Utusan Online - BICARA AGAMA
ARKIB : 14/05/2010 Kegembiraan orang beriman di hari akhirat Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI Al-Maraghi berkata: Allah SWT menambahkan keterangan secara terperinci mengenai keadaan hari kiamat berserta malapetakanya yang mengerikan. Semua itu diterangkan kepada manusia sebagai dorongan agar merenung dalil yang menunjukkan ke-Esaan dan kekuasaan Allah SWT. Kebenaran hari kebangkitan berserta segala kejadian hari kiamat yang disampaikan melalui lidah rasul-rasul-Nya supaya mereka membekalkan diri dengan amalan soleh sebagai pelita untuk menerangi kegelapan hari kiamat itu. Allah SWT menerangkan bahawa manusia ketika itu terbahagi kepada dua golongan: l Golongan yang sentiasa tersenyum, riang gembira seperti orang yang bertemu kekasihnya. Mereka itu adalah orang yang benar-benar percaya kepada kebenaran dan mengamalkannya. 1 Golongan yang mukanya berdebu, ditutupi asap hitam. Mereka adalah penentang Allah SWT dan rasul-Nya, menolak kebenaran yang dibawa dan enggan berbuat baik sesuai dengan perintah Islam. Firman Allah SWT: Kemudian (ingatlah keadaan yang berlaku) apabila datang suara jeritan yang dahsyat. Ibn Abbas berkata: al-Shakhah merupakan salah satu daripada nama hari kiamat yang diagungkan Allah SWT dan selalu diperingatkan pada hamba-Nya. Ibn Jarir berkata: Boleh jadi ia merupakan nama bagi tiupan sangkakala. Sedangkan Syed Qutb berkata: Perkataan shakhah ialah bunyi yang gegak gempita hampir menembusi telinga ketika ia membelah udara sampai ke dalamnya dengan bunyi yang kuat dan mendesak. Dengan nada yang keras ini, al-Quran mengadakan persediaan untuk menayangkan pemandangan selanjutnya iaitu pemadanan setiap individu lari dari orang yang paling dekat dengannya. Firman Allah SWT: Pada hari seseorang itu lari dari saudaranya, dan ibunya serta bapanya, dan isterinya serta anak-anaknya. Ibn Kathir berkata: Maksudnya dia mengetahui justeru, dia lari dan menjauh dari mereka kerana keadaan yang sangat menakutkan dan suasana yang tidak tenteram. Dalam hadis sahih disebutkan berkenaan dengan masalah syafaat. Jika setiap Rasul di kalangan Ulul Azmi diminta memberikan syafaat di sisi Allah, maka dia akan mengatakan: "Saya pun bimbang nasib diriku ini". Bahkan Nabi Isa a.s sendiri mengatakan: "Aku tidak meminta kepada-Nya kecuali untuk diriku sendiri bahkan aku tidak mampu meminta untuk Maryam walaupun dia ibu kandungku sendiri". Oleh yang demikian, Allah SWT berfirman seperti ayat di atas. Firman Allah SWT: Kerana tiap-tiap seorang daripada mereka pada hari itu, ada perkara-perkara yang cukup untuk menjadikannya sibuk dengan hal dirinya sahaja. Debu kehinaan Al-Maraghi berkata: Itulah kejadian yang sebenarnya dan masing-masing diserang rasa ketakutan. Ketakutan terhadap bencana dan perhitungan amalan merupakan urusan yang menyibukkan dan memalingkan dirinya daripada kaum kerabatnya disebabkan dia tidak mempunyai fikiran dan kekuatan lain lagi untuk menolong orang lain. Perkara ini juga boleh diertikan bahawa kesedihan yang dideritainya itu disebabkan oleh dirinya sendiri dan kesibukan ini menyebabkan dia sesak dada. Oleh itu dia tidak mempunyai sebarang kesempatan untuk memerhatikan kesedihan orang lain. Firman Allah SWT: Muka (orang-orang yang beriman) pada hari itu berseri-seri, tertawa, lagi bersuka ria. Inilah gambaran mereka yang mendapat keredaan Allah SWT. Kedudukan mereka yang selamat daripada huru-hara pada akhirat kelak. Firman Allah SWT: Dan muka (orang-orang yang ingkar) pada hari itu penuh berdebu, diliputi oleh warna hitam legam dan gelap-gelita. Mereka itu ialah orang-orang yang kafir, yang derhaka. Al-Maraghi berkata: Pada hari itu terdapat orang yang wajahnya ditutupi debu kehinaan dan gelap kerana kesedihan. Itulah wajah orang kafir, orang yang tidak beriman kepada Allah SWT dan ajaran-ajaran yang dibawa rasul-Nya. Mereka melanggar ketentuan syariat, melakukan dosa dan kejahatan. Dari keterangan di atas, dapat dinyatakan pada hari itu manusia terbahagi kepada dua golongan: 1 Golongan yang ketika di dunia mencari kebenaran, berpegang kepada dalil yang tepat dan mengamalkan kebenaran tersebut. Dia tidak lemah, kerana sedikitnya pengikut dan ramainya pembangkang. Mereka bersikap tenang sehingga bertemu Allah SWT dan bergembira disebabkan memperoleh hasil daripada amalan yang dilakukan. Tanda-tanda kegembiraan itu terlihat pada wajah-wajah mereka. 1 Golongan yang rendah akalnya, mengabaikan nikmat-nikmat Allah SWT kepadanya, senang mengambil tindakan yang bodoh dan tidak mahu berfikir kerana mengikut warisan daripada nenek moyangnya. Dia selalu mengikut hawa nafsunya yang jahat dan akidah yang rosak. Mereka akan mengamalkan sesuatu yang mereka sendiri tidak tahu, kerana itu nampak pada dirinya rasa kecewa dan gagal. Wajah-wajah mereka pula dipenuhi debu dan asap hitam disebabkan mereka ketika di dunia kafir lagi derhaka. Syed Qutb berkata: Dengan susunan itu, selaraslah gambaran bahagian pertama dengan yang akhir. Bahagian pertama menjelaskan hakikat nilai atau neraca dan bahagian akhir menerangkan hasil penilaian neraca itu. Surah yang pendek ini menjadi satu surah yang tersendiri atau unik dengan pengemblengannya yang mengandungi berbagai-bagai hakikat yang besar, pemandangan-pemandangan, nada-nada dan saranan yang beraneka ragam yang memberi penjelasan yang cantik dan halus. Wassalam. AFFINBANK - "BANKING WITHOUT BARRIERS" Noorshamsudin Hj. Mohd Darus IS Audit, Group Internal Audit 1st Floor Menara AFFINBANK 80 Jalan Raja Chulan, KL Tel: 03-27315246 (Ofis) / 012-2923403 (H/P) / 03-60214010 (Home)