Masalah bumbung flat guru bocor

TENOM: Persatuan Ibu Bapa Dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) 
Kemabong merayu agar Kementerian Pelajaran mengatasi masalah kebocoran bumbung 
flat guru sekolah itu.

Yang Dipertua PIBG SMK Kemabong Sukimin Rukini berkata, kebocoran bumbung flat 
guru itu menyebabkan tingkat 4, tiga blok bangunan itu terpaksa dikosongkan 
lebih tiga tahun yang lalu.

Berikutan keadaan itu katanya, ramai guru terpaksa menyewa rumah kerana 12 unit 
(lot) di tingkat 4, tiga blok bangunan itu tidak boleh dihuni kerana basah 
apabila hujan.

“Kerana simpati dengan masalah yang dihadapi oleh sebahagian guru di sekolah 
ini, PIBG merayu Kementerian Pelajaran agar menangani masalah ini dan memberi 
keutamaan kerana ia amat mendesak,” kata Sukimin.

Menurut Sukimin masalah itu telah dikemukakan oleh pihak sekolah kepada Jabatan 
Pelajaran dan Kementerian Pelajaran tetapi tidak diambil perhatian menyebabkan 
keadaan bangunan itu semakin usang.

“Kita tidak menuding jari kepada sesiapa berhubung masalah yang sudah 
berlarutan ini tetapi apa yang penting Kementerian Pelajaran perlu melihatnya 
dan bertindak segera mengatasinya,” jelas Sukimin.

Sukimin yang juga Pemimpin Kemajuan Rakyat (PKR) Kemabong berkata, masalah itu 
perlu diatasi segera untuk keselesaan guru-guru.

Selain masalah kebocoran bumbung di tiga blok flat guru itu, bekalan elektrik 
melalui kabel bawah tanah di sebuah blok flat guru itu terputus.

Masalah itu juga sudah sekian lama dikemukakan kepada pihak yang berkenaan 
tetapi ia tidak ditangani dengan lebih serius.

Bagi mengatasi masalah itu kata Sukimin, guru-guru yang menghuni flat itu 
terpaksa membuat sambungan tenaga elektrik di bangunan sekolah yang sepatutnya 
tidak dibenarkan.

“Memang cara penyambungan itu menyalahi perundangan tetapi “apa boleh buat” 
itulah satu-satunya cara mengatasi masalah bekalan elektrik penghuni satu blok 
flat guru itu. Jika tidak bangunan itu terpaksa dikosongkan” kata Sukimin.

New Sabah Times yang membuat tinjuan di tingkat 4, flat guru itu mendapati 
siling bangunan rosak teruk selain lantainya dicemari dengan najis burung 
layang-layang dan pipit pekan yang menjadi penghuni bangunan yang dikosongkan 
itu.

Selain itu, keseluruhan tiga blok flat guru dan bangunan lain kelihatan sudah 
usang dan perlu penyelenggaraan dengan kadar segera.

Amat menyedihkan lagi, tangki air dan batang paip di seluruh bangunan itu sudah 
bertegar dan perlu diganti kerana ia dikhuatiri menjejaskan kesihatan 
penghuninya.

Guru-guru yang ditemui enggan memberi komen walaupun tidak selesa dengan 
keadaan itu.

Sumber : 
http://paingagaudemokrasimalaysia.blogspot.com/2010/02/masalah-bumbung-flat-guru-bocor.html




Kirim email ke