*Tidak cukup dengan berarak, angkat sepanduk dan
berselawat*<http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=24966:tidak-cukup-dengan-berarak-angkat-sepanduk-dan-berselawat&catid=41:utama-muka-depan&Itemid=125>




 *KUALA TERENGGANU, 16 Feb:* “Tidak cukup dengan sambut maulud setahun
sekali, berarak, angkat sepanduk, berselawat, dalam masa yang sama kita
tengok di hadapan mata kita, hukum-hukum Islam, perintah Allah Taala tidak
diamalkan,” kata Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Sehubungan itu, beliau mengajak umat Islam supaya memahami bahawa
dibangkitkan Rasulullah s.a.w. untuk mengajar manusia supaya beramal dengan
Islam.

“Marilah kita sedar dan faham perkara besar dengan bangkitnya Rasulullah
s.a.w. mengajar manusia supaya beramal dengan Islam,” ujarnya ketika
menyampaikan ceramah di pekarangan Surau Istiqamah, Padang Nenas, malam
tadi.

Turut berucap pada majlis ceramah yang diadakan bersempena Nadwah Ulama PAS
Terengganu itu ialah Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali dan Ahli
Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Abu Bakar Chik.

Katanya, berita kedatangan Rasulullah s.a.w. dibawa oleh Allah Taala melalui
semua nabi dan rasul.

Jelasnya, Allah memerintahkan nabi-nabi dan rasul-rasul mengarahkan umat
masing-masing supaya beriman, menolong dan berjuang bersama-sama dengan
Rasulullah sekiranya sempat dengan baginda s.a.w. untuk memenangkan Islam.

“Menolong untuk memenangkan Islam, menang untuk apa, menang untuk
memerintah, mendirikan kerajaan,” ujarnya yang menafsirkan ayat 81, surah
Aali Imran berhubung perintah Allah tersebut.

Jelasnya, setelah dibangkitkan Nabi Muhammad s.a.w. menjadi rasul, maka
Rasulullah mengajak kaum keluarganya dan mereka yang ditemui supaya
mengucapkan dua kalimah syahadah di samping mengajak mereka mendirikan
kerajaan yang beramal dengan hukum-hukum Allah sebagaimana yang diturunkan
di dalam al-Quran.

Tambahnya, Nabi s.a.w. juga mengumpulkan para sahabat, orang-orang beriman
selain mengajak ahli-ahli kitab Yahudi dan Kristian dan mengutuskan surat
kepada raja-raja dalam dunia supaya menganut Islam dan menerima Islam
sebagai agama yang memerintah dan berdaulat.

Justeru itu, tegasnya perjuangan itu tidak berhenti walaupun Rasulullah
s.a.w. sudah wafat.

Maka, katanya, adalah tidak cukup dengan sekadar sambutan Maulidur Rasul
setahun sekali dengan berarak, mengangkat sepanduk dan berselawat tetapi
dalam masa yang sama tidak melaksanakan perintah Allah Taala.

Tambahnya, akibat tidak melaksanakan  hukum-hukum Islam menyebabkan keadaan
menjadi huru-hara dengan peningkatan jenayah seperti rompakan, kecurian,
pembunuhan dan sebagainya.

 Di samping itu, ujarnya, bencana semakin banyak berlaku kerana manusia
meninggalkan perintah Allah supaya beramal dengan hukum-Nya dalam semua
perkara.

“Marilah kita sedar dan faham perkara besar dengan bangkitnya Rasulullah
s.a.w. mengajar manusia supaya beramal dengan Islam,” ujarnya.

Tambahnya lagi, para sahabat dibunuh dan dihalau dari kamung halaman kerana
berjuang bersama-sama Rasulullah s.a.w untuk mendirikan kerajaan dan
memerintah dengan syariat Allah.

Kirim email ke