Natrah, gadis rebutan berdarah 1950 meninggal dunia



Natrah digendong oleh ibu angkatnya, Che Aminah Mohamed. Gambar ini diambil 
sekitar tahun 50-an.



KUALA LUMPUR 9 Julai – Bertha Hertogh atau Natrah, nama Islamnya
pada satu ketika dilaporkan meninggal dunia di kediamannya di
Huijbergen, Belanda, semalam.

 Beliau meninggal dunia akibat leukemia pada usia 72 tahun, menurut
Duta Malaysia di Belanda, Dr. Fauziah Mohd. Taib menerusi e-mel kepada
Bernama hari ini.

 Bertha menjadi isu di Singapura pada 1950 akibat perebutan
terhadapnya antara ibu angkatnya, Che Aminah Mohamed dengan keluarga
asal beliau yang berketurunan Belanda.

 Bertha ketika itu berumur 13 tahun dan telah memeluk Islam serta
bernikah gantung dengan seorang guru berusia 22 tahun bernama Mansor
Adabi.

 Namun begitu, undang-undang British/Belanda tidak membenarkan wanita di bawah 
umur 18 tahun daripada berkahwin.

 Natrah akhirnya diperintahkan supaya dipulangkan kepada ibu bapa kandungannya 
di Belanda.

 Keputusan mahkamah itu menimbulkan kamarahan masyarakat Islam di
Singapura, sehingga berlaku rusuhan yang dikenali sebagai Rusuhan
Natrah.

 Dilaporkan seramai 18 orang terbunuh dan kira-kira 200 orang cedera
dalam tragedi itu ketika mereka bertempur dengan tentera dan polis
British, sehingga Singapura diletakkan di bawah perintah berkurung
selama dua hari dua malam.

 Dr. Fauziah berkata, Natrah akhirnya pulang ke Belanda, namun hati dan 
perasaannya masih melekat di Malaya ketika itu.

 Natrah yang menggunakan nama Bertha pernah kembali ke rantau ini
pada 1999 untuk penggambaran filem dokumentari mengenai dirinya oleh
sebuah syarikat televisyen Belanda.

 “Menurut Bertha, beliau hanya merasa bahagia ketika zaman kanak-kanaknya,” 
kata Dr. Fauziah.

 Sebuah filem mengenai Bertha arahan Ben Sombogaart dilaporkan akan dikeluarkan 
tahun depan. – BERNAMA

Sebaik-baik manusia ialah orang yang dapat memberi manfaat kepada orang lain
(Hadis riwayat Al-Qudhi)

Lawatilah kediaman saya dan rakan-rakan di 
http://groups.yahoo.com/group/pakbelang
Facebooking di e_bel...@yahoo.com



      

Reply via email to