Felda Palong daif
Berita Harian 21 Dis 2009
Jalan raya rosak di Pusat Bandar Palong 4,5 dan 6 menyukarkan aktiviti penduduk.


Penduduk rayu bina balai polis, kemudahan mesin ATM

PALONG: Palong 4, 5 dan 6 adalah pusat bandar bagi gugusan Felda Palong, 
kawasan dikenali sebagai skim tanah rancangan terbesar di negeri ini 
membabitkan Felda Palong Satu hingga 16, yang mempunyai bilangan penduduk 
kira-kira 100,000 orang.

Namun, gelaran pusat bandar itu hanya indah dari segi nama tetapi dari aspek 
prasarana, jauh ketinggalan berbanding pusat bandar lain yang lengkap dengan 
pelbagai kemudahan untuk penduduknya.

Bayangkan, tiada satu pun institusi kewangan yang membuka cawangan atau 
perkhidmatan mesin juruwang automatik (ATM) di situ, menyebabkan mereka 
terpaksa berulang alik ke pekan Bahau dan Gemas yang terletak kira-kira 50 
kilometer untuk berurusan setiap bulan.

Keadaan itu bukan saja menjadikan perbelanjaan mereka meningkat, terutama kos 
tambang dan minyak tetapi ada penduduk yang pernah terbabit dalam kemalangan 
semata-mata mahu mengeluarkan RM200 untuk perbelanjaan anak sekolah.

Tidak cukup dengan itu, penduduknya juga diulit bimbang kerana tidak mempunyai 
balai polis kerana pondok polis dengan dua anggota yang bertugas tidak 
mencukupi untuk mengawal keselamatan dan ketenteraman di situ.


Penduduk Felda Palong 4, 5 dan 6 merayu kerajaan menyediakan kemudahan asas.



Penduduk juga menuntut sebuah balai bomba diwujudkan kerana bimbang kejadian 
tidak diingini berlaku, terutamanya kebakaran kerana bimbang bantuan lewat tiba 
kerana 'balai yang terdekat tetapi jauh' adalah Balai Bomba Gemas dan Jempol.

Ketua Kampung Felda Palong 4 merangkap Ahli Jawatankuasa (AJK) Umno bahagian 
Jempol, Rahim Jelani, berkata pihaknya berharap pihak berkuasa, terutama 
pengurusan Felda memberi perhatian terhadap masalah yang dihadapi penduduk.

"Kita berharap Felda membantu kerana sepatutnya hasil titik peluh peneroka 
mengerah kudrat sedikit sebanyak dapat disalurkan ke sini dengan merangka 
pelbagai pembangunan dan kemudahan di pusat bandar ini.

"Bukan sekali dua kami mengemukakan permasalahan ini tetapi sudah acap kali 
tetapi hingga hari ini kami belum menerima berita menggembirakan 
sekurangnya-kurangnya untuk melihat sebuah balai polis, bank dan bomba 
diwujudkan di sini," katanya.

Ketua Pemuda Umno Jempol, Mohd Nizam Aman, mengakui pusat bandar Palong 4, 5 
dan 6 masih tidak banyak perubahan sedangkan kawasan ini adalah yang terbesar 
di gugusan Felda Palong dan boleh diiktiraf sebagai sebuah kompleks kemudahan 
penduduk setempat.

"Saya bimbang kerana sekiranya ia berterusan tanpa perubahan akan menyebabkan 
lebih ramai golongan muda berhijrah ke bandar.

"Saya berharap pihak berkuasa memberi perhatian dengan menstrukturkan dan 
merangka semula pembangunan di pusat bandar gugusan Felda Palong ini.

"Sudah sampai masanya Kementerian Keselamatan Dalam Negeri membuka sebuah balai 
polis di sini kerana bersempadan dengan Pahang dan Johor,” katanya.

http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Monday/Wilayah/20091221075521/Article/index_html




Reply via email to