Hadis Abu Hurairah r.a katanya:
Pada suatu hari, ketika Rasulullah s.a.w berada bersama kaum Muslimin, datang 
seorang lelaki kemudian bertanya kepada baginda: Wahai Rasulullah! Apakah yang 
dimaksudkan dengan Iman? 

Lalu baginda bersabda: Kamu hendaklah percaya iaitu beriman kepada Allah, para 
Malaikat, semua Kitab yang diturunkan, hari pertemuan dengan-Nya, para Rasul 
dan percaya kepada Hari Kebangkitan. 

Lelaki itu bertanya lagi: Wahai Rasulullah! Apakah pula yang dimaksudkan dengan 
Islam? 

Baginda bersabda: Islam ialah mengabdikan diri kepada Allah dan tidak 
menyekutukan-Nya dengan perkara lain, mendirikan sembahyang yang telah 
difardukan, mengeluarkan Zakat yang diwajibkan dan berpuasa pada bulan Ramadan. 

Kemudian lelaki tersebut bertanya lagi: Wahai Rasulullah! Apakah makna Ihsan? 

Rasulullah s.a.w bersabda: Engkau hendaklah beribadat kepada Allah seolah-olah 
engkau melihat-Nya, sekiranya engkau tidak melihat-Nya, maka ketahuilah bahawa 
Dia sentiasa memerhatikanmu. Lelaki tersebut bertanya lagi: Wahai Rasulullah! 

Bilakah Hari Kiamat akan berlaku? Rasulullah s.a.w bersabda: Sememangnya orang 
yang bertanyakannya lebih mengetahui dariku. Walau bagaimanapun aku akan 
ceritakan kepadamu mengenai tanda-tandanya. Apabila seseorang hamba melahirkan 
majikannya maka itu adalah sebahagian dari tandanya. Seterusnya apabila seorang 
miskin menjadi pemimpin masyarakat, itu juga sebahagian dari tandanya. Selain 
dari itu apabila masyarakat yang pada asalnya penggembala kambing mampu 
bersaing dalam menghiasi bangunan-bangunan mereka, maka itu juga dikira tanda 
akan berlakunya Kiamat. Hanya lima perkara itulah sahaja sebahagian dari 
tanda-tanda yang diketahui dan selain dari itu Allah sahaja Yang Maha 
Mengetahuinya. 

Kemudian Rasulullah s.a.w membaca Surah Luqman ayat 34 Yang bermaksud: 
Sesungguhnya Allah lebih mengetahui bilakah akan berlaku Hari Kiamat, di 
samping itu Dialah juga yang menurunkan hujan dan mengetahui apa yang ada di 
dalam rahim ibu yang mengandung. Tiada seorang pun yang mengetahui apakah yang 
akan diusahakannya pada keesokan hari iaitu samada baik atau jahat dan tiada 
seorang pun yang mengetahui di manakah dia akan menemui ajalnya. Sesungguhnya 
Allah Maha Mengetahui lagi Amat Meliputi pengetahuan-Nya. 

Kemudian lelaki tersebut beredar dari situ. Rasulullah s.a.w terus bersabda 
kepada sahabatnya: Sila panggil orang itu kembali. Lalu para sahabat berkejar 
ke arah lelaki tersebut untuk memanggilnya kembali tetapi mereka dapati lelaki 
tersebut telah hilang. Lantas Rasulullah s.a.w bersabda: Lelaki tadi ialah 
Jibril a.s. Kedatangannya adalah untuk mengajar manusia tentang agama mereka.

(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Kirim email ke