DOSA2 DAN FACEBOOK.
OLEH: www.zaharuddin.net
 
Semenjak empat bulan terlibat dalam menyampaikan mesej kebaikan, melarang 
kemungkaran melalui facebook. Disedari terdapat beberapa cara penggunaannya 
yang patut ditegah dan boleh jatuh perbuatan tersebut kepada haram, malah 
berganda-ganda haramnya.
Perlakuan dan perbuatan melalui facebook yang boleh mengundang dosa terlalu 
banyak, namun di kesempatan ini, cukup saya senaraikan enam perkara, iaitu :-
 
1)   Mendedah keaiban suami, isteri di facebook.
Terdapat beberapa kes yang dilihat sama ada secara langsung atau tidak 
langsung, pemilik facebook meluahkan perasaan sedih, kecewa, benci, marah 
terhadap pasangan di ruang status mereka. Mendesak suami atau isteri juga 
melalui status facebook. Kemudian, status tersebut mendapat komentar pelbagai 
dari rakan-rakan mereka.  Sebagai contoh, ada yang secara terbuka mendesak 
suami membeli rumah, kereta, pinggan mangkuk, perabot, pakaian dan sebegainya 
melalui status mereka. Tertekanlah suami  serba salah.
 
Sebagaimana yang disebut oleh ramai specialist di dalam bidang rumah tangga, 
kebanyakan wanita suka berkongsi dan meluahkan perasaan mereka kepada orang 
lain sebagai pelepas kepada beban yang ditanggung. Adakalanya ia mungkin bukan 
bertujuan untuk menjatuhkan suaminya, bukan pula untuk tujuan membuka aib suami 
atau untuk mencari penyelesaian. Pendedahan itu hanya sebagai pelepas tekanan 
di dalam diri.
 
Namun, tanpa disedari perbuatan tersebut tergolong dalam mengumpat yang 
diharamkan oleh Islam. Semua perlu memahami bahawa mereka tidak boleh 
sewenangnya bercerita perihal rumahtangga atau pasangan mereka secara terbuka 
sama ada melalui facebook atau kepada rakan di pejabat dan sebagainya. Sebarang 
masalah yang sudah tidak dapat diselesaikan olehnya, hanya dibenarkan untuk 
diluahkan kepada seseorang yang diyakini punyai autoriti seperti ibubapa, 
mertua dan adik beradik yang diyakini boleh berperanan membantu, bukan 
berpotensi mengeruhkan lagi keadaan. Boleh juga dikongsikan secara tertutup 
kepada pihak ketiga seperti Qadhi, Mufti, para ilmuan sama ada Ustaz, Ustazah 
atau Kaunselor Rumahtangga.
 
Pendedahan masalah dan info yang boleh mengaibkan suami (dan isteri) TIDAK 
DIBENARKAN sama sekali disebarkan melalui facebook. Apabila ia dilakukan, ia 
dengan mudah sekali boleh mengundang dosa.
Terdapat sebahagiannya info tidak secara langsung mengaibkan pasangan, tetapi 
selaku pembaca, kita dapat ‘membaca' dan mengetahui secara tersirat bahawa si 
pemilik sedang ‘perang dingin' dengan pasangannya. Ada juga yang difahami, 
suaminya sedang gagal memenuhi apa yang diingininya, bersifat kurang baik 
kepadanya dan sebagainya. Ingatlah semua, rumahtangga adalah amanah, jangan 
meruntuhkannya melalui facebook.
Beramanahlah, berikan suami dan isteri anda password facebook anda, agar mereka 
sentiasa boleh meneliti mesej-mesej yang dihantar kepada anda. Boleh juga 
pasangan berperanan selaku penyemak dan memadam (delete) mana yang perlu  jika 
dimasukkan secara emosi tanpa pertimbangan aqal yang wajar.
 
2)  Terlebih gambar
Ramai di kalangan wanita hari ini sudah mempunyai facebook, mungkin sudah 
menjadi lumrah wanita yang biasanya inginkan kecantikan dan pujian terhadap 
kecantikannya. Oleh itu, semakin ramai wanita yang memuatkan gambar mereka, 
sama ada jarak dekat, sangat dekat ( sehingga memenuhi  kotak gambar) dan jauh 
(beramai-ramai atau seorang diri).  Ditambah pula lagi dengan gaya, aksi dan 
fesyen yang pelbagai.
 
Agak pelik juga kerana sebahagian mereka sudah bersuami dan kelihatan suami 
mereka memberikan sepenuh keredhaan atas tayangan gambar sedemikian kepada 
khalayak, tanpa sebarang rasa cemburu dan prihatin. Lebih merbahayakan, ramai 
pula lelaki yang menontonnya, sebahagiannya memberikan pujian, malah ada yang 
berani bergurau senda, dan membuat ‘lamaran' nafsu.
 
Lebih pelik, tuan punya facebook yang sepatutnya mampu mengawal dan memadam 
sebarang komen kurang etika, kelihatan membiarkan sahaja lamaran nafsu (seperti 
ajakan berdating, kahwin-padahal telah bersuami) tersebut di ruangan komentar 
gambarnya, tanpa rasa bersalah.
 
Berterusan bercanda mereka melalui ruang komentar,  si lelaki dan wanita ada 
juga yang telah beristeri dan bersuami, cuma atas tiket kawan lama, sepejabat 
dan sebagainya, hal tersebut dibiarkan. Malah jika kedua-duanya masih bujang 
sekalipun, ia tetap BERDOSA dan SALAH di sisi Islam kerana ia termasuk dalam 
kategori larangan Allah ‘janganlah kamu menghampiri zina'.
 
Saya bimbang, ramai pula lelaki yang menjadi dayus dek kerana gambar isteri 
terdedah aurat ( atau menutup aurat kurang sempurna) ditayang  sehabisnya di 
facebook. Baca perihal ciri lelaki dayus di sini . (www.zaharuddin.net)
 
3)  Penyamaran
Lelaki menyamar sebagai wanita untuk menjadi friend dan seterusnya mendapat 
maklumat wanita. Ada dilaporkan juga, sebahagian lelaki berang kerana tidak 
diluluskan menjadi ‘friend' seseorang wanita. Akibatnya, si lelaki tidak 
mendapat kemudahan akses kepada gambar-gambar wanita tersebut. Bagi 
membolehkannya mendapat akses, terdapat lelaki yang mula menyamar menjadi 
wanita, meletakkan gambar mana-mana wanita yang boleh dijumpai secara mudah 
tertebaran di interent, diletakkan sebagai dirinya. Melalui cara itu, lelaki 
ini berjaya menjadi friend dan menonton seluruh gambar wanita terbabit dan 
berbuat apa yang disukainya dengan gambar itu.
 
Si wanita yang pada asalnya merasa selamat kerana merasakan dirinya telah 
menapis sebaiknya, rupanya masih terdedah gambarnya kepada yang orang yang 
tidak sepatutnya. Kerana itu, walau anda hanya membenarkan friend untuk 
menatapi gambar anda, pastikan semua gambar tersebut masih terhad dan terjaga.
 






4)  Download gambar untuk simpanan dan tatapan.
Dimaklumkan juga, akibat dek kerana gambar wanita yang terlalu ‘bersepah' 
difacebook, terdapat lelaki berhati buas yang memuat turun gambar tersebut dan 
disimpan sebagai koleksi peribadinya. Justeru, sedarlah, mana-mana wanita yang 
dikurniakan Allah punyai ‘rupa' yang menurut pandangan ramai sebagai elok dan 
menawan. Golongan sebegini amat perlu sekali lebih berwaspada lebih daripada 
mereka yang lain.
 
Malangnya, golongan sebegini kelihatan lebih ghairah menjaja gambar mereka 
untuk mendapat lebih banyak pujian dan ...'DOSA'. Simpan sahajalah 
gambar-gambar 'kiut' (cute) anda, cukuplah ia buat tatapan suami. Cukuplah 
pujian rakan sekeliling yang benar-benar mengenali anda. Tidak perlulah 
tamakkan pujian manusia luar. 
 
Tunggu sahajalah pujian para malaikat dan bidadari di Syurga nanti, terlampau 
tidak sabarkah wahai diri? Sedarilah, ke'kiut'an anda mungkin menjadikan sebuah 
rumahtangga hancur, kecemburuan wanita lain, kerana boleh wujud gejala suami 
yang membanding-bandingkan wajah dan tubuh anda dengan isterinya. Jika itu 
berlaku, pemilik gambar mendapat saham dosa.
 
5)  Tagging gambar tanpa izin dan gambar silam yang membuka aurat.
Tagging atau menandakan sesuatu gambar yang disiar merupakan satu fungsi mudah 
untuk menyebarluaskan gambar seseorang termasuk diri sendiri kepada kenalan dan 
rakan. Malangnya fungsi ini menjadi sumber dosa yang banyak juga dewasa ini. 
Isu ini juga pernah ditulis oleh beberapa penulis lain seperti Ust Abu Umair 
dan Sdr Shahmuzir. Saya ingin menegaskan lagi tulisan mereka.
 
Ini adalah kerana, terdapat ‘trend' menyebarkan gambar-gambar lama, dan 
kemudian meletakkan tagging kepada individu di dalam gambar. Perlu disedari, 
setiap gambar yang di'tag', akan muncul dan boleh dilihat oleh semua friend, 
dan rakan kepada friend tersebut juga boleh menontonnya. 
 
Ini boleh menjadi dosa, kerana :-
 
a-      Sebahagian individu di dalam gambar terbabit mungkin dahulu tidak 
menutup aurat, tetapi kini telah menutup aurat. Justeru penyebaran gambarnya 
yang tidak menutup aurat adalah haram.
b-      Individu terbabit berada di dalam rumah, bersama keluarga, justeru 
penutupan auratnya tidak begitu sempurna kerana di dalam rumah sendiri atau di 
dalam keadaan ‘candid', tetapi akibat ketidakperihatinan sebahagian ahli 
keluarga terhadap hal aurat. Gambarnya yang sedemikian tersebar. Sepatutnya, 
kita yang di'tanda' boleh dengan segera delete 'tag' itu, hasilnya walau gambar 
masih tersiar tetapi ia tidak mempunyai sebarang pengenalan. Itu paling kurang 
boleh dilakukan oleh individu yang prihatin dan berawas-awas. Namun malangnya, 
sebahagian pemilik facebook tidak sedar mereka boleh ‘untagged' nama mereka. 
Malah kalau mereka boleh untagged sekalipun, penyebaran gambar sedemikian tetap 
salah dan berDOSA di dalam Islam.
c-      Gambar mengaibkan orang lain. Gambar yang disiarkan itu, walaupun 
menutup aurat, tetapi dalam situasi mengaibkan. Mungkin ia tidak mengaibkan 
individu yang menyiarkannya kerana dia dalam keadaan baik dan bagus. Namun 
rakannya berada dalam situasi mengaibkan, tambahan pula dia kini merupakan 
‘seseorang' yang terhormat, punyai kedudukan baik di mata masyarakat,. Apabila 
gambar sedemikian disiarkan, ia mencemar nama baiknya. Penyiaran sebegitu sama 
seperti mengutuknya secara langsung di khalayak ramai, sama ada sengaja atau 
tidak, semua perlu sedar..anda mungkin bebas menyiarkan gambar anda, namun 
gambar orang lain. Keizinan perlu diperolehi terlebih dahulu sebelum siaran 
dibuat.
 
6. Mengutuk diri sendiri & kebaikan
 
    Adakalanya terdapat juga wanita-wanita berpenampilan cukup solehah, 
berpakaian extra caution dalam bab aurat sewaktu zaman universiti atau 
sekolahnya. Namun sesudah masuk ke alam pekerjaan dan perkahwinan, imejnya 
berubah begitu drastik dengan make up cukup jelas menghiasi wajah, baju 
bekerlipan warnanya, yang tebal dahulu sudah jadi nipis, adakalanya tidak 
sempurna dan macam-macam lagi. Alasannya? Seribu satu macam. Suami pula mungkin 
bukan dari jenis yang cermat untuk menegur dan menasihat.
    
Yang menyedihkan, apabila tersiar gambar lamanya yang berpakaian extra caution 
lagi sopan di facebook, disiarkan oleh rakan-rkana lama. Tuan punya tubuh, 
kelihatan tanpa malu dan segan mengutuk dirinya sendiri sama ada secara 
langsung atau tidak langsung.  Lahirlah kata-kata, ‘zaman aku ekstrem', ‘zaman 
solehah', ‘waktu innocent', zaman-zaman suci', 'itu zaman kuno dulu', 'itu masa 
duduk bawah tempurung' dan lain-lain frasa yang sepertinya.
 
Tanpa disedarinya, ia mendedahkan keaiban dirinya sendiri, apabila berkata 
zaman solehah, bermakna kini adakah dia mengaku tidak lagi solehah?, kini tidak 
suci?. dan lain-lain. Ia juga sekaligus seolah mengutuk pemakaian sopan dirinya 
dahulu. Ingatlah wahai diri, jika tidak mampu istiqamah atas pakaian dan 
penampilan dahulu, janganlah sampai mengutuknya. Kerana ia sama seperti 
mengutuk pakaian yang sopan lagi baik, seolah mendahulukan yang kurang baik.
 
 
KESIMPULAN
Itulah facebook, ia boleh menjadi sumber pahala, jika diguna dengan betul, 
boleh menjadi pemudah azab jika digunakan tanpa ilmu dan limitasi. 
Berhati-hatilah dan berpada-padalah pemilik facebook.
Niat untuk mendekatkan ukhuwwah antara rakan lama, sekolah dan sebagainya tidak 
sama sekali boleh menghalalkan sembangan mesra, gurauan senda di antara suami 
dan isteri orang, antara lelaki dan wanita yang bukan mahram. Ia hanya akan 
membawa kepada kemudaratan dan keruntuhan rumahtangga. Janganlah lagi 
mempermainkan nama 'ukhuwah' untuk berbuat dosa.
Ukhuwwah itu hanya terhad sesuatu yang membawa kepada ingatan kepada Allah, 
mengajak kebaikan dan menjauh kemungkaran. Lihatlah surah al-Hujurat dan 
fahamkan kalam Allah sebaiknya akan erti ukhuwwah di kalangan mukmin.

Kirim email ke