KEBAIKAN MELAHIRKAN KEBAIKAN Bertepatan dengan apa yang ditegaskan oleh Allah swt : وَمَا تُقَدِّمُواْ لأَنفُسِكُم مِّنْ خَيْرٍ تَجِدُوهُ عِندَ اللّهِ إِنَّ اللّهَ بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرٌ
Ertinya : "Dan kebaikan apa saja yang kamu usahakan bagi dirimu, tentu kamu akan mendapat pahalanya pada sisi Allah. Sesungguhnya Allah Maha Melihat apa-apa yang kamu kerjakan. (Al-Baqarah : 110) Benar lagi jelas, ayat ini bukan sahaja memberitahu perihal kebaikan balasan di Akhirat, malah juga balasan kebaikan di dunia lagi. Pertama kebaikannya itu akan dirasakan oleh pelaku itu sendiri. Dia sendiri akan berasa lega, gembira dan lapang, perasaan tertekan dan stress berkurangan yang bukan hanya boleh meningkatkan potensi kesihatan tubuh fizikal, malah juga ketenangan spiritual seseorang. Lebih hebat, aura kebaikan dirinya itu boleh terpindah kepada orang di sekelilingnya seperti isterinya, anaknya, keluarga, jiran-jiran serta rakan setugas. Mereka turut boleh merasa aman, damai serta selesa. Nabi s.a.w pernah mengingatkan berkenaan kesan dan pengaruh kebaikan seseorang yang boleh berpindah kepada orang di sekitarnya. الرجل على دين خليله فلينظر أحدكم من يخالل Ertinya : "Agama seseorang itu adalah mengikut rakannya, maka telitilah seseorang yang ingin dijadikan rakan baiknya" ( Riwayat Abu Daud) Demikian juga sabdaan Nabi : إنما مثل الجليس الصالح وجليس السوء، كحامل المسك ونافخ الكير، فحامل المسك إما أن يُحذيك، وإما أن تبتاع منه، وإما أن تجد منه ريحاً طيبة، ونافخُ الكير إما أن يحرق ثيابك، وإما أن تجد منه ريحاً منتنة Ertinya : "Perumpaan orang yang baik dan orang yang jahat itu adalah seperti penjual wangian dan tukang bakaran besi, Maka penjual wangian (kamu akan dapati kebaikan baunya) sama ada melalui pemberiannya, atau kamu beli darinya atau atau tempiasan baunya, adapun pembakar besi, sama ada ia akan membakar bajumu atau mendapat baunya yang busuk.." ( Riwayat Al-Bukhari) Jelas, berpunca dari kebaikan satu orang manusia, ia boleh bercambah kepada yang lain dan dirinya menjadi semakin selesa dan gembira. Maka jadikan diri kita sebagai TITIK MULA tersebut. Jangan beralasan dan asyik mengharapkan orang lain untuk memulakan. Memulakan sesuatu yang baik ditengah suasana keburukan adalah sifat mulia tugas kenabian. Ia kerap dirasakan pelik dan asing lalu dikritik dan ditertawa oleh sang penjahat. Tiada sebarang ruginya untuk mengelak diri dari maksiat dan keburukan, serta bersikap lurus dan amanah dalam setiap urusan kehidupan kita bersama manusia lain. Mengapa perlu kita menipu sedangkan ia tidak disukai jika terkena kita sendiri?. Mengapa perlu memaki hamun sedang ia pedih buat orang lain dan juga diri kita?. FIKIRLAH LUAS DAN LEBIH JAUH Oleh kerana itu, Islam mengajar kita untuk menilai sesuatu dari skop yang paling luas, keluar dari kepentingan diri kepada keluarga, masyarakat, negara dan akhirat kita. Allah swt menyebut: يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ وَلْتَنظُرْ نَفْسٌ مَّا قَدَّمَتْ لِغَدٍ وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ Ertinya : Wahai orang-orang beriman, bertaqwalah kamu kepada Allah swt, dan hendaklah setiap diri memperhatikan apa yang telah diperbuatnya untuk hari esok (akhirat), dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan. (Al-Hasyr : 18)