Berhutang demi rawatan anak
Sinar Harian 20 April 2010

SEREMBAN – Kos rawatan mencecah RM70,000 menyebabkan pelajar Sekolah Menengah 
Kebangsaan (SMK) Bukit Mewah, di sini mungkin terpaksa melupakan impian untuk 
sembuh daripada leukemia.

G Logaarvind atau nama Islamnya, Amir Omar, 15, disahkan mengidap Pre-B Acute 
Lymphoblastic Leukaemia (caLLA Positive) sejak Julai tahun lalu.

Amir yang kini menjalani rawatan kemoterapi di Pusat Perubatan Universiti 
Kebangsaan (PPUKM) terpaksa bergantung hidup dengan ubat.

Lebih memilukan, keluarganya tidak mampu menjelaskan kos rawatan berjumlah 
RM20,000.

Bagaimanapun, keluarga remaja malang itu memerlukan bantuan kewangan 
keseluruhan mencecah RM70,000 untuk membiayai proses menjalani pemindahan 
sum-sum tulang dan rawatan ‘total body irradiation’ bagi memulihkan Amir.

Bapa Amir, Omar Abdullah, 46, berkata, doktor menasihatkan supaya proses 
pemindahan sum-sum tulang dilakukan segera.

Menurutnya, dengan gajinya kira-kira RM700 sebulan, dia tidak mampu menampung 
pembayaran keseluruhan rawatan.

“Saya hanya bekerja sebagai buruh am dan isteri yang sebelum ini berniaga nasi 
lemak terpaksa berhenti bagi menjaga dan memberi sokongan kepada anak saya yang 
masih menjalani rawatan kemoterapi secara jangka panjang di PPUKM,” katanya.

Beliau berkata, dia ada menerima bantuan daripada Majlis Kanser Nasional 
(Makna) sebanyak RM250 sebulan dan Baitulmal, bagaimanapun jumlah diterima itu 
masih tidak mencukupi bagi menampung pembayaran kos proses pemindahan sum-sum 
tulang anaknya.

“Saya terpaksa berhutang dengan pihak hospital bagi memastikan rawatan terus 
dijalankan ke atas anak saya,” katanya ketika ditemui pemberita pada sidang 
media, di sini semalam.

Menurut bapa itu, anaknya mula menunjukkan tanda-tanda demam berpanjangan sejak 
Mei lalu selepas mengalami terjatuh ketika bermain bola.

“Apabila anak saya diperiksa di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) di sini, doktor 
mengesahkan dia menghidap penyakit itu.

“Selepas itu, anak saya terus dibawa ke PPUKM bagi menjalani rawatan kemoterapi 
di sana dan kini berharap ada pihak yang sudi membantu menyalurkan bantuan 
kewangan kepadanya supaya proses pemindahan sum-sum tulang dapat dilakukan 
segera,:” katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menghubungi Omar di nombor 
016-6707194 atau 019-2906532.

http://www.sinarharian.com.my/mns/content/story7592792.asp




Kirim email ke