Tunai solat, rezeki jadi berkat Oleh Hamizul Abdul Hamid www.hamizul.com
Rezeki Kamariah Saad semakin bertambah sejak mengusahakan kedai makan yang diusahakan di Rawang, Selangor. ________________________________ FIRMAN Allah SWT yang bermaksud tidak akan merubah nasib sesuatu kaum itu, sehinggalah mereka sendiri bangun dan merubah apa yang ada pada diri mereka (ar-Ra'd: 11) benar-benar menjadi prinsip kepada Kamariah Saad, 48. Beliau adalah model ibu tunggal yang tidak pernah menyerahkan dirinya kepada takdir. Bahkan dirinya diasuh sedari awal, bahawa untuk hidup maka usaha harus diiring doa dan tawakal. Janji Allah itu maha benar, usaha yang gigih, pasti kejayaan yang ditagih, kelak juga diimbuh dengan kurniaan rezeki yang kadang kala tidak tertahan-tahan lagi datangnya, silih ganti bertimpa-tindih. Berasal dari Pendang, Kedah, Kamariah sudi berkongsi kisah buat iktibar mereka yang susah. Maka Jejak Asnaf kali ini cuba menerobos ruang kehidupan silam yang pastinya berbalam dan semahu mungkin cuba untuk dilupakan. "Saya kematian suami pada tahun 2002 dan pada ketika itu, saya sarat mengandung anak yang kelima," jelasnya. Suami Kamariah meninggal dunia akibat serangan jantung, tanpa harta buat bergantung melainkan anak-anak yang harus dikendong. "Sebenarnya, saya memang susah dari awal lagi. Perit sekali ustaz jika diingat-ingat. Dua puluh hari selepas arwah suami pergi, saya melahirkan anak kelima. Kala itu, saya di kampung menumpang rumah ibu. "Mengenangkan diri yang serba amat kekurangan, tiada belanja kerana tidak punya wang dan pelbagai lagi masalah lain yang terus bertandang, emosi saya benar-benar terganggu. "Anak-anak perlu diurus sedang bank sudah berkeras mahu menarik kereta. Sungguh, jika tiadalah bantuan daripada Allah, boleh jadi saya sudah gila agaknya," katanya sambil menyeka genangan air di tubir mata. Enam bulan menumpang kasih dan simpati keluarga di kampung, Kamariah kembali ke Selangor. Anak-anaknya juga tidak betah di Kedah. Semasa itu, beliau hanya mengharap ehsan adiknya di Kampung Bendahara, Batu Caves. Namun, usahanya terbatas lantaran arahan perubatan bahawa bekas pembedahan semasa bersalin menghalang dirinya bergerak cergas. "Alhamdulillah, dalam keterbatasan itulah dengan bantuan seorang teman, saya diizinkan Allah SWT membeli sebuah rumah di Taman Pelangi, Rawang. "Terima kasih juga, kerana Lembaga Zakat Selangor (LZS) turut membantu membayarkan wang pendahuluannya," tambah beliau. Menurut Kamariah, tanpa duga rezekinya tertulis di Rawang. Beliau mencuba nasib membuka meja menjual nasi lemak pada sebelah pagi. Nasi lemaknya laris, anggaran pendapatan bersihnya sebulan kira-kira RM1,000. Dapatlah beliau memenuhi keperluan lima anaknya, yang kesemuanya masih perlu biaya besar khususnya demi mendapatkan pendidikan terbaik. Kamariah mempunyai lima anak. Yang sulung, Mohd. Riduan, 19, kini belajar dalam bidang Kejuruteraan Elektrik di Politeknik Shah Alam. Kedua, Anissafinas, 17, belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Garing; ketiga Siti Nurazah, 14, belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Raja Ali dan menetap di Asrama Anak-anak Yatim Darul Kifayah, Kuala Lumpur. Anak keempat dan kelima, Nur Asyikin, 12, dan Nur Atirah, 8, masih belajar di Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Rawang, Selangor. Bercerita lanjut, menurut Kamariah, pada tahun 2008, namanya disenaraikan untuk menerima bantuan kewangan. Ketika itu, majlis dirasmikan oleh isteri Menteri Besar Selangor. Semasa berucap, beliau ada berkata bahawa salah satu amalan yang membuka pintu rezeki ialah solat dhuha. "Apabila pulang, pesanan itu terngiang-ngiang di gegendang telinga saya. Saya jadi yakin dan semenjak dari hari itu sehinggalah kini, saya tidak pernah meninggalkan solat dhuha. Seboleh mungkin, saya akan menunaikannya. "Alhamdulillah, benarlah ustaz bahawa solat dhuha memang membuka pintu rezeki. Ia terbukti apabila saya dapati, rezeki kami anak-beranak semakin melimpah-ruah," katanya. Kamariah berkata, pernah pada bulan Ramadan tahun lalu, tidak semena-mena wakil sebuah bank datang ke rumah dan menyampaikan sumbangan RM500 untuk anak-anak. "Saya juga memberanikan diri mengembangkan perniagaan. Kira-kira enam bulan sudah, saya membuka gerai makanan. Pada permulaannya memang agak perlahan sambutannya. "Namun sekarang alhamdulillah, boleh dikatakan setiap hari habis lauk-pauk yang saya masak. Orang sudah ramai tahu dan mereka suka datang ke gerai saya," katanya gembira. Kamariah kini menyewa gerai Majlis Perbandaran Selayang dengan sewa RM200 sebulan. Perniagaan makanannya semakin mendapat sambutan dan pendapatan bersihnya kian stabil apabila mampu melebihi RM2,000 sebulan. Menceritakan pengalamannya berniaga, Kamariah juga pernah ditipu oleh kawan sendiri. Hangus modal dan untungnya hampir RM10,000 apabila orang tengah yang menerima bayaran pembekalan makanan ke sebuah kilang menghilangkan diri. "Namun saya yakin ustaz, Allah SWT melindungi saya kerana saya tidak pernah tinggal solat sejak dari akil baligh. Bahkan, saya selalu mengamalkan surah-surah yang dianjurkan, misalnya al-Mulk dan al-Waqi'ah. Ditambah dengan amalan solat dhuha, maka saya dapat rasakan kesannya. "Pernah saya mengabaikan amalan berkenaan, maka keesokan harinya saya dapat perhatikan gerai saya akan kekurangan pengunjung. Lalu saya amalkan kembali, solat dhuha dan membaca al-Quran. "Alhamdulillah keesokannya rezeki saya kembali kencang. Ia menambahkan keyakinan saya, bahawa jika kita menjaga amalan, menjaga hubungan dengan Allah, tidak mengabaikan solat, maka rezeki pun jadi berkat," jelasnya. Kamariah mula menerima bantuan daripada LZS (MAIS) pada tahun 2003. Beliau diberi bantuan menyambut Ramadan dan Hari Raya juga bantuan pendidikan untuk anak-anak. Setelah berpindah ke Rawang, di samping membantu melunasi pendahuluan rumahnya, LZS (MAIS) turut memberikan beliau bantuan kewangan bulanan dan modal perniagaan. "Saya amat berterima kasih kepada LZS. Jujur saya nyatakan, tidak pernah walaupun sekali saya meminta bantuan kepada orang lain, khususnya mereka yang dekat dengan saya. Semuanya bekat adanya LZS, maka LZS-lah tempat saya mengadu, tempat saya mendapatkan bantuan khususnya kewangan," katanya. Kini, Kamariah sekeluarga sudah boleh menarik nafas lega. Rezekinya makin melimpah dan anak-anaknya tidak lagi pernah merasa susah. Kepada semua pembayar zakat, beliau mengalungkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga, justeru zakat itulah yang menyangga beliau sehingga berjaya. Kepada para ibu tunggal pula, pesanannya mudah sahaja, iaitu jagalah hubungan dengan Allah. Hubungan yang baik dengan Allah, rezeki pun menjadi mudah. "Insya-Allah, saya akan mengeluarkan zakat pendapatan saya tidak lama lagi. Iyalah, rezeki pun sudah banyak, maka sudah tibalah saatnya saya pula menunaikan amalan wajib, sebagai tanda syukur saya kepada Allah," ujar beliau. Untuk tempahan makanan, Kamariah Saad boleh dihubungi di Selera Utara, No. 20, Gerai MPS, Rawang Intergrated, 48000 Rawang, Selangor atau menghubungi beliau di talian 016-365 3806. HAMIZUL ABDUL HAMID ialah Pegawai Dakwah Pena, Lembaga Zakat Selangor (MAIS) Wassalam. AFFINBANK - "BANKING WITHOUT BARRIERS" Noorshamsudin Hj. Mohd Darus IS Audit, Group Internal Audit 1st Floor Menara AFFINBANK 80 Jalan Raja Chulan, KL Tel: 03-27315246 (Ofis) / 012-2923403 (H/P) / 03-61040412 (Home)