Beria-ialah kita nak bantu promo secara percuma Medan Ikan Bakar Kampung Telok 
Pasir Panjang di 
http://waghih.blogspot.com/2009/10/medan-ikan-bakar-kg-telok-pasir-panjang.html 
 untuk keuntungan semua pihak, peniaga dan pelancong. Tapi pihak yang 
bertanggungjawab tidak serius dan tolak menolak.

Memalukan orang Negeri Sembilan saja. Nak tolong ke , tak nak tolong peniaga 
Melayu ni ?

************************
Bau sampah jejas selera pengunjung
Sinar Harian 22 Jan 2010

KAMPUNG TELOK – Peniaga Medan Ikan Bakar Kampung Telok Pasir Panjang yang 
terletak di bangunan blok kedai, di sini bingung memikirkan pelbagai aduan 
pelanggan yang tidak selesa berkunjung ke situ.

Kebanyakan peniaga mendakwa menerima banyak aduan daripada pelanggan bahawa 
keseronokan mereka menikmati hidangan terganggu disebabkan bau busuk daripada 
sampah yang dibuang di tepi jalan berhampiran.

Noriah Osman, 48, berkata masalah bau busuk sampah sudah berlarutan terlalu 
lama dan perkara ini juga mendapat liputan beberapa media namun ia tetap tidak 
dapat menarik perhatian pihak bertanggungjawab untuk menyelesaikannya.

Menurutnya, permasalahan ini timbul disebabkan ada pihak membuang sampah di 
seberang jalan kedai makan terbabit.

“Apabila sampah lambat dikutip, ia akan mengeluarkan bau dan mengganggu 
keselesaan pelanggan ditambah apabila ada anjing dan monyet yang menyelongkar 
sisa makanan tersebut sehingga mengundang lalat serta mengeluarkan bau busuk.

“Kawasan ini memang banyak monyet dan anjing kerana ia bersebelahan dengan 
Hutan Lipur Pasir Panjang,” katanya yang berniaga di situ sejak 12 tahun lalu.

Terpaksa buang sampah di pekan

Menurutnya, oleh kerana kawasan medan ikan bakar ini tidak mempunyai tempat 
pembuangan sampah yang khusus, ada individu tidak melonggokkan sampah mereka di 
kawasan seberang jalan kedai makan ini.

Noriah berkata, sepatutnya apabila melonggokkan sampah di situ, individu 
tersebut haruslah bertanggungjawab untuk menjaga kebersihannya namun tong yang 
sudah terbalik pun mereka biarkan begitu sahaja dan sesuka hati membuang sampah 
di luar tong pula.

“Sedangkan saya sendiri mengambil inisiatif untuk membuang sampah di tempat 
pembuangan sampah yang disediakan berdekatan dengan Kem Program Latihan Khidmat 
Negara, di sini.

“Apabila selesai berniaga pada sebelah malam, saya akan membuang sampah di situ 
semasa dalam perjalanan pulang ke rumah,” katanya lagi.

Pendapat Noriah disokong seorang lagi peniaga, Soleha Ajol, 55, yang mengakui 
terpaksa membuang sampah di tong sampah besar yang disediakan Majlis 
Perbandaran Port Dickson (MPPD) di kawasan Pekan Pasir Panjang.

“Saya terpaksa berbuat demikian memandangkan di sini tiada tempat pembuangan 
sampah yang khas dan ia juga bagi mengelakkan bau busuk dan ketidakselesaan 
kepada pelanggan malah kami juga.

“Memandangkan di sini kawasan di tepi laut, angin sentiasa kuat dan bau busuk 
sampah memang sentiasa ada,” katanya.

Menurutnya, tempat ini ada rumah sampah tetapi ia berkunci dan tidak dapat 
dimanfaatkan oleh peniaga di sini.

Selesai segera masalah

Sementara itu, seorang lagi peniaga, Khairul Nizam Mohamad, 34, mendakwa rumah 
sampah yang terdapat di kawasan ini tidak pernah dibuka oleh pihak 
bertanggungjawab untuk kegunaan peniaga di sini.

“Rumah sampah yang sepatutnya dibuka untuk kegunaan peniaga dikunci dan tidak 
pernah dibuka sejak ia siap dibina. Sekurang-kurangnya jika rumah sampah ini 
boleh digunakan, peniaga di sini akan membuang sampah di situ,” katanya.

Khairul Nizam berkata, jika menggunakan rumah sampah, sampah dalam keadaan 
tertutup sekali gus mengurangkan bau busuk serta selamat daripada diselongkar 
oleh anjing dan monyet.

“Masalah bau busuk sampah dan lalat juga dapat dikurangkan dan ini akan 
memberikan keselesaan kepada pelanggan.

“Tempat makan ini sering dikunjungi oleh pelancong dari luar dan kebiasaannya 
menjadi tumpuan pada hujung minggu,” katanya.

Malah, katanya, medan selera di sini juga dikenali sebagai salah satu produk 
pelancongan yang ada di Port Dickson namun jika masalah bau sampah berkenaan 
berterusan, dikhuatiri ia akan membawa imej buruk Port Dickson selain 
menjejaskan pendapatan peniaga.

Menurutnya, lebih malang lagi kerana jadual pemungutan sampah di kawasan ini 
juga tidak teratur dan mendakwa pernah satu ketika hampir tiga minggu sampah 
tidak dikutip dan pastinya ia memberikan satu bebanan kepada peniaga di sini.

“Adalah diharapkan pihak berkuasa segera membantu peniaga di sini menyelesaikan 
permasalahan sampah yang sudah lama dihadapi ini.

“Walaupun medan makan kami terletak agak pedalaman tetapi ia merupakan antara 
destinasi tempat makan yang sering menjadi perhatian pelancong kerana keenakan 
ikan bakarnya,” katanya lagi.

MPPD jawab rungutan

Sementara itu, Yang Dipertua MPPD, Abd Wahab Samsudin ketika ditemui Sinar 
Harian berkata, ketika ini, medan ikan bakar itu masih dalam peringkat akhir 
untuk diserahkan pengurusannya daripada Pejabat Daerah ke MPPD.

“Dalam masa terdekat ini tempat berkenaan akan diambil alih oleh MPPD. Selepas 
itu, MPPD akan mengkaji semula konsep tempat berkenaan dan juga akan dilakukan 
penambahbaikan jika perlu untuk beberapa kemudahan agar keselesaan peniaga dan 
pengunjung terjamin,” katanya kepada Sinar Harian.

http://www.sinarharian.com.my/mns/content/story6411418.asp




Kirim email ke