Sesiapa yang mampu nak buat kenduri kahwin secara besar-besaran buatlah. Kalau 
banyak simpanan , apa salahnya.

Tapi kalau tak ada duit , buatlah sekadar yang mampu.

Yang wajib akad nikah, kenduri kendara ni tak wajib. Nak buat kenduri boleh, 
tak buat pun boleh. Islam kan mudah, adat Melayu je yang kadang-kadang disalah 
tafsir jadi susah.

Salah satu sebab remaja kita susah fikir hal kahwin ialah ingat yang akad nikah 
sunat, kenduri kahwin wajib, pelamin wajib, hantaran wajib, renjis air mawar 
wajib, bersanding wajib.

Tak perlulah nak buat pinjaman untuk uruskan kenduri kahwin. Alangkah baiknya 
selepas perkahwinan tak pening kepala fikir duit kenduri, duit hantaran, duit 
pelamin dan sebagainya.

Alangkah eloknya selepas kahwin sahaja pasangan pengantin dah ada rumah sendiri.

Lagi elok dalam keadaan ekonomi yang gawat sekarang ini, buat majlis kenduri 
kahwin beramai-ramai, macam di Johor ada pihak yang membantu mengendalikan 
program sebegini pada kos RM 500 sahaja untuk satu pasangan pengantin.

Siapa yang mampu buat, siapa yang tak mampu, akad nikah dah cukup. Ini dapat 
mengelakkan salah satu sebab kes gejala buang bayi berleluasa.

********************

Malu tamu tak makan
Harian Metro 24 Feb 2010

MELAKA: Sebuah keluarga dari Klebang Besar, dekat sini, membuat laporan polis 
kerana terkilan dan malu tindakan pengusaha katering didakwa gagal menyediakan 
makanan mencukupi untuk majlis perkahwinan anak lelaki mereka Sabtu lalu.

KECEWA...Kasim (kanan) bersama isteri, Asnah menunjukkan laporan polis, 
semalam. Kasim Daud, 62, dan isterinya, Asnah Husin, 59, membuat laporan di 
Balai Polis Melaka Tengah, petang semalam berhubung perkara itu sambil ditemani 
keluarga.

Menurutnya, beliau sekeluarga sudah lama merancang dan berbincang dengan 
katering berkenaan untuk majlis perkahwinan anak kelima, yang juga pegawai 
Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Rozaidi, 27, dengan pasangan, Siti 
Fatimah Roslan, 25, iaitu sejak dua bulan lalu.

Beliau berkata, pada 25 September 2009, beliau dan isteri berbincang dengan 
pengusaha terbabit di Jalan Pokok Mangga, dekat sini, untuk tempahan 
menyediakan makanan majlis perkahwinan di rumah mereka di 847-1, batu 3 3/4 
Kampung Tengah, Klebang Besar, dekat sini, 20 Februari lalu.

“Kami mahu pengusaha katering menyediakan makanan bagi tetamu 2,000 orang 
dengan bayaran RM14,700. Saya membayar deposit RM3,000 pada 3 Oktober 2009 dan 
bakinya RM10,000 saya bayar sebelum hari perkahwinan pada 15 Januari lalu.

“Kami bersetuju baki RM1,700 akan dibayar apabila majlis perkahwinan selesai,” 
katanya ketika ditemui di perkarangan Balai Polis Melaka Tengah.

Kasim berkata, pengusaha katering bersetuju menyediakan nasi dan lauk-pauk ayam 
masak merah, daging kurma, kuah dalca dan acar timun dengan bayaran RM14,400 
termasuk sewa khemah untuk tetamu.

“Dalam perbincangan berkenaan kami turut meminta masakan tambahan, gulai lemak 
nangka, ikan keli sambal dan kerabu mangga berharga RM300.

“Pada hari perkahwinan katering menyediakan tujuh khemah, namun mereka 
menggunakan dua daripadanya dan baki lima lagi untuk tetamu. Dalam perbincangan 
dan kad jemputan dicatatkan waktu makan, bermula jam 11 pagi hingga 4.30 petang.

“Ketika kenduri, kami sekeluarga mendapati pengusaha katering hanya 
menghidangkan makanan setengah jam lewat dan lauk- pauk diletakkan dalam bekas 
makanan tidak sampai separuh sedangkan ramai tetamu hadir,” katanya.

Kasim berkata, anggota keluarga terkejut makanan disediakan tidak mencukupi 
sedangkan baru jam 1.30 tengah hari menyebabkan ramai tetamu tidak dapat makan.

“Anak lelaki saya, Rohizal yang menguruskan makanan dan tetamu bertanya kepada 
ketua katering, namun pihak terbabit mendakwa makanan disediakan sudah 
dinikmati kira-kira 2,000 tetamu, sedangkan kami menjangka hanya sekitar 1,000.

“Pengusaha katering sudah berkemas untuk pulang dan saya sekeluarga terpaksa 
menggunakan duit sendiri membeli barang untuk masak kari ayam dan ayam goreng 
untuk tetamu lain.

“Kami sekeluarga turut kecewa kelemahan pelayan tetamu pertama kali terbabit 
dalam katering diambil pengusaha terbabit,” katanya.

Beliau berkata, pada kira-kira jam 11 pagi 22 Februari lalu, pihak katering 
datang ke rumah membincangkan perkara itu.

“Anak pengusaha katering itu menghalalkan baki RM1,700 atas masalah berlaku. 
Soalnya kejadian ini membabitkan maruah keluarga sebab itu saya membuat laporan 
supaya orang lain tidak menerima nasib sama.

“Saya sedih melihat ramai tetamu datang memberi wang hadiah sedangkan mereka 
tidak dapat makan. Saya sekeluarga ingin memohon kemaafan kepada semua tetamu 
atas apa yang berlaku,” katanya.

Isterinya, Asnah sedih imej keluarganya tercalar.

“Kami kesal apa yang terjadi pada perkahwinan anak kelima kami ini. Bukan niat 
memusnahkan periuk nasi orang lain, namun perkara ini sewajarnya menjadi 
pengajaran,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Malutamutakmakan/Article/index_html




Kirim email ke