Harakahdaily, KUALA LUMPUR, 30 Julai: Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) akan 
menggerakkan satu kempen memungut sepuluh juta tandatangan rakyat bagi 
membantah tindakan kerajaan meneruskan saman ekor terhadap pengguna jalan raya.

Menurut ketuanya, Nasruddin Hassan at-Tantawi, semua jentera pemuda seluruh 
negara akan dikerah bagi memastikan kempen tersebut sampai ke semua lapisan 
masyarakat.

"DPPP akan menggunakan seluruh keupayaan jentera kita di semua peringkat untuk 
mendapatkan sepuluh juta tandatangan rakyat yang tidak bersetuju dengan saman 
ekor," katanya ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, tandatangan yang berjaya dikumpul akan 
dilampirkan bersama memorandum yang akan diserahkan kepada Polis Diraja 
Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Kementerian 
Pengangkutan Malaysia.

"Kita akan lampirkan tandatangan yang dikumpul ini dengan memorandum yang akan 
kita serahkan kepada kerajaan atau kementerian terbabit," katanya lagi.

Beliau juga berkata, beberapa kain rentang akan dipasang di kawasan-kawasan 
yang menjadi tumpuan umum dan rakyat boleh menurunkan tandatangan mereka di 
situ.

DPPP juga akan bermesyuarat bagi menyelaraskan kempen berkenaan.

Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh pemuda agar mengambil perhatian dan 
bersiap sedia untuk menggerakkan kempen berkenaan.

"Mari sertai kempen ini dan saya harap semua pemuda di semua peringkat 
mengambil perhatian untuk tugas besar ini," katanya.

Beliau sebelum ini menyifatkan saman ekor sebagai ‘ISA Kedua' kerana ianya 
menyebabkan penerima notis saman terpaksa membayar saman tersebut tanpa mereka 
diberi peluang melalui proses pengadilan di mahkamah.

http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=27877:kempen-10-juta-tandatangan-bantah-saman-ekor&catid=1:utama&Itemid=50




Kirim email ke