Di
Bumi Mana Kematianmu?

April 2nd, 2009
By: Ustaz Hasrizal Abdul Jamil

“Assalamualaikum Ustaz. Fendi ni!” saya menerima panggilan telefon.
“Waalaikum al-Salaam
doktor. Apa cerita?” saya tergagap-gagap menjawab panggilan.
Jam di dinding menunjukkan
waktu sudah melewati jam 11 malam.
“Imam Khalid minta bantuan
ustaz mandikan jenazah,” beritahu rakan saya ini.
“Err… jam 12 malam?”
saya agak kehairanan.
“Ya, ada kapal mendarat
di Galway. Jenazah kelasi kapal orang Indonesia. Sudah dua hari beliau
meninggal dunia,” beliau menyambung cerita.
“Inna Lillah wa Inna
Ilayhi Raaji’un. Baiklah, ana bersiap,” saya memberitahu.
“Baik, dalam 10 minit
lagi ana sampai di rumah ustaz,” kata Dr. Fendi.
Bukan sahaja doktor yang
kena oncall, menjadi ustaz atau Imam juga harus sentiasa bersedia
untuk dipanggil menyertai kerja-kerja kecemasan seperti ini. Namun memandikan
jenazah kelasi kapal yang sudah dua hari meninggal dunia, ia suatu pengalaman
baru buat saya.
PENGALAMAN
Saya tidak ada banyak pengalaman
memandikan jenazah.
Kali pertama memandikan
jenazah, ialah semasa menyempurnakan jenazah almarhum ayah saya ketika
beliau kembali ke Rahmatullah. Ketika itu saya baru berusia 17 tahun. Saya
dan abang-abang ketika itu ditunjuk ajar oleh Imam Saleh di kampung untuk
memandikan jenazah abah yang pergi mengejut, meninggalkan kami terpinga-pinga
kebingungan meneruskan kehidupan.
Begitu juga semasa menuntut
di Jordan.
Pengalaman memandikan jenazah
teman-teman yang meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya pada tahun
1995 sangat besar maknanya kepada saya. Masih ingat, tangan saya terketar-ketar
menggunting beg plastik hitam yang melindungi tubuh teman-teman tersayang.
Masih kuat lagi hidung ini menangkap bau formalin yang saya suntikkan
ke tubuh sahabat-sahabat yang dikasihi untuk mengawet susuk tubuh mereka
yang cedera parah itu bertahan kerana jenazah semua akan diterbangkan ke
Malaysia.
Ia suatu pengalaman yang
mencalar memori saya sepanjang hayat.
Semasa di Belfast, sebaik
sahaja saya menerima perlantikan rasmi sebagai Imam, saya didatangi ujian
pertama. Pada malam sebelum bertolak ke Paris bersama isteri untuk berbulan
madu, saya diminta menguruskan jenazah seorang warga Muslim di Craigavon
yang meninggal dunia kerana kanser.
Duduk di mortuary lewat malam adalah suatu pengalaman yang tidak menarik untuk 
dikenang.
Ketika itu saya belajar
untuk menguruskan jenazah yang penuh dilingkari dengan wayar-wayar elektrik,
termasuklah catheter yang masih belum ditanggalkan dari anggota
sulit jenazah. Mujurlah isteri saya pernah memberitahu prosedur menanggalkan 
catheter itu. Jika tidak, mungkin buruk kesilapan yang saya lakukan
jika dengan membuta tuli cuba menanggalkannya secara manual.
MEMBELAH MALAM
“Pin! Pin!” kereta
Dr. Fendi sampai di hadapan rumah saya.
Lama juga melangut termenung
di tangga. Wajah agak beku dihembus angin dingin musim sejuk dari Sungai
Corrib di depan sana. Kereta yang kami naiki meluncur laju meredah sunyi
malam di Newcastle Road menuju bandar. Mortuary yang menempatkan
jenazah berkenaan terletak tidak jauh dari Claddagh. Kami memerlukan masa
kurang 10 minit untuk tiba di sana.
Imam Khalid menyambut ketibaan
saya dan tanpa berlengah kami segera memulakan tugas Fardhu Kifayah ini.
Hiba hati saya melihat
wajah kelasi kapal itu. Usianya begitu muda di akhir 20′an. Tetapi beliau
meninggal dunia kerana serangan sakit jantung. Kapten kapal warganegara
Jepun itu amat prihatin dengan kejadian tersebut. Jenazahnya disimpan di
bilik beku dan mujurlah lokasi mereka tidak terlalu jauh ke tengah Atlantik
untuk singgah di Pelabuhan Galway.
“Imam, al-marhum ini
bakal dikebumikan di mana?” saya bertanya kepada Imam Khalid sambil menggunting
kain kafan untuk dibentuk sedikit menjadi seperti baju untuk lapisan pertama.
“Mereka mahu menyerahkan
jenazah kepada keluarga di Indonesia!” kata Imam Khalid.
“Aduh, berapa lama lagi
jenazah ini mahu tiba di Indonesia dari Ireland ini? Mahu lagi sebulan
jadinya!” saya terkejut.
“Benar. Saya sudah nyatakan
hal yang sama. Tetapi itu polisi mereka, kata Kapten kapal itu,” beritahu
Imam Khalid.
SEGERAKAN PENGEBUMIAN
JENAZAH
Islam mengharuskan jenazah
seseorang yang meninggal dunia ketika di dalam pelayaran di lautan, untuk
jenazah itu dikebumikan di dasar laut. Tubuhnya diikat dengan objek yang
berat, cukup untuk menenggelamkannya. Teringat pula saya dengan cerita-cerita
Atuk dan Opah tentang pengalaman mereka pergi mengerjakan haji menaiki
kapal. Penumpang yang meninggal dunia akan dikebumikan dengan melepaskan
jenazah itu ke dasar laut.
Entahlah.
Mungkin dalam suasana bumi
Tuhan ini disempadan-sempadankan di bawah pelbagai negara, banyak isu yang
timbul berkaitan urusan pengebumian orang asing di darat dan laut milik
orang. Biar pun jenazah sewajarnya dikebumikan di tempat di mana kematian
itu berlaku, sering sahaja berlaku jenazah itu lewat disempurnakan.
Ada yang mendesak jenazah
keluarganya dibawa pulang kerana ’sayang’, dan ada kubur yang boleh
dilawat.
“Kalau mati, di mana
kuburnya?” ayat-ayat drama ini biasa kita dengar.
Ada yang mahu jenazah dikebumikan
segera, tetapi dihalang pula oleh birokrasi dan peraturan-peraturan yang
sulit. Kelasi kapal warga Indonesia ini terpaksa dibawa belayar dari persisiran
Galway di Lautan Atlantik pulang ke hujung dunia di Indonesia kerana birokrasi
ini.
Kasihan…
SALAM AKHIR
Kami membasuh tubuh almarhum
perlahan-lahan. Kulitnya agak lembut mungkin kerana sudah dua hari diletakkan
di bilik beku.
Selesai jenazah dimandi
dan dikafankan, saya memanggil beberapa orang rakan yang menunggu di luar
untuk kami solatkan jenazah almarhum. Apa sahaja yang berlaku kepada jenazah
ini, yang penting, semua urusan telah disempurnakan.. Hanya menunggu 
pengebumian.
Benar sekali, dalam kembara
di alam ini kita tidak mampu untuk mengetahui di bumi mana kita akan mati
dan cara yang bagaimana kematian kita akan berlaku.

“… Dan tiada seorang
pun yang dapat mengetahui di bumi negeri manakah dia akan mati.. Sesungguhnya
Allah Maha Mengetahui, lagi amat Meliputi PengetahuanNya” [Luqman
31: 34]
Justeru, tidaklah menjadi
suatu keperluan untuk memikirkan di bumi mana kita akan mati.
Mahu mati di rumah sendiri.
Mahu mati di Mekah.
Juga tidaklah menjadi suatu
keperluan untuk memikirkan bagaimanakah bentuk kematian yang bakal muncul
nanti.
Mahu mati sambil sujud.
Mahu mati sambil menderma.
Mahu mati sambil menadah
tangan berdoa.
Apa yang utama ialah mati
itu tiba dalam keadaan dirimu Muslim. Biar mati di tanah dagang, biar mati
di bumi orang, asalkan mati sebagai Muslim, cara mati yang dibentuk oleh
cara hidup.
Hiduplah dengan mendampingi
Islam, agar matimu sebagai Muslim, biar terasing di hujung bumi.
Selesai solat jenazah disempurnakan,
saya dan Imam Khalid mencium kepala jenazah yang sudah siap dikafan sempurna,
mendoakan perjalanannya dipermudahkan Allah. Bukan setakat perjalanan 
pengebumian
di bumi Indonesia, malah kelana sendiriannya menuju barzakh!

Ustaz Hasrizal Abdul Jamil
www.saifulislam.com
68000 Ampang
About the author:
Ustaz Hasrizal is currently
completing his Masters in History and Civilization at the International
Islamic University Malaysia.
He holds a BA (Hons.) in Syariah & Islamic Studies from Mu’tah
University,
Jordan.. Previously Ustaz Hasrizal attended Izzuddin Shah Islamic School
in Ipoh 88-92.
Building on his experience
as Minister of Religion in Belfast Islamic Centre Northern Ireland, and
several Islamic centres in the Republic of Ireland, as well as Assistant
Director at Fitrah
Perkasa, a training
and consultancy firm in Malaysia, Ustaz Hasrizal became the first Visiting
Counselor and Muslim Chaplain at Malaysia’s National
Heart Institute(IJN) in February 2007.
He is now a full time motivational
trainer at Sigtech
Sdn. Bhd.
Earlier, Ustaz Hasrizal
was a public researcher at Research Centre for Islamic Art, History and
Culture (IRCICA)
Istanbul.
Ustaz Hasrizal who successfully
produced his best seller book, AKU
TERIMA NIKAHNYA,
is also a columnist for ANIS (Galeri
Ilmu) and MAJALAH
I (Karangkraf)
Married to Dr.
Nazhatul Muna Ahmad Nasarudin,
a medical officer and trainee lecturer in UKM Medical Centre (UKMCC), they
are blessed with three beautiful kids, Muhammad Saiful Islam, Naurah Sabihah
and Muhammad Imaduddin.


      New Email names for you!
Get the Email name you've always wanted on the new @ymail and @rocketmail.
Hurry before someone else does!
http://mail.promotions.yahoo.com/newdomains/sg/

Kirim email ke