RIADHUS SHALIHIN
 
Kuliah 1
Ikhlas
 
 
 
(Bab 1 : Ikhlas, Hadits RS1-RS12)
 
Imam Nawawi memulakan kitab Riadhus Shalihin ini dengan bab Ikhlas, satu topik 
penting yang menjadi asas kepada penerimaan amal seseorang. Tanpa keikhlasan, 
amalan-amalan yang dibentangkan di dalam bab-bab yang seterusnya tidak bernilai.
 
Bab ini, sebagaimana sebahagian bab-bab lain, dimulakan dengan beberapa ayat 
Al-Quran. Ayat Al-Quran yang pertama yang diketengahkan ialah:
 
“Padahal mereka tidak disuruh kecuali supaya menyembah Allah dengan memurnikan 
(mengikhlaskan) ketaatan kepada-Nya dalam (menjalankan) agama dengan lurus, dan 
supaya mereka mendirikan solat dan menunaikan zakat; dan yang demikian itulah 
agama yang lurus.” (Al-Bayyinah, 98 : 5)
 
Ayat-ayat lain yang dimasukkan oleh Imam Nawawi dalam bab ini ialah Al-Hajj, 
22:37 dan Ali Imran, 3:29.
 
Beliau kemudiannya mengemukakan hadits yang pertama dalam bab yang pertama ini 
iaitu:
 
Daripada Amirul Mukminin Abu Hafs Umar bin Al-Khattab r.a katanya : Aku 
mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda :
 
“Hanyasanya amalan-amalan itu adalah dengan niat dan hanyasanya bagi setiap 
manusia itu apa (balasan) yang diniatkannya. Sesiapa yang berhijrah kepada 
Allah dan RasulNya, maka hijrahnya itu adalah kepada Allah dan RasulNya. Dan 
sesiapa yang berhijrah kerana dunia yang ingin ia perolehi atau kerana seorang 
perempuan yang ingin ia nikahi, maka hijrahnya itu adalah kepada apa yang ia 
berhijrah kepadanya.” (RS1; Bukhari, Muslim)
 
Hadits pembukaan kitab Riadhus Shalihin ini juga merupakan hadits pertama 
kepada kitab Arbain Nawawi yang masyhur itu,  begitu juga kitabnya Al-Azkaar.
 
Samada sesuatu amalan bakal mendapat ganjaran dari Allah bergantung kepada niat 
seseorang. Sekiranya ia beramal ikhlas semata-mata untuk mendapat keredaan 
Allah dan pahala dariNya, tentulah itu yang akan diperolehinya. Sebaliknya 
kalau ia beramal untuk mendapat pujian manusia, kemegahan diri atau untuk 
maksud rendahan yang lain, keredaan Allah dan ganjaranNya tidak mungkin dicapai 
dengan amalan tersebut.
 
Apa yang bernilai di sisi Allah swt ialah amal soleh dan keikhlasan dalam 
beramal.
 
Dari Abu Hurairah r.a., katanya : Rasulullah s.a.w. bersabda:
 
"Sesungguhnya Allah Taala tidak melihat kepada jasad atau rupa kamu, tetapi Dia 
melihat kepada hati-hati dan amalan kamu." (RS7; Muslim)
 
Kita dapat lihat kemurahan Allah swt dalam mengganjari para hambaNya dalam 
hadits:
Dari Abdullah bin Abbas bin Abdul Mutalib, r.a. dari Rasulullah s.a.w. dalam 
apa yang diriwayatkan dari Tuhannya Tabaraka wa Taala (Hadis Qudsi), bersabda:
 
"Sesungguhnya Allah mencatat hasanah (kebaikan) dan sayyiah (kejahatan), 
kemudian menjelaskan keduanya.
 
Sesiapa  yang bercadang untuk mengerjakan kebaikan tetapi tidak jadi 
melakukannya,   Allah Tabaraka wa Taala mencatat untuknya satu hasanah yang 
sempurna di sisiNya. Sesiapa yang bercadang untuk  mengerjakan kebaikan 
kemudian  melakukannya, Allah mencatat sepuluh hingga tujuh ratus hasanah malah 
lebih dari itu.
 
Seterusnya, sesiapa bercadang untuk mengerjakan kejahatan tetapi tidak jadi 
melakukannya Allah mencatat untuknya satu hasanah yang sempurna di sisiNya dan 
sesiapa yang mahu mengerjakan kejahatan kemudian melakukannya, Allah mencatat 
satu sayyiah sahaja." (RS11; Bukhari, Muslim)
 
Seseorang beroleh satu hasanah dengan niat sahaja, samada berniat melakukan 
kebaikan atau kejahatan tetapi tidak dapat melakukannya di atas sebab-sebab 
yang sesuai. Sekiranya ia dapat melakukan amal kebaikan yang diniatkannya itu, 
ia mendapat ganjaran hasanah yang berganda-ganda.
 
Amalan soleh yang dilakukan dengan ikhlas juga dapat menjadi sarana untuk 
memperkuatkan doa. Dalam hadits terakhir dalam bab ini, RS12, Rasulullah saw 
menceritakan bagaimana tiga orang pemuda terperangkap di dalam sebuah gua 
berdoa dan bertawassul dengan amalan yang mereka pernah lakukan. Hasilnya 
mereka diselamatkan dari gua tersebut.   

Kirim email ke