*Masa Berkualiti Dalam Keluarga: Alasan Atau Alternatif?*
Oleh Siti Fatimah Binti Abdul Rahman

"Kita perlu mengamalkan konsep masa berkualiti dengan ahli keluarga kita".
Demikianlah saranan yang sering kita dengar hampir setiap hari. Ramai yang
bersetuju dengan saranan ini. Dalam kesibukan kita mengejar masa dengan
urusan seharian, kita tidak lagi mampu untuk meluangkan banyak masa dengan
ahli keluarga yang lain. Untuk itu, masa berkualiti adalah alternatifnya.
"Apa guna meluangkan masa berjam-jam dengan anak jika ianya tidak diisi
dengan perkara-perkara yang bermanfaat?", itu rasionalnya.

Setelah sekian lama kita disarankan dengan konsep masa berkualiti ini,
fahamkah kita akan maksudnya yang sebenar? Apa yang dimaksudkan dengan masa
berkualiti dengan keluarga? Apakah ia bermaksud "ke-ber-ada-an" kita dengan
mereka? Apakah dengan ber-adanya kita dengan mereka itu dapat ditakrifkan
sebagai meluangkan masa secara berkualiti? Ataukah ada aspek lain yang lebih
penting dari semata-mata berada dalam lokasi yang sama pada sesuatu masa?

Jika kita ingin mengatakan bahawa kita meluangkan masa yang berkualiti
dengan anak-anak, apakah corak kegiatan yang kita lakukan? Apakah kekerapan
kita melakukan kegiatan tersebut? Dengan segala kegiatan dan kekerapan ini,
apakah unsur lain bagi mengesahkan yang masa tersebut telah diisi secara
berkualiti?

Memang sukar untuk mendefinisikan maksud masa berkualiti. Walau
bagaimanapun, saya ingin cuba untuk memberi definisi yang pada saya dapat
menggambarkan maksud masa berkualiti ini.

Masa berkualiti merujuk kepada satu masa di mana sekumpulan orang meluangkan
masa secara bersama dengan melakukan sesuatu yang bersifat interaktif dan
memberi makna kepada semua yang terlibat.

Jangkamasa bersama itu tidak penting tetapi ia mestilah memadai untuk
menyelesaikan sesuatu aktiviti. Aktiviti yang bersifat interaktif memerlukan
kedua-dua belah pihak berinteraksi sesama sendiri ketika melakukan perbuatan
tersebut. Di masa yang sama, aktiviti dan interaksi yang berlaku mampu
memberi makna kepada semua pihak yang terlibat. Ini bererti interaksi
tersebut berhasil untuk mendatangkan manfaat kepada semua yang terlibat baik
dari segi mengeratkan hubungan, mengenali di antara satu sama lain dan
sebagainya.

Jadi, dalam konteks keluarga, makan malam bersama di mana semua ahli
keluarga makan bersama sambil bercerita tentang apa yang berlaku kepada
mereka sepanjang hari boleh dianggap sebagai satu masa yang diluangkan
secara berkualiti. Begitu juga dengan keluarga yang bermain board games
bersama. Ia nampaknya bermain tetapi melalui interaksi tersebut berbagai
makna yang tersurat dan tersirat dapat dirasai oleh semua yang terlibat.
Begitu juga dengan bersukan, menolong anak membuat kerja sekolah, mengajar
anak mengaji dan seumpamanya.

Sebaliknya, sebuah keluarga yang menonton televisyen bersama tetapi
masing-masing asyik dengan cerita yang ditonton tanpa bercakap sepatahpun,
melainkan "Minta kuaci tu sikit!", bukanlah meluangkan masa mereka secara
berkualiti. Sebaliknya, mereka hanya menonton bersama. Begitu juga ibubapa
yang meminta anak-anak membantunya mencuci kereta. Sekiranya aktiviti
tersebut tidak disetujui oleh anak-anak dan tiada interaksi semasa
melakukannya, sebaliknya hanya ingin menyelesaikan tugas tersebut, maka ia
bukanlah satu luangan masa berkualiti. Jadi, bolehlah dikatakan bahawa aspek
penting dalam masa berkualiti ini ialah interaksi yang bermakna.

Dengan definisi ini, saya boleh mengatakan bahawa kita masih boleh
meluangkan masa berkualiti dengan sesiapa sahaja tanpa berada di satu lokasi
dengan mereka. Sebagai contoh, ibubapa masih boleh meluangkan masa
berkualiti dengan anak mereka yang menuntut di luar negara melalui telefon,
misalnya atau surat, atau e-mail.

Walaupun ada jurang antara masa ibubapa menulis surat dengan masa anak
membacanya, masa ini boleh dianggap sebagai masa berkualiti kerana apabila
anak membaca surat tersebut, ia merasa hampir kepada ibubapanya, disayangi
dan dirindui. Pastinya, ini hanya berlaku jika kandungan surat tersebut
mengandungi luahan rasa serta nasihat yang bermakna kepada anak-anak dan
bukannya satu notis penghantaran wang saku semata-mata.

Sebagaimana yang kita tahu, konsep masa berkualiti ini adalah satu konsep
yang secara relatifnya baru. Kalau tidak silap, ianya mula disarankan dalam
tahun 1980an. Jika demikian, apakah konsep masa berkualiti ini hanya timbul
dalam zaman ini sahaja? Apakah di zaman lampau atau 30 tahun yang lalu, ahli
masyarakat mempunyai begitu banyak masa sehingga mereka tidak perlu kepada
penggunaan masa berkualiti? Apakah 50 tahun yang lalu, seorang bapa mampu
meluangkan 4 jam sehari untuk anak-anaknya dan seterusnya generasi yang
lebih awal dari itu meluangkan masa 6 jam sehari bersama anak-anaknya?
Bagaimana pula keadaan generasi yang terdahulu? Bagaimana dengan Junjungan
kita, Nabi Muhammad s.a.w?

Rasulullah s.a.w, sepertimana yang kita tahu, merupakan seorang manusia
biasa. Ini bermakna seperti manusia yang lain, Baginda memainkan banyak
peranan dalam hidupnya. Baginda merupakan seorang hamba Allah, seorang
individu yang ada keperluan sendiri, seorang suami, seorang ayah, seorang
datuk, seorang Rasul dengan segala tanggungjawab dakwah dan tidak
terkecuali, Baginda merupakan seorang negarawan. Namun, dengan segala
kesibukan ini, Baginda tidak sesekali mengabaikan keluarganya.

Baginda Rasulullah s.a.w. sentiasa memastikan bahawa Baginda meluangkan masa
dengan ahli keluarganya, baik dengan isteri-isteri Baginda, anak-anak, juga
cucu-cucunya. Kita juga tahu, pada suatu ketika, Baginda yang pada saat itu
memiliki sembilan orang isteri, memastikan bahawa Baginda melawat kesemuanya
pada setiap hari. Kini terbukti bahawa lawatan-lawatan tersebut bukan
semata-mata untuk makan dan tidur, tetapi lebih dari itu. Hasilnya,
isteri-isteri Baginda semuanya terkenal sebagai pendakwah yang terkemuka,
menjadi tempat rujukan masyarakat Islam pada ketika itu dan ada di antaranya
yang menjadi perawi hadis yang berwibawa. Ini menunjukkan wujudnya
penggunaan konsep masa berkualiti dalam kehidupan Baginda serta kejayaannya.
Tidakkah kita merasa terpanggil untuk mengetahui bagaimana Baginda
melakukannya agar kita juga dapat manfaatnya?

Jika kita membaca sirah Rasulullah, kita dapati bahawa walaupun interaksi
Rasulullah dengan para isteri baginda berlaku dalam jangka waktu yang
singkat, tetapi berbagai ilmu yang telah diturunkan kepada isteri-isteri
Baginda. Ini terbukti bila isteri-isteri Baginda meriwayatkan sesuatu hadis
yang diperolehi semasa mereka bersama Rasulullah. Bukan dengan isteri-isteri
Baginda sahaja, anak baginda, Fatimah Az-Zahrah juga tidak kurang
pengetahuannya hasil dari didikan ayahnya itu. Kita juga sering terbaca
kisah Rasulullah bermain-main dengan cucunda Baginda, Hasan dan Husin.

Ternyata pemakaian konsep masa berkualiti bukanlah sesuatu yang baru dalam
masyarakat. 50 tahun dahulu misalnya, bila mana keluarga Melayu bergantung
kepada pertanian sebagai punca pendapatan, ibubapa juga sibuk mencari
rezeki. Pastinya, mereka juga cuba mendekati anak-anak mereka dan mengajar
anak-anak tentang apa yang perlu mereka tahu. Ada di antara mereka
meluangkan masa bersama anak sambil mengajar mereka membuat pedang, gasing,
memesin getah dan sebagainya. Ini juga boleh dianggap sebagai peluangan masa
secara berkualiti.

Pembangunan teknologi maklumat kini pastinya meninggalkan kesan kepada
penggunaan konsep masa berkualiti dalam kehidupan seharian kita. Alat-alat
canggih dalam era teknologi maklumat ini, seperti alat teknologi lain, boleh
digunakan untuk kebaikan keluarga, mahupun sebaliknya. Ada yang melihatnya
sebagai peluang untuk meningkatkan kualiti hubungan keluarga, namun tidak
kurang yang melihatnya sebagai penghalang kepada hubungan kekeluargaan itu
sendiri. Ini semua bergantung kepada kebijaksanaan kita menggunakannya.

Laporan Lexmark tentang "Computing and the American Family" (Berita Harian,
18 Disember 1996) menemui bahawa dari segi komunikasi, ramai mengakui bahawa
komputer telah memberi lebih masa berkualiti kepada keluarga. Penggunaan
komputer dalam keluarga telah menjurus kepada komunikasi yang lebih antara
ahli keluarga, saling berhubung dan berinteraksi. 74% responden melaporkan
mereka menggunakan e-mail untuk saling berhubung dengan rakan dan ahli
keluarga. Manakala 63% yang menggunakan internet mengakui internet telah
membolehkan jalinan perhubungan dipelihara. Komputer telah digunakan untuk
jalinan perhubungan peribadi dengan rakan-rakan (77%) dan keluarga (71%).

Itu dari segi penggunaan e-mail. Selain e-mail, terdapat berbagai laman web
yang berasaskan keluarga yang boleh dilawati bersama oleh sesebuah keluarga
dan diambil manfaat darinya. Selain laman web bersifat keluarga, banyak
laman web lain yang boleh memberikan manfaat kepada ahli keluarga secara
bersama. Misalnya, ibu dan anak perempuan yang menggemari fesyen terkini,
mereka boleh melawat mana-mana laman web tentang fesyen secara bersama.
Begitu juga dengan bapa dan anak lelaki, mereka boleh melawat laman web
permainan sukan tertentu secara bersama. Ini tentunya akan memberi kesan
positif terhadap ikatan (bonding) antara anak-beranak.

Begitu juga dengan telecommuting. Bekerja di rumah dapat mengeratkan
hubungan kekeluargaan kerana ia memberikan ahli keluarga peluang yang lebih
untuk berkongsi masa berkualiti (New Straits Times, 20 Februari 1999). Ini
lebih bermakna bagi golongan ibu tunggal di mana mereka tidak perlu risau
untuk memikirkan hal penjagaan anak jika ingin keluar bekerja.

Ada orang yang tidak percaya bahawasanya konsep masa berkualiti ini boleh
berjaya. Bagi mereka, masa berkualiti hanyalah satu alasan ibubapa untuk
meluangkan sedikit masa untuk anak-anak tanpa merasa bersalah (
http://www.ozemail.com.au/~chriskaz/attachparent/. Bagi golongan ini mereka
berpendapat bahawa kita perlu meluangkan masa yang banyak untuk anak kita
sekiranya kita mahu mereka membesar dengan sempurna. Dalam kata lain, mereka
percaya kepada konsep masa berkuantiti. Satu golongan yang lain pula atas
sebab-sebab tertentu hanya bersama anak-anak bila ada kesempatan. Namun,
bagi saya, antara kedua-dua ekstrim ini, konsep masa berkualiti walaupun
tidak sempurna merupakan alternatif terbaik untuk keluarga zaman kini,
terutamanya yang kedua suami-isterinya bekerja.
Sumber : http://www.ikim.gov.my/

--
~ 睡眠不足のママ ~
http://laman-seri.blogspot.com
http://little-kiosk.blogspot.com
Everyone thinks of changing the world, but no one thinks of changing
himself. – Leo Tolstoy

¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤

Kirim email ke