Oleh: Ustaz Mat Esa Bin Deraman

 Mazhab Maliki dan
Anjing<http://tokkupasirgudang.blogspot.com/2009/10/mazhab-malik-dan-anjing.html>
 Ustaz ditanya tentang satu artikel yang tersiar, seorang perempuan yang
berpurdah bermain dengan anjing dan menjadikannya sebagai teman serta
menternaknya untuk mendapatkan keuntungan. Beliau mendakwa beramal dengan
mazhan Maliki semenjak kecil lagi. Benarkah Mazhab Maliki membenarkan
seseorang bermanja dengan anjing serta mengasihinya dengan memeluk,
memandikan serta pelbagai lagi bentuk kasih sayang.

  Perkara yang pertama perlu diketahui ialah perbezaan antara fatwa dan
amalan yang menggambarkan sifat warak dan takwa. Fatwa ialah menerangkan
sesuatu hukum berdasarkan dalil-dalil yang dipercayai, samada ianya haram,
wajib, sunat, makruh dan harus. Sekiranya fatwa menyatakan hukumnya harus
maka ianya bukanlah menandakan perkara itu terbaik untuk dilakukan. Bahkan
kadangkala menyalahi perkara harus itu lebih utama daripada melakukannya.
Sebagai contoh, aurat lelaki ialah antara pusat hingga ke lutut.

Tetapi dari sudut amalan, kita tidak pernah melihat orang yang berjalan di
bandar-bandar tanpa memakai baju ataupun pergi ke pejabat, mesyuarat dan
majlis-majlis rasmi memakai seluar sahaja tanpa baju. Sedangkan hukumnya
adalah harus. Namun meninggalkan hukum harus itu lebih baik daripada
melakukannya, takut dikatakan gila, sewel atau kurang akal.

  Demikian juga masalah anjing. Memang benar Imam Malik menyatakan anjing
itu bersih tetapi haram melakukan jual beli. Bersih disisi Imam Malik bukan
beerti dijadikan sebagai teman. Bahkan tiada ulamak dalam mazhab Maliki
menyatakan sunat bertemankan anjing serta bermain-main dengannya. Imam Malik
menganggap kebenaran penggunaan anjing hanyalah untuk menjaga binatang
ternakan, memburu atau tujuan pertanian untuk menjaga kebun atau ladang.
Sesiapa melihat perbahasan tentang anjing dalam mazhab Maliki pasti akan
mengetahui batasan dan sempadan yang telah ditetapkan.

  Satu kejahilan bila mengganggap hanya mazhab As-Syafie yang menyatakan
anjing itu najis. Hakikat sebenar ialah, jumhur ulamak (kebanyakkan)
menyatakan anjing itu najis sebagaimana yang disebut oleh As-Son'ani dalam
kitab Subulus Salam jilid pertama. Perlu diketahui juga bahawa, dalam mazhab
Malik sendiri ada yang menyatakan ianya najis.

  Sebagai penutup bicara, perhatikan sabda Rasulullah yang bermaksud: "Nabi
s.a.w melarang hasil daripada jual beli anjing, hasil daripada pelacur dan
upah kepada tukang tilik. (Bukhori dan Muslim). Lihat bagaimana sama kejinya
keuntungan yang diperolehi daripada jual beli anjing dengan keuntungan orang
yang menjual maruah dirinya.

Ya Allah! Tambahkan ilmu kami.


http://tokkupasirgudang.blogspot.com/2009/10/mazhab-malik-dan-anjing.html

Reply via email to