Analisis: Yang tersirat dan tersurat di Permatang Pasir27 Aug 2009  9:45AM 
Oleh Darwis Said 

SATU pengajaran yang
boleh ditimba Barisan Nasional (BN) berikutan keputusan pilihan raya
kecil Permatang Pasir yang boleh dijadikan bekal menjelang pilihan raya
umum Malaysia ke-13 ialah cuba elak daripada menggunakan isu perkauman
untuk menambat hati pengundi.

Memang benar ada trend menunjukkan
bahawa pengundi Melayu di Malaysia masih berbelah bahagi dalam sokongan
mereka kepada BN, khususnya Umno, dan ini dapat dilihat dalam pilihan
raya kecil di Manek Urai, Kelantan, bulan lalu.

Namun, tidak
semua pengundi Melayu Permatang Pasir mengundi berdasarkan corak
pengundian yang dilihat parti itu dalam pilihan raya kecil Manek Urai,
kata pengamat dan aktivis politik di Malaysia.

'Strategi
menimbulkan isu perkauman dan agama, serta menyerang peribadi pemimpin
pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebagai pengkhianat orang Melayu
menimbulkan kesan sebaliknya ke atas BN,' kata pensyarah kanan
Universiti Sains Malaysia (USM) di Pulau Pinang, Dr P. Sivamurugan,
ketika dihubungi sejurus selepas keputusan pilihan raya kecil Permatang
Pasir diumumkan kelmarin.

Sebaliknya, isu-isu seperti kes
kematian  Teoh Beng Hock, rasuah, ketelusan, integriti dan moral yang
diketengahkan pembangkang lebih melekat di hati pengundi kawasan Dewan
Undangan Negeri (DUN) itu.

Calon BN,  Rohaizat Othman, yang
dibelenggu pelbagai skandal, kalah di tangan calon Parti Islam
SeMalaysia (PAS), Ustaz Mohd Salleh Man, dengan majoriti 4,551 undi.

Ustaz Mohd Salleh mendapat sokongan 9,618 undi manakala  Rohaizat hanya mampu 
menarik 5,067 undi.

Majoriti
undi Ustaz Mohd Salleh mungkin rendah sedikit berbanding majoriti 5,433
undi yang diraih bekas penyandang kerusi DUN itu, Datuk Mohd Hamdan
Abdul Rahman, juga daripada PAS, yang meninggal dunia pada 31 Julai
lalu, dalam pilihan raya umum Mac tahun lalu.

Namun, ia boleh
dianggap satu kemenangan besar kepada PAS jika diambil kira peratusan
jumlah pengundi yang keluar mengundi kelmarin, kata Dr Sivamurugan.

Kelmarin,
73.1 peratus atau 14,832 daripada 20,350 pengundi berdaftar di
Permatang Pasir keluar mengundi, berbanding lebih 82 peratus yang
keluar mengundi pada 8 Mac 2008.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat,
Datuk Kamaruddin Jaafar, semasa dihubungi berkata rakyat sukar menerima
pendekatan BN-Umno yang sering menimbulkan isu perkauman dan menyerang
para pemimpin Pakatan Rakyat (PR), khususnya Datuk Seri Anwar dan
Mursyidul PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, yang dikatakan seorang
ulama palsu.

Permatang Pasir terletak dalam kawasan Parlimen
Permatang Pauh, kawasan pimpinan Datuk Seri Anwar, Ketua Umum Parti
Keadilan Rakyat (PKR).

Kira-kira 72 peratus pengundinya adalah orang Melayu, hampir 26 peratus 
pengundi Cina, dan bakinya pengundi kaum lain.

Tindakan
BN-Umno memainkan politik perkauman menjauhkan mereka daripada para
pengundi Cina, manakala percubaannya memujuk pengundi Melayu dengan
memaparkan PAS sebagai parti yang terlalu bertolak ansur dalam
melaksanakan nilai Islam dan menjadi konco kepada Parti Tindakan
Demokratik (DAP) yang anti-Islam gagal.

Timbalan Perdana Menteri
Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin, bagaimanapun berkata beliau kecewa
dengan sikap pengundi kawasan Permatang Pasir yang tidak mahukan
perubahan.

Beliau, yang juga Timbalan Presiden Umno, berkata
kekalahan BN menunjukkan pengundi terlalu selesa dengan keadaan mereka
ketika ini sehingga tidak mahukan pembangunan.

'Kita menerima
keputusan ini kerana mengikut apa yang diamalkan dalam demokrasi
berparlimen dan kita menghormati keputusan rakyat,' katanya.

Pengarah
Pilihan Raya BN, Dr Ahmad Zahid Hamidi, pula berkata penduduk Permatang
Pasir 'sudah memberi mesej bahawa mereka tidak mahukan perubahan, jadi
kita jangan salahkan calon, jangan juga salahkan jentera'.

Namun,
Dr Sivamurugan menekankan bahawa  Rohaizat setakat mampu meraih 5,067
undi - lebih rendah berbanding 5,571 undi yang diraih calon Umno, 
Ahmad Sahar Shuib, pada pilihan raya umum tahun lalu.

'Ini menunjukkan bahawa penyokong BN sendiri pun tidak mahu mengundi beliau,' 
ujarnya.

Dalam
pada itu, Perdana Menteri dan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun
Razak, dipetik akhbar Utusan Malaysia sebagai berkata pihaknya akan
mengkaji semua faktor yang membawa kepada kekalahan BN bagi memastikan
ia berjaya dalam pilihan raya pada masa depan.

'Dari satu segi
kita dapat kurangkan majoriti undi parti lawan dan dari satu segi lain
kita dapati ada faktor-faktor yang telah menyebabkan kekalahan kepada
BN.

'Faktor-faktor ini harus diteliti dan diperbaiki supaya
usaha kita pada masa depan akan lebih berjaya,' ulas Datuk Seri Najib,
sambil menambah bahawa beliau 'tahu apa sebabnya'.

Kajian itu memang perlu dilakukan BN dengan segera.

BN
kalah tujuh daripada lapan pilihan raya kecil sejak peristiwa 'tsunami'
politik yang berlaku dalam pilihan raya umum Malaysia ke-12 tahun lalu.

Jika
BN mahu mengelakkan kejadian 'tsunami politik' 2008 itu daripada
berulang pada pilihan raya umum Malaysia ke-13, maka satu kajian jujur
dan telus terhadap faktor-faktor yang menyebabkan kekalahannya dalam
tujuh pilihan raya kecil itu harus dijalankan secara serius dan
terperinci.

Strategi dan taktik pilihan raya baru perlu
diterokai, manakala pendekatannya pula perlu diubah supaya lebih sesuai
dengan trend perkembangan dan selera politik generasi pengundi masa
kini di Malaysia.

Jika tidak, BN berpotensi menghadapi 'bencana politik' lebih mengejutkan 
berbanding apa yang berlaku pada 8 Mac 2008.
Memang ada trend menunjukkan bahawa pengundi Melayu di Malaysia masih berbelah 
bahagi

Kirim email ke