di Dun Alor Setar, tetapi tewas kepada calon MCA yang
mewakili Perikatan.

Ustaz Jaiz kemudian masuk semula ke Maktab Mahmud untuk mengikuti
pengajian peringkat tinggi (qismu ali) dan mula memegang jawatan
sebagai Setiausaha Agung KPAS (1958-1960). Dalam KPAS ketika itu
terkenal dengan �3J� (Jamaluddin, Johari, Jaiz). Pada 1959 mereka
bertiga mewakili Pemuda PAS melawat Pak Natsir di Jakarta.

Selepas menamatkan Darjah 9 di Maktab Mahmud pada 1960, Ustaz
Jaiz melanjutkan pelajaran di Universiti al-Azhar, Mesir dalam bidang
syariah. Menurut Ustaz Yahya Othman, ketika beliau belajar di Mesir
pada 1962, Ustaz Jaiz sudah aktif memimpin pelajar di sana.
Ustaz Jaiz dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Persatuan Melayu Mesir
(PMM) dan mengetuai Lajnah kebajikan persatuan tersebut. Selain
bergerak bersama pelajar Melayu, Ustaz Jaiz turut mendapat sentuhan
tarbiah daripada pemimpin Ikhwanul Muslimin di Mesir.

Pada 1964, Ustaz Fadzil mengikuti jejak Ustaz Jaiz belajar di Mesir,
tetapi ketika itu Ustaz Jaiz sudah di tahun akhir. Selepas mendapat
ijazah BA dalam bidang syariah, Ustaz Jaiz segera balik ke Malaysia
pada 1965. Oleh kerana beliau sudah terkenal di kalangan ahli-ahli PAS
di Perak, beliau terus dilibatkan dalam PAS, tetapi bukan di Hilir
Perak, sebaliknya di utara Perak dan Kedah.



wakafkan diri
Sebagai seorang yang berpendidikan tinggi, Ustaz Jaiz yang
mewakafkan dirinya untuk perjuangan PAS telah dilantik sebagai Pegawai
Penerangan Luar di Pejabat Agung PAS pada 1966. Ketika itu antara
pegawai di Pejabat Agung PAS termasuklah Ustaz Abu Bakar Hamzah, Ustaz
Othman Hamzah dan Ustazah Hayati Hassan. Ketika bertugas di Pejabat
Agung PAS sebagai Pegawai Penerangan Luar, beliau banyak melawat
cawangan-cawangan PAS yang menyebabkan nama beliau mulai terkenal.
Beliau juga turut menulis dalam Bulan Bintang, lidah rasmi PAS ketika
itu untuk menjelaskan konsep negara Islam dan juga menjawab
tuduhan-tuduhan ke atas PAS.

Pada masa itu secara kebetulan Ustaz Abu Bakar Hamzah, Ketua Pemuda PAS
diserang sakit jantung. Dalam Mesyuarat Agung Tahunan PAS ke-17 dan 18
di Kangar pada 1968, Ustaz Jaiz telah dipilih sebagai Ketua Dewan
Pemuda PAS Pusat, iaitu serentak dengan perlantikan Tuan Guru Nik Abdul
Aziz Nik Mat sebagai Ketua Dewan Ulama PAS Pusat.

Ustaz Jaiz tidak lama memimpin Dewan Pemuda PAS kerana beliau
berhasrat melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Sebaik
menjadi Ketua Pemuda PAS, Ustaz Jaiz melantik Ustaz Hassan Shukri
menjadi Ahli Jawatankuasa Dewan Pemuda PAS Pusat merangkap Ketua
Jabatan Pelajaran dan Tabligh Pemuda PAS.

Dewan Pemuda PAS pada 1968 telah melancarkan Gerakan Insaf untuk
membentuk kesedaran politik Islam di kalangan belia. Ketika itu, Umno
sedang giat menggerakkan Pemuda Tahan Lasak yang agak ganas ketika itu.
Ustaz Jaiz kemudian telah melancarkan satu gerakan, iaitu Gerakan
Syuhada�, gerakan untuk melahir pemuda-pemuda PAS yang berani berjuang
menghadapi Pemuda Tahan Lasak Umno, terutama dalam pilihan raya 1969.
Ustaz Jaiz sendiri telah menjadi calon di Parlimen Besut pada 1969 yang
merakamkan kisah pahit dalam perjuangan beliau.

"Saya berseorangan dikepung oleh Pemuda Tahan Lasak Umno yang
bersenjata dalam pilihan raya di Besut," cerita Ustaz Jaiz dalam satu
temuramah dengan Ustaz Misbahul Munir di London pada 2002. Pengalaman
yang serupa juga dialami oleh Ustaz Hassan Shukri yang bertanding di
Sabak Bernam ketika itu. Ustaz Jaiz tewas kepada calon Perikatan dengan
majoriti yang tipis selepas ugutan-ugutan Umno. Dewan Pemuda PAS
selepas Peristiwa 13 Mei 1969 telah melancarkan satu lagi gerakan iaitu
Gerakan Seksi Pembinaan Mental atau lebih terkenal sebagai Gerakan SPEM
pada 1970.

Melalui Gerakan SPEM inilah lima prinsip yang diasaskan oleh Hassan
al-Banna diterapkan iaitu Allah matlamat kami, Rasul pemimpin kami,
Al-Quran perlembagaan kami, jihad jalan kami, dan mati di jalan Allah
cita-cita tertinggi kami.
Dalam satu pertemuan dengan Ustaz Jaiz di London pada 2001,
beliau memberitahu bahawa ketiga-tiga gerakan ini bertujuan untuk
membina kesedaran Islam di kalangan pemuda PAS.

Setelah berjaya melaksanakan perubahan dalam tarbiah Dewan
Pemuda PAS, pada 26 September 1970, Ustaz Jaiz telah meletakkan jawatan
beliau sebagai Ketua Pemuda PAS merangkap Pegawai Penerangan Luar PAS
kerana ingin melanjutkan pengajian di peringkat doktor falsafah (PhD)
dalam bidang undang-undang di United Kingdom.

Sebelum ke sana, Ustaz Jaiz telah diambil menjadi menantu kepada Yang Dipertua 
Agung PAS, Dato� Mohd Asri Muda.
"Semasa belajar di UK, Ayah Mat (panggilan untuk Dato� Asri) yang
banyak membantu dari segi kewangan," kenang Ustaz Jaiz terhadap jasa
mentuanya itu. Semenjak berhijrah ke London pada akhir 1970 itu, Ustaz
Jaiz terus menetap di sana hingga akhir hayatnya..

Bagaimanapun Ustaz Jaiz memberitahu cita-citanya untuk belajar tidak
tercapai apabila terpaksa berhenti di pertengahan jalan dan mula
menceburi bidang berniagaan di sana.

Walaupun sudah tidak lagi memimpin PAS, Ustaz Jaiz tidak
berdiam diri di London. Selain pernah mewakili PAS dalam satu
persidangan antarabangsa Islam ketika PAS dalam BN, Ustaz Jaiz giat
dengan gerakan dakwah kepada pelajar Melayu di sana. Pendek kata selama
hampir 40 tahun beliau menjadi 'duta PAS' di London.

"Antara yang mengikuti tarbiah saya di UK ialah Wan Ismail Wan Ibrahim
(bekas Timbalan Menteri Besar Kelantan, 1974-1978)," beritahu Ustaz
Jaiz.

Menurut Ustaz Jaiz juga selain berniaga, beliau juga berdakwah di Kelab
Melayu Clapton, Oxford, Cambridge, Brighton dan lain-lain semenjak
1970-an. Beliau turut menjadi rujukan para pelajar Malaysia di sana
khususnya yang menyertai gerakan Islam.
Allahyarham Ustaz Fadzil, setiap kali ke London akan mengunjungi beliau.

"Ustaz Fadzil ketika baru tiba dari Mesir, sayalah yang membawa borang
PAS kepadanya," getus Ustaz Jaiz apabila mengenangkan keahlian Presiden
PAS itu pada 1968.

Kini perjuangan Ustaz Jaiz selama 68 tahun telah berakhir apabila
beliau dijemput menemui Allah pada jam 5.30 petang waktu London, 17 Mac
2009 di Hospital UCL, London.

Al-Fatihah untuk seorang pejuang.- tajdid
_




Jemputan : Orangkampong

Kirim email ke