KUALA LUMPUR, 18 Ogos:Sudah menjadi 'buah mulut' di kalangan
mereka ini - si pengemis, si fakir, yang tidak berumah, penagih dadah,
pondan, pelacur dan kanak-kanak 'lorong gelap' bahawa bangunan itu
menjanjikan 'syurga' setiap hari Jumaat. Selang 15 minit sebelum jarum jam  
pukul 6.00 petang, pintu kaca Pejabat Agung PAS mula dirapati dan dikerumuni 
mereka.
Mata masing-masing merenung tajam bungkusan-bungkusan plastik berlogo
'Hijau Putih' yang tersusun kemas di atas meja. Sudah tidak sabar
rasanya, untuk mencapai satu, getus hati-hati yang 'geram'.
Mereka itu, golongan gelandangan yang memenuhi pekarangan bangunan PAS
dengan satu tujuan - mendapatkan makanan percuma buat pengalas perut
pada hari itu.
Baik Cina, Melayu, India dan pelbagai kulit warna, di sinilah lokasi mereka 
bertemu setiap  penghulu hari itu. Ada yang sudah kenal antara satu sama lain - 
bersembang-sembang sambil  bergurau,ada  yang duduk sendiri-sendiri menunggu 
waktu tiba, ada yang mengusap-usap peluh  di dahi anak yang dikendong dan ada 
yang teragak-agak malu untuk menghampiri bangunan itu.
Dengan nasi berlaukkan ayam masak kurma serta sayuran sebagai juadah, sudah 
cukup  menceriakan mereka pada hari itu. Adakalanya menunya juga bertukar, ada 
masa bungkusan nasi  itu diletakkan ikan goreng, telur rebus ataupun ikan 
masin. Biar apa pun sajiannya, mereka  tidak ambil peduli. Yang penting perut 
hari itu telah diisi.
Dan inilah secebis kepuasan PAS dan para petugasnya, ketika melihat mereka 
begitu beselera  sekali menjamu di kaki lima dan tepi tangga bangunan PAS 
sebaik sahaja mendapat makanan  percuma itu.
Demikian luahan kegembiraan penyelaras makanan percuma Syaripuddin Mat Yatim, 
petugas Unit  Amal dan beberapa kakitangan pejabat PAS kepada krew Harakahdaily 
kira-kira 5.30 petang,  Jumaat lalu, sewaktu sedang sibuk membungkus dan 
menyusun juadah penuh nikmat itu.
Kerja-kerja amal dan sumbangan kecil ini, secara tidak langsung telah 
memancarkan nama PAS  di pelusuk ibu kota dan ianya amat besar ertinya kepada 
golongan gelandangan ini.
Ini diakui sendiri, Mohd Rashid Othman 51, yang sudah dua tahun secara 'tetap', 
datang ke  pejabat PAS ini, untuk mengambil makanan percuma. Dia yang yang 
tinggal di Setapak merasa  bersyukur dengan sumbangan  itu, yang sedikit 
sebanyak meringankan beban sesuap nasi, bagi  dirinya yang tidak mempunyai 
sebarang pekerjaan.
Manakala seorang 'mak nyah',dikenali sebagai Ameera, 26 mendapat tahu agihan 
ini melalui  rakan-rakannya,dan berjanji akan datang setiap Jumaat untuk 
mengambil peluang percuma itu.
"Insya-Allah saya akan datang sini seminggu sekali. Benda yang baik ini elok 
diteruskan dan  bantu mereka yang perlukan seperti saya," katanya tersenyum 
simpul ketika disoal krew  Harakahdaily.
Ya memang benar, selama dua tahun, semenjak 6 Julai 2007, PAS tidak pernah 
gagal dan culas  pada setiap hari Jumaat, menyediakan makanan percuma kepada 
mereka yang dhaif ini dan secara  purata, sejumlah lebih 200 bungkusan 
disajikan, namun adakala ianya tidak mencukupi.
Nurulhuda Muslim 30, sambil mendukung anaknya berusia dua tahun lebih, 
menyambut baik usaha  yang dilakukan terutama untuk penagih dadah yang 
memerlukan bantuan makanan seperti dirinya.
"Baguslah... ada makan macam ini. Saya menagih dadah sudah 8 tahun dan tak 
kerja. Jadi hari  ini dapatlah saya dan anak makan. Esok, akan cari tempat lain 
yang beri makanan percuma,"  katanya yang menagih dadah jenis 'Ice' dan enggan 
bergambar kerana khuatir 'diketahui' atau  'dikenali' keluarganya yang ada di 
Sabah.
Rupanya, Nurulhuda sudah 'arif', mencari makanan percuma yang diedarkan oleh 
persatuan dan   kumpulan agama tertentu pada hari dan lokasi yang telah 
ditetapkan.
"Walaupun bukan kumpulan agama Islam yang beri makanan, tapi saya rasa makanan 
dibuat itu  halal," katanya penuh yakin dan terus beredar segera  ke pintu kaca 
Pejabat PAS untuk  menunggu giliran.
Selain PAS, seperti yang diakui Nurulhuda, terdapat dua lagi lokasi makanan 
percuma di ibu  kota yang turut mendapat perhatian, iaitu berhampiran sebuah 
gereja di Muzium Telekom pada  hari Ahad manakala satu lagi di bangunan 
Baitulmal Wilayah Persekutuan di Kampung Baru pada  hari Rabu.
Ini tidak termasuk kumpulan dan persatuan tertentu, yang mengagihkan makanan 
percuma secara  'mobile' atau bergerak, iaitu singgah di mana-mana lokasi,di 
mana golongan gelandangan ini  bersidai ataupun melepaskan lelah.
Tahun lalu, aktiviti edar juadah percuma ini telah 'dipanjangkan' oleh Lajnah 
Kebajikan PAS  Pusat yang diketuai oleh Ahli Parlimen Titiwangsa Dr. Lo' Lo� Hj 
Ghazali dengan mendekati  dan beramah mesra dengan penghuni-penghuni 'lorong 
gelap' di sekitar Lorong Hj Taib,  berhampiran bangunan PAS ini.
Sungguhpun terkejut, namun penghuni-penghuni gembira di samping mesra dan 
melayan kehadiran  rombongan para pimpinan PAS yang turut turun padang, malah 
ada yang 'membenarkan' naik ke  flat tempat tinggal mereka, untuk bertemu 
rakan-rakan yang lain.
Hari ini, kelibat para pemimpin PAS tidak kelihatan seperti lazimnya, kerana 
kepadatan  jadual tugas di tempat masing-masing, dan tanggungjawab mengagihkan 
ini dipikul Syaripuddin  yang lebih mesra di panggil 'Abang Chem'.
Petang itu hujan begitu lebat, dan hanya sekitar 100 orang memenuhi ruang depan 
pejabat  parti itu di mana pintu 'kaunter' makanan percuma akan dibuka tepat 
jam 6.00 petang. Tukang  agih memberi sedikit taklimat ringkas kepada mereka 
agar, mengikut peraturan, kesopanan dan  adab ketika mengambil makanan percuma 
itu.
"Kalau tak hujan, 5.30 petang dah penuh kawasan depan ni...ramai. Malah ada 
yang datang dua  tiga 'round' untuk ambil makanan," katanya yang sudah 'masak' 
dengan aneka ragam mereka yang  berpusu-pusu di sini.
Ditanya tentang maklum balas yang diterima ataupun 'keuntungan' yang didapati 
sejak dua  tahun program edar makan percuma yang diilhamkan Bendahari PAS Pusat 
Dr Hatta Ramli dan  seorang penyokong parti itu, kata Abang Chem itu urusan 
tuhan yang menentukan.
"Setakat ini, tidak ada apa-apa. Kita beri, dengan niat ikhlas dan nak bantu. 
Selebihnya,  dari sudut berubah atau gerak hati, Allah lah yang uruskan," 
katanya.
Bagi Syaripuddin  adalah lebih baik, selain PAS, masyarakat dan golongan yang 
berada dapat  turut serta dalam menyumbang dana untuk menjayakan dan 
melancarkan aktiviti yang  dilaksanakan secara konsiten itu, di samping 
memperbanyakkan kuatiti makanan percuma ini.
Sedang, ditemubual Harakahdaily, dua wanita berusia sekitar 40 an' bertemu 
Syariffudin  meminta jasa baik pihak PAS untuk datang ke rumahnya - flat 
berhampiran bangunan PAS itu,  bagi meraikan majlis khatan anak mereka.
"Azamin, nampaknya inilah 'keuntungan' yang kita dapat buat pertama kalinya, 
kerana mereka  dah mula kenal kita. Mereka minta bacakan doa di kenduri 
anaknya. Ini satu dakwah dan  kejayaan," katanya dengan raut gembira dan 
berharap Harakahdaily juga turut serta di majlis  itu.
Ketika Harakahdaily meninggalkan bangunan PAS itu kira-kira jam 6.30 petang, 
hati   tersentuh, melihat kelibat beberapa orang sedang menjamu - nasi bungkus 
percuma PAS, dengan  wajah ceria terpancar dan penuh semangat. Dan gelagat aksi 
Nurulhuda menyuap nasi ke mulut  si kecil comel itu, lebih meruntun hati...
(Bagi yang berhajat dan ingin menyumbangkan dana bagi edaran makanan percuma 
setiap Jumaat  ini, maklumat lanjut bolehlah dimajukan kepada Pejabat Agung PAS 
di talian 03-26925000)
 http://zailina88.blogspot.com



      

Reply via email to