Orang yang menipu orang lain , sebenarnya mereka menipu diri mereka sendiri. 
Allah nampak segala penipuan manusia , di akhirat nanti mereka yang menipu akan 
menerima balasan masing-masing.

Dan demikianlah Kami adakan dalam tiap-tiap negeri orang-orang besar yang jahat 
supaya mereka melakukan tipu daya di negeri itu, padahal tiadalah mereka 
memperdayakan selain dari dirinya sendiri (kerana merekalah yang akan menerima 
akibatnya yang buruk), sedang mereka tidak menyedarinya. ( Al An’aam : 123 )

‘Kaki ekor’ ubah taktik beli nombor luar premis
Sinar Harian 22 Julai 2009

REMBAU – ‘Kaki ekor’ membabitkan segelintir orang Islam di daerah ini 
dipercayai mula menggunakan taktik baru apabila kegiatan itu dikesan Bahagian 
Penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) daerah 
Rembau dalam operasi yang dijalankan baru-baru ini.

Mereka didakwa bersekongkol dengan tauke kedai nombor ekor berkenaan 
semata-mata untuk menjalankan urusan jual beli di luar premis bagi mengelakkan 
ditahan.

Sebelum ini, mereka didapati membeli nombor ekor dalam premis judi, tetapi 
akibat bimbang ditahan penguat kuasa agama menyebabkan mereka menukar taktik 
dengan melakukannya di luar premis.

Jurucakap JHEAINS berkata, ‘kaki ekor’ terbabit dikesan berpakat dengan tauke 
kedai nombor ekor itu menyebabkan pihak berkuasa sukar untuk menahan suspek.

Katanya, apabila mereka sudah menukar taktik dalam melakukan urusan jual beli 
di luar premis, ia menyukarkan Jabatan dalam operasi yang dijalankan.

“Hasil pemerhatian, mendapati segelintir orang Islam yang mengunjungi premis 
judi didapati berlagak selamba membeli nombor ekor di luar kedai dan bukannya 
mengunjungi kaunter dalam premis berkenaan seperti kebiasaannya.

“Itu yang menyebabkan pihak berkuasa tidak dapat menahan dan gagal untuk 
mengesan dan mengenal pasti suspek,” katanya.

Menurutnya, dalam operasi itu, pihaknya mendapati kakitangan kedai nombor ekor 
terbabit akan keluar daripada premis berkenaan dengan membawa resit pembelian 
dan menyerahnya kepada beberapa individu dipercayai pembeli beragama Islam.

“Tindakan itu menyebabkan kesukaran bagi anggota penguat kuasa agama menahan 
mereka yang membeli nombor ekor kerana mereka berada di luar premis.

“Ini kerana berdasarkan Seksyen 79 A (1) Enakmen Jenayah Syariah 1992, orang 
Islam boleh ditahan mengunjungi premis judi dan boleh dikenakan denda melebihi 
RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya jika sabit kesalahan,” katanya.

http://www.sinarharian.com.my/mns/content/story2977334.asp




Reply via email to