Karnival Sukma tempat mereka menjalankan aktiviti perniagaan menjadi medan 
tempur akibat pihak penganjur didakwa menjalankan pengurusan ala samseng. 
Keadaan itu menimbulkan rasa tidak puas hati dan membangkitkan rasa takut 
peniaga sehingga dikatakan sebahagiannya meninggalkan tapak berkenaan meskipun 
Sukma berbaki tiga hari lagi.

*****************************
Kecoh karnival bertukar ganas
Sinar Harian 17 Jun 2010

Peniaga dakwa ibarat berada di medan pertempuran gara-gara pengurusan bertindak 
ala gengster

KRUBONG - Mereka ke Melaka untuk mencari rezeki, namun tidak pernah menyangka, 
kunjungan sempena kemeriahan Sukan Malaysia (Sukma) ke-13 di negeri ini 
mengundang episod hitam yang tidak mungkin dilupakan.

Semuanya gara-gara karnival Sukma tempat mereka menjalankan aktiviti perniagaan 
menjadi medan tempur akibat pihak penganjur didakwa menjalankan pengurusan ala 
samseng.

Itulah keadaan yang didakwa sebilangan peniaga yang menyewa tapak perniagaan di 
pekarangan Stadium Hang Jebat, Kompleks Sukan Krubong di sini terhadap 
penganjur aktiviti berkenaan sepanjang temasya Sukma yang sedang berlangsung 
kini.

Penganjur dikatakan menggunakan khidmat petugas kaki pukul untuk berurusan 
dengan peniaga di situ.

Keadaan itu menimbulkan rasa tidak puas hati dan membangkitkan rasa takut 
peniaga sehingga dikatakan sebahagiannya meninggalkan tapak berkenaan meskipun 
Sukma berbaki tiga hari lagi.

Peniaga makanan, Laisah Laing, 38, mendakwa, dia dicederakan beberapa petugas 
pihak penganjur.

“Kira-kira jam 10.30 malam, 13 Jun lalu, saya didatangi seorang perempuan 
dipercayai kakitangan pihak penganjur untuk meminta baki bayaran sewa tapak 
yang masih tertunggak.

“Namun, saya tidak membawa wang ketika itu dan meminta supaya bayaran tersebut 
ditangguhkan, sehingga keesokan harinya, namun, tidak dipersetujui petugas 
terbabit,” katanya.

Laisah kemudian diminta membayar sedikit wang yang menyebabkan berlaku 
pertengkaran antaranya dengan petugas terbabit.

Keadaan bertambah tegang dan Laisah mendakwa, petugas tersebut tiba-tiba ‘naik 
hantu’ dan menterbalikkan meja jualannya serta cuba membaling objek ke arahnya.

“Dia seolah-olah hilang akal dengan menarik tudung saya hingga tertanggal dan 
menumbuk muka saya di sebelah kiri.

“Dalam keadaan kecoh, muncul seorang lelaki yang juga petugas penganjur dan 
turut menumbuk saya di lengan kiri,” katanya.

Menurutnya, selepas itu, mereka melarikan diri dan dia cuba mengejar, tetapi 
dihalang peniaga lain.

Kesan daripada kejadian tersebut, peniaga wanita berkenaan mengalami beberapa 
kesan kecederaan di bahagian muka dan lebam di lengan.

Berikutan itu, dia membuat laporan polis di Balai Polis Tanjung Minyak.

Sementara itu, peniaga mi sup yang enggan dikenali mendakwa, ditumbuk di 
bahagian muka hanya berpunca daripada aduan kejadian gangguan bekalan elektrik 
di gerai sewa mereka.

“Berlaku sedikit kekecohan antara peniaga dan pengurusan kerana elektrik 
terganggu malam itu.

“Bagaimanapun, esoknya saya dipanggil ke pejabat penganjur untuk memberi 
keterangan berhubung kekecohan yang berlaku, namun diserang beberapa lelaki,” 
katanya.

Beberapa lelaki dikatakan menumbuknya di bahagian muka sehingga cermin matanya 
pecah, namun dia enggan membuat laporan kerana tidak mahu perkara berkenaan 
diperbesar-besarkan.

Peniaga itu mendakwa, setelah beberapa hari menjalankan aktiviti perniagaan di 
situ berlaku kira-kira tujuh kes pergaduhan antara pihak peniaga dengan 
penganjur sehingga ke peringkat ugut-mengugut serta keselamatan mereka terjejas.

“Saya serik untuk berniaga di sini terutama dengan pihak penganjur yang 
mengamalkan pengurusan seperti ini dan mengabaikan kebajikan penyewa mereka.

“Ini amat menjejaskan imej Melaka sebagai negeri pelancongan yang popular, 
apatah lagi di saat penganjuran sukan besar seperti ini,” katanya.

Sementara itu, Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah mengesahkan menerima 
beberapa laporan mengenai kejadian berkenaan, tetapi menjelaskan kes terbabit 
kemudiannya dapat diselesai secara aman antara kedua-dua pihak.

http://www.sinarharian.com.my/mns/content/story7825484.asp




Kirim email ke