YA ALLAH! NAMAMU DIPERJUANG, HUKUMMU DIBUANG
 
[SN202] Keputusan
Mahkamah Tinggi pada 31 Disember 2009 lepas yang membenarkan akhbar
mingguan Herald-The Catholic Weekly untuk menggunakan kalimah Allah di
dalam penerbitan bahasa melayunya telah mengundang kemarahan segelintir
umat Islam. Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada 17hb Januari 2009 yang
lalu telah melarang akhbar tersebut berbuat demikian, namun ternyata
keputusan mahkamah akhirnya berpihak kepada mereka. Hakim Mahkamah
Tinggi Datuk Lau Bee Lan telah memutuskan bahawa akhbar mingguan
tersebut mempunyai hak untuk berbuat demikian dari segi Perlembagaan
Persekutuan kerana Artikel 11(4) Perlembagaan hanya menghalang
orang-orang bukan Islam daripada menggunakan kalimah Allah untuk
menyebarkan agama kepada orang-orang Islam tetapi ia bukanlah larangan
untuk orang-orang bukan Islam menggunakannya sesama mereka.





Menurutnya lagi, Artikel 3(1) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan
Islam sebagai agama rasmi tidak memberikan kuasa atau membenarkan
Menteri Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia untuk menghalang gereja
tersebut daripada menggunakan kalimah Allah [UM 1/1/2010]. Umat
Islam yang berdemonstrasi membantah keputusan Mahkamah Tinggi memberi
hujah bahawa kalimah Allah adalah hak eksklusif umat Islam dan agama
lain tidak berhak menggunakannya. Sebahagian umat Islam yang membantah
menyifatkan bahawa penggunaan nama Allah oleh akhbar Kristian tersebut
boleh mengelirukan akidah umat Islam. Bagaimanapun, kebanyakan pihak
yang berdemonstrasi dikatakan terdiri dari puak-puak yang pro-UMNO,
kerana itulah mereka diberi liputan besar-besaran oleh media dan pihak
polis pula langsung tidak mengambil tindakan atau menghalang para
penunjuk perasaan yang melakukan ‘demonstrasi haram’ ini. Dalam pada
itu, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak meminta umat
Islam bertenang sementara dia berjanji akan menyelesaikannya dengan
sebaik mungkin di mana beliau akan mengadap Agong dan juga Majlis
Raja-Raja dalam masa terdekat.



Di sebalik apa yang berlaku, tidak kurang juga pihak yang menyifatkan
bahawa ada agenda politik di sebalik keputusan ini agar parti
pemerintah dapat tampil sebagai jaguh dalam ‘mempertahankan’ Islam, di
samping dapat menutup segala kemelut dalaman yang semakin banyak dan
semakin parah. Apa pun, kerajaan telah memberi jaminan bahawa mereka
akan merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi ini. Dalam pada itu, ada
juga pihak yang mencadangkan penyelesaian luar mahkamah terhadap isu
ini dengan mencadangkan agar diadakan dialog di antara pemimpin
tertinggi setiap agama bagi mencapai kesepakatan. Dengan kata lain,
konsep ‘dialog antara agama’ telah kembali menjadi modal akal untuk
menyelesaikan masalah. Walhal, konsep ini jelas-jelas merupakan
perangkap kuffar terhadap umat Islam bagi mengiktiraf agama mereka yang
sesat itu. Alih-alih ingin menyelesaikan masalah, umat Islam terus
memasuki perangkap kuffar dengan konsep pluralisme [sila baca SN76
Dialog Antara Peradaban: Umat Islam Terperangkap Dalam Agenda Kufur].



Walaupun kekhuatiran sebahagian umat Islam bahawa penggunaan kalimah
Allah oleh puak kuffar ini akan menyebabkan kekeliruan ada asasnya,
namun ia hendaklah dijawab dengan nas, bukannya emosi atau akal
semata-mata. Inilah pendirian yang harus diambil oleh kita sebagai
seorang Muslim.



Bolehkah Orang Kafir Menggunakan Kalimah Allah?



Penggunaan kalimah Allah ini telah pun wujud sebelum zaman Rasulullah
SAW diutus lagi. Di Mekah sendiri ketika itu, orang-orang kafir Quraisy
sudah pun menggunakan nama Allah di dalam kehidupan seharian mereka,
baik semasa beribadat mahupun dalam sumpah mereka. Sehinggalah Muhammad
diangkat menjadi Rasul, penyebutan kalimah Allah tetap menjadi
kebiasaan mereka, baik oleh kafir Ahli Kitab mahupun kafir Musyrik.
Namun hal ini tidak pernah dihalang oleh Rasulullah SAW. Sebaliknya apa
yang dikecam oleh Rasulullah adalah perbuatan mereka yang mensyirikkan
Allah dan tidak mahu beriman dengan Al-Quran. Dengan kata lain, yang
menjadi perhatian Rasulullah adalah akidah dan juga sistem mereka yang
rosak di mana telah berlaku penyimpangan dalam aqidah dan sistem yang
mereka terapkan. Namun demikian, terdapat keadaan di mana Allah sendiri
yang mengecam dan melaknat golongan kuffar ini apabila mereka telah
menyalahgunakan dan meletakkan Allah di tempat yang salah.



(i) Penggunaan Yang Benar –



Terdapat banyak ayat Al-Quran di mana Allah tidak mengecam orang-orang
kafir menggunakan namaNya, tapi apa yang dikecam oleh Allah adalah
perbuatan mereka yang tidak beriman kepadaNya. Antaranya firman Allah,



“Dan Demi sesungguhnya! jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada
mereka (orang-orang kafir), ‘Siapakah yang menciptakan mereka?’ sudah
tentu mereka akan menjawab, ‘Allah’. Maka bagaimanakah mereka boleh
dipalingkan (dari menyembah Allah)? Dan (Allah mengetahui) ucapan
(Muhammad) yang berkata, Wahai Tuhanku! Sesungguhnya mereka ini adalah
satu kaum yang tidak beriman!” [TMQ al-Zukhruf (43):87-88].



Firman Allah dalam ayat yang lain,



“Dan sesungguhnya jika engkau bertanya kepada mereka, ‘siapakah
yang menjadikan langit dan bumi dan menundukkan matahari dan bulan?’
tentu mereka akan menjawab, ‘Allah’, maka betapakah mereka (dapat)
dipalingkan (dari jalan yang benar)? [TMQ al-Ankabut (29):61].



Allah juga mengecam orang-orang kafir yang, walaupun meyakini Allah dan
menggunakan kalimah Allah, tetapi menyekutukanNya. FirmanNya,



“Ingatlah! Untuk Allah agama yang bersih (dari syirik). Dan
orang-orang yang mengambil pelindung selain Allah berkata, ‘Kami tidak
menyembah mereka melainkan supaya mereka mendekatkan kami kepada Allah
dengan sedekat-dekatnya. Sesungguhnya Allah akan memutuskan di antara
mereka tentang apa yang mereka berselisih padanya. Sesungguhnya Allah
tidak menunjuk orang-orang yang berdusta dan sangat kufur. [TMQ al-Zumar 
(39):3].



Di dalam Sirah Ibn Hisyam, juga di dalam banyak hadis mengenai
perjanjian Hudaibiyah di antara Nabi SAW dengan kafir Quraish,
disebutkan bahawa, tatkala Quraish membuat perjanjian damai dengan Nabi
SAW, antara wakil Quraish ialah Suhail bin Amru. Apabila Nabi SAW
memerintahkan agar Ali k.w menulis di permulaan perjanjian kalimah
‘Bismillahirrahmanirrahim’, Suhail berkata, ‘Adapun Bismillah (dengan
nama Allah), maka kami tidak tahu apa itu Bismillahirrahmanirrahim’.
Maka Nabi SAW pun memerintahkan agar Ali memadam kalimah tersebut dan
menggantikannya dengan ‘Bismikallahumma’ (dengan namaMu Ya Allah).



Banyak lagi nas lainnya yang menunjukkan bahawa orang-orang kafir boleh
menggunakan nama Allah. Mafhum yang dapat diambil daripada nas-nas di
atas adalah Islam tidak melarang penggunaan kalimah Allah oleh
orang-orang kafir tetapi apa yang Allah larang adalah perbuatan
orang-orang kafir yang tidak beriman dan menyekutukan Allah.
Kesimpulannya, Islam tidak menghalang penggunaan kalimah Allah oleh
orang-orang kafir tetapi dengan syarat ia hendaklah digunakan di dalam
konteks yang benar yakni Allah sebagai Tuhan bagi semua manusia, alam
semesta dan juga kehidupan. Umat Islam tidak seharusnya terus melenting
apabila nama Allah digunakan oleh orang kafir, namun harus dilihat
terlebih dahulu konteks penggunaannya. Bahkan dalam beberapa keadaan,
penggunaan kalimah Allah oleh orang-orang kafir mendedahkan dan
membuktikan lagi kesesatan kepercayaan agama mereka.



(ii) Penggunaan Yang Salah –



Sememangnya terjadi di zaman Rasulullah di mana nama Allah telah
digunakan di dalam konteks yang salah oleh orang-orang kafir. Dan hal
yang sama boleh berlaku pada bila-bila zaman/masa sekalipun. Firman
Allah,



“Wahai ahli kitab, janganlah kamu melampau dalam agamamu, dan
janganlah kamu mengatakan terhadap Allah kecuali yang benar.
Sesungguhnya Al-Masih, Isa anak Maryam itu adalah utusan Allah dan
(yang diciptakan dengan kalimatNya) yang disampaikan kepada Maryam, dan
(dengan tiupan) roh (dariNya). Maka berimanlah kepada Allah dan
RasulNya, dan janganlah mengatakan (Tuhan itu) tiga (‘trinity’)...” [TMQ 
an-Nisa(4):171].



Dalam ayat lain Allah menyebut, “Sesungguhnya telah kafirlah orang-orang yang 
berkata, ‘sesungguhnya Allah adalah al-Masih putera Maryam...” [TMQ Al Maidah 
(5):72].



Dalam ayat berikutnya (ayat 73) Allah menyebut,



“Sesungguhnya telah kafirlah orang-orang yang berkata, ‘Bahawasanya
Allah adalah salah satu dari yang tiga (trinity)’. Padahal tiada Tuhan
(yang berhak disembah) melainkan Tuhan Yang Maha Esa. Jika mereka tidak
berhenti dari apa yang mereka katakan itu, pasti orang-orang yang kafir
di antara mereka akan ditimpa seksaan yang pedih”



Allah melarang sama sekali malah mencela mereka yang menggunakan
namaNya dalam konteks yang salah yakni dengan menjadikanNya sebagai
salah satu dari tuhan-tuhan. Walhal demi sesungguhnya Allah adalah
satu-satunya Tuhan. Secara khusus di dalam ayat di atas, Allah mencela
golongan Kristian yang menyebut atau menjadikan Allah sebagai salah
satu dari tiga tuhan (trinity). Dan Allah sendiri akan mengazab mereka
yang telah menyekutukan atau mengkufuriNya. Di dalam ayat lain, Allah
turut melaknat orang-orang Yahudi yang menggunakan nama Allah dalam
konteks yang salah,



“Orang-orang Yahudi berkata, “Tangan Allah terbelenggu” sebenarnya
tangan merekalah yang dibelenggu dan merekalah yang dilaknat disebabkan
apa yang telah mereka katakan itu” [TMQ Al Maidah (5):64].



Oleh yang demikian, jika ada orang-orang kafir yang menggunakan nama
Allah, maka hal ini hendaklah diperhatikan terlebih dahulu konteks
penggunaannya. Jika mereka menggunakan nama Allah untuk merujuk Allah
sebagai Tuhan kepada semua manusia, alam dan kehidupan, maka benarlah
adanya. Tetapi jika mereka menggunakan nama Allah untuk merujuk Allah
sebagai bapa Al-Masih Isa anak Maryam, sebagai merujuk kepada berhala
mereka atau menyekutukanNya, atau meletakkan Allah dengan sifat yang
salah (seperti surah 5:64 di atas), maka kesemua ini adalah salah dan
batil. Ukuran benar atau salah, atau boleh atau tidak bagi orang-orang
kafir menggunakan kalimah Allah, semuanya hendaklah beristidlal kepada
Al-Quran atau Sunnah, sebagai satu-satunya nas. Kita sama sekali tidak
boleh menjadikan Perlembagaan Persekutuan sebagai dalil ‘boleh atau
tidak’ orang-orang kafir menggunakan nama Allah. Bagi mahkamah kufur,
sudah semestinyalah mereka akan berpegang kepada Perlembagaan kufur,
tetapi bagi kita, Perlembagaan itu langsung tidak ada nilainya di dalam
mengukur sesuatu hukum atau perbuatan. Kebenaran itu ada pada Al-Quran,
bukannya pada Perlembagaan. Al-Quran dan Sunnahlah yang wajib menjadi
nas, bukannya undang-undang ciptaan manusia! Justeru, apa sahaja
keputusan mahkamah, baik berpihak kepada gereja atau kepada KDN,
kesemuanya bukanlah ukuran kebenaran!



Nama Allah Diperjuang, Kenapa HukumNya Dibuang?



Setakat kajian yang telah dilakukan, dari dulu hingga sekarang pihak
Kristian tidak pernah menggunakan perkataan ‘Allah’ sebagai Tuhan, baik
di dalam kitab mahupun penulisan rasmi mereka, tetapi mereka
menggunakan perkataan ‘God’. Lantas apakah agenda mereka kali ini
sebenarnya? Tidak mustahil bahawa ini merupakan usaha terbaru mereka
untuk mendakwahkan agama Kristian di kalangan orang Islam. ‘God’
diterjemah kepada ‘Allah’ supaya mudah difahami oleh anak-anak muda
yang pastinya akan menolak sekiranya Nabi Isa dikatakan sebagai Tuhan.
Hakikatnya, apa yang perlu disedari dan dilawan adalah keseluruhan
dakyah Kristian itu sendiri, bukannya terperangkap dengan isu istilah
yang mereka gunakan. Kita perlu bertanya kepada pihak yang
bertanggungjawab apakah langkah yang mereka laksanakan untuk
memantapkan dan menjaga akidah umat Islam? Apakah jalan yang mereka
tempuh apabila mereka melihat para pendakwah Kristian gencar menarik
anak-anak muda ke agama Kristian? Apa pula tindakan pemerintah ke atas
kes-kes murtad yang semakin bertambah?



Kita memang yakin bahawa golongan Kristian dan Yahudi tidak akan
henti-henti cuba menyesatkan umat Islam. Allah telah pun mengingatkan
kita tentang perangai dua golongan kuffar ini. Ratusan tahun lamanya
mereka berjuang melalui serangan missionaris dan juga orientalis untuk
menjatuhkan Islam dari dalam. Setelah ratusan tahun berusaha, mereka
akhirnya berjaya melemahkan dan menghancurkan bukan sahaja umat Islam,
malah Daulah Islam sekaligus. Khilafah berjaya mereka runtuhkan. Sejak
itu hingga kini, usaha mereka masih tetap berterusan. Namun perlu
diingat bahawa usaha jahat mereka sering mencapai kejayaan kerana
lemahnya akidah umat Islam itu sendiri dan yang lebih utama, adanya
‘kerjasama’ dan ‘bantuan’ dari pihak pemerintah kaum Muslimin.
Sekiranya akidah umat Islam itu lemah, tetapi jika sistem yang berjalan
adalah sistem Islam, maka sistem ini akan dengan sendirinya menjaga
akidah umat melalui penerapan hukum Islam yang syumul. Tetapi, dengan
penerapan sistem sekular yang memisahkan agama dari kehidupan, maka
para pemerintahlah yang telah mempermudahkan laluan puak kuffar ini
untuk menyebarkan dakyah sesat mereka ke atas umat Islam. Apa tidaknya,
pemerintah telah ‘menyediakan’ satu sistem demokrasi kufur yang diambil
dari Barat, mereka juga menyediakan mahkamah kufur dengan undang-undang
kufur, malah kadang-kadang hakim kafir atau jika hakim itu beragama
Islam sekalipun, ‘kepala’nya dipenuhi dengan pemikiran dan hukum kufur.
Semua ini telah mempermudahkan apa sahaja agenda jahat golongan kuffar
ke atas umat Islam.



Khatimah



Wahai kaum Muslimin! Jika kalian merasakan bahawa puak kuffar ingin
memperdaya kalian, sedarlah bahawa itulah juga yang sedang dilakukan
oleh pemerintah sekular yang ada sekarang. Mereka telah lama memperdaya
kalian dan mereka akan terus memperdaya kalian. Bila timbul isu
sebegini contohnya, para pemerintah cuba berlagak sebagai penyelamat.
Dengan memperjuangkan nama Allah, mereka menunjukkan seolah-olah
merekalah golongan yang memperjuangkan Islam. Begitu juga segelintir
umat Islam, sama ada mereka adalah talibarut pemerintah atau mereka
yang ikhlas namun terkeliru di dalam perjuangan, terus bangkit dan
menyuarakan kemarahan terhadap penggunaan nama Allah. Sungguh malang
apabila hal ini terjadi di mana ‘nama’ Allah mereka perjuangkan, namun
‘hukum’ Allah mereka bakul sampahkan. Sesungguhnya sesuatu yang jauh
lebih berbahaya yang sedang kita hadapi sekarang adalah penerapan hukum
kufur oleh pemerintah ke atas kita semua. Mereka kononnya menjaga nama
Allah habis-habisan, tetapi hakikatnya mereka telah membuang hukum
Allah habis-habisan. Inilah yang sepatutnya menjadi bantahan umat
Islam. Adanya keputusan mahkamah kufur adalah kerana adanya kerajaan
yang mewujudkannya. Justeru, bukan sekadar penyesatan melalui
penggunaan nama Allah yang boleh puak kuffar lakukan, namun yang jauh
lebih serius dari itu, umat Islam telah terlalu lama berada di bawah
kesesatan undang-undang dan sistem kufur yang diterapkan oleh
pemerintah yang beragama Islam. Sesungguhnya amat jeleklah bagi mereka
yang bersungguh-sungguh menunjukkan kehebatan di dalam melaungkan
pembelaan terhadap penggunaan nama Allah tetapi mereka sendiri
mengotori tangan-tangan mereka dengan mencampakkan hukum Allah dan
menerapkan sistem kufur buatan tangan mereka sendiri. Bagai ayam si
tombong, kokok berderai-derai, ekor bergelimang najis.



 






























      

Kirim email ke