السلام عليكم و رحمة الله و بركاته

Serangan Tentera Merah Jepun
Post under Sejarah, Suatu Ketika, Tragedi   Dicatat oleh Naim Qlate

Kisah ini ada keluar di saluran Astro Arena pada 15 Ogos 2010 hari ahad jam 9.00
malam. Pada 4 Ogos 1975, pagi yang tenang dan mendamaikan pada awalnya di lantai
sembilan, bangunan AIA, Jalan Ampang, Kuala Lumpur, direnggut sekumpulan
pengganas menamakan diri, Japanese Red Army. Tanpa diundang, mereka meluru masuk
ke premis berkenaan sambil melakukan huru-hara.


Kelibat lima individu bertopeng di pejabat Kedutaan Amerika Syarikat dan Sweden
itu bertujuan memaksa kerajaan Jepun dan Sweden memenuhi tuntutan segera
membebaskan tujuh rakan mereka yang ditahan di kedua-dua negara.


Mereka tidak datang dengan tangan kosong. Selain bersikap bengis, ‘hidangan’
berupa senjata api dan bahan letupan menjadi sarapan istimewa orang awam yang
kebetulan lalu di situ.

Akibatnya, seramai 53 orang termasuk pegawai Kedutaan Amerika Syarikat dan
Sweden menjadi tebusan sebelum dibebaskan 79 jam kemudian dalam insiden penuh
suspen yang mengejutkan seluruh dunia, peristiwa itu 35 tahun lalu.
Ikuti Kisahnya :
Kisah Razlin Dan Dokumentari Penawanan Bangunan AIA 1975
Oleh SYAHRIL A. KADIR

DRAMA rampasan bangunan AIA di Jalan Ampang, Kuala Lumpur oleh anggota Tentera
Merah Jepun (JRA) pada tahun 1975 benar-benar menggemparkan negara.


Namun 35 tahun berlalu, tidak ramai yang masih ingat dengan peristiwa tragis
tersebut, apatah lagi di kalangan anak muda dewasa ini.

Razlin K. P Hanifah ketika itu masih belum lahir sewaktu peristiwa tersebut
berlaku.

Namun anak muda lulusan Universiti Sains Malaysia (USM) ini percaya, sesuatu
harus 'dilakukan' bagi memastikan peristiwa berkenaan tidak luput ditelan zaman.


Razlin K. P Hanifah (kanan sekali) bersama kru dan anggota Tentera Merah Jepun
(JRA) sewaktu di Tokyo, Jepun baru-baru ini.

Ini penting kerana banyak pengajaran dan iktibar boleh diangkat kesan daripada
kejadian itu.

Saya mengenali Razlin sewaktu kami bersama-sama bertugas di FM Production
Sdn.Bhd, sebuah syarikat produksi yang banyak menghasilkan dokumentari tempatan
untuk disiarkan di Astro.

Kami kemudiannya membawa haluan masing-masing setelah menghabiskan kontrak
tugasan di syarikat produksi berkenaan. Hanya Razlin yang memilih untuk terus
bersama Astro dan kini merupakan penerbit di saluran Astro Arena.

Namun saya begitu berbangga kerana rupa-rupanya beliau berjaya menyiapkan
dokumentari tersebut dengan jayanya, lebih dari itu, beliau juga telah berjaya
menemubual anggota JRA sendiri di Tokyo, Jepun.

Menurut Razlin, kerja-kerja awal pembikinan dokumentari itu bermula dengan
kerja-kerja penyelidikan yang turut dilakukan dua orang rakan setugasnya, Sheith
Faikis dan Nik Naemah dalam bulan Oktober 2007 dengan sasaran untuk ditayangkan
di awal tahun 2008.

Permulaan mereka agak sukar. Sumber rujukan mereka pada masa tersebut hanyalah
surat khabar, Arkib Negara dan Perpustakaan Negara.

Daripada surat khabar tersebut mereka menghubungi wartawan-wartawan yang tertera
nama mereka pada by-line akhbar. Di situ juga terdapat nama beberapa
tebusan-tebusan terbabit.

Bekas wartawan yang mereka temui menyarankan mereka bertemu dengan tiga individu
penting drama tebusan tersebut iaitu Allahyarham Tan Sri Ghazalie Shafie (yang
masih hidup semasa dokumentari ini diterbitkan), Tun Hanif Omar (bekas Ketua
Polis Negara) dan Datuk Zaman Khan (bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah
Bukit Aman.

Pada masa yang sama kajian masih juga berjalan untuk mencari tebusan-tebusan
yang terbabit.

Mereka telah ke Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di sini untuk bertemu dengan
seorang kakitangan rakyat tempatan mereka yang telah menjadi tebusan kejadian
itu.

Beliau telah memberi maklumat tentang kejadian tersebut tetapi tidak mahu
ditemuramah untuk dokumentari ini. Menurutnya beberapa kakitangan tempatan
kedutaan AS yang menjadi tebusan telah bersara dan pulang ke negara itu.

Seterusnya mereka telah menemui isteri bekas pegawai tinggi polis yang turut
menjadi tebusan. Beliau sedikit sebanyak turut membantu dalam penyelidikan ini
namun tidak mahu ditemuramah untuk dokumentari ini.

Mereka kemudiannya telah menemui bekas pemandu Kedutaan Sweden yang turut
diserbu pengganas JRA. Namun atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan
(percanggahan fakta), temuramah beliau tidak dapat disiarkan.

Justeru itu, orang pertama yang mereka temuramah untuk dokumentari ini ialah
seorang pakar pemusnah bom, Datuk Panglima Jamil, individu yang bertanggung
jawab memusnahkan bom yang dibawa oleh perampas.

Individu seterusnya yang ditemuramah ialah Kapten Hassan, bekas juruterbang
Penerbangan Malaysia.

Beliau telah diminta untuk standby oleh King Ghaz. Beliau terlibat setelah
pesawat JAL yang membawa tujuh anggota JRA dari Jepun (sebagai pertukaran dengan
tebusan) di Lapangan Terbang Antarabangsa Subang.

Pada masa rundingan dijalankan, pihak kerajaan Jepun cuba melengahkan pertukaran
tebusan dengan memberi alasan juruterbang JAL memerlukan rehat sebelum terbang
ke Libya dan pelbagai alasan lain.

Ghazalie Shafie mengugut untuk merampas pesawat JAL (Kapten Hassan on standby)
dan mempercepatkan proses pertukaran tebusan dan penerbangan ke Libya.

Temuramah bersama Zaman telah memberi gambaran yang lebih tepat tentang taktikal
pihak polis dan bagaimana mereka bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan.

Razlin juga telah dapat menemuramah Sukhdev Singh, seorang pengawal keselamatan
di bangunan tersebut. Semasa kejadian beliau telah ditembak di muka oleh
perampas semasa pergi menyiasat bunyi tembakan di tingkat sembilan (tempat
kejadian).

Daripada temuramah-temuramah yang telah dijalankan, cerita ini tidak cukup kuat
untuk diangkat untuk menjadi sebuah dokumentari. Apa yang mereka ada hanyalah
fakta kejadian namun tidak seorang pun bekas tebusan yang mahu tampil untuk
diwawancara.

Pada masa yang sama, pencarian diteruskan untuk mencari bekas tebusan di luar
negara. Razlin kemudiannya mendapat lampu hijau daripada penerbit eksekutif,
jika keadaan memerlukan, beliau dibenarkan untuk ke luar negara bagi menemuramah
bekas tebusan yang berada di luar negara.

Razlin kemudiannya menghubungi Kedutaan Sweden untuk mendapatkan maklumat
mengenai dua kakitangannya, Bergenstrahle dan Odqvist yang menjadi tebusan.
Beliau pada mulanya kecewa apabila diberitahu bahwa Bergenstrahle telah
meninggal dunia dan Odqvist tidak dapat mereka jejaki.

Tidak berputus asa, Razlin kemudiannya mencari maklumat mengenai Ulla Odqvist di
Internet.

Hasil carian agak sukar kerana nama tersebut adalah nama panggilan di Sweden.

Hasil carian di Internet juga, Razlin dan teman-temannya melakukan proses
elimination di mana individu yang bernama 'Ulla Odqvist' yang berumur bawah 50
tahun dan tidak pernah bekerja di Malaysia atau Asia Tenggara, dikeluarkan
daripada senarai pendek mereka.

Hasilnya, hanya tinggal beberapa orang sahaja 'Ulla Odqvist' yang perlu mereka
hubungi untuk mendapatkan kepastian.

Alhamdulillah, 'Ulla Odqvist' yang pertama mereka hubungi ialah 'Ulla Odqvist'
yang sebenar yang pernah menjadi tebusan di bangunan AIA. Beliau agak terkejut
menerima panggilan telefon kami dan menyangka tidak ada sesiapa yang akan
mengingati kejadian tersebut.

Setelah mendapat kepastian dan beliau juga bersetuju diwawancara untuk
dokumentari ini. Setelah dibuat perhitungan, adalah lebih baik dari segi kos dan
nilai estetika dokumentari ini, untuk dibawa Ulla Odqvist ke Malaysia.

Mereka hanya membayar tiket kapal terbang, tempat tinggal, makan minum dan
'elaun' untuk beliau dan seorang anaknya. Dari segi kos, ia adalah penjimatan
kerana kos untuk membawa crew penerbitan ke negara itu adalah lebih mahal.

Apabila berada disini, Ulla Odqvist dibawa kembali ke tempat kejadian. Beliau
juga telah membawa beberapa keping gambar bilik kedutaan Sweden yang telah
digeledah semasa drama tebusan tersebut. Beliau berada di sini selama seminggu.
Kedatangan beliau kali ini ialah kali pertama sejak kejadian tersebut berlaku.

Pada masa yang sama berusaha untuk menjejaki Tan Sri Osman Cassim dan Dato Ramli
Omar yang terbabit dalam pertukaran tebusan dan terbang bersama pegawai tinggi
Jepun dan anggota JRA ke Tripoli, Libya sebagai cagaran.

Razlin dan teman-temannya berjaya menjejaki Osman melalui Internet, namun
malangnya mereka diberitahu Ramli telah meninggal dunia. Setelah berjaya
menghubungi Osman, temujanji telah dibuat untuk menemuramah beliau bersama Ulla
Odqvist.

Temuramah mereka telah berjaya mempertemukan dua individu yang terlibat secara
langsung dengan drama tebusan tersebut.

Melalui mereka berdua, Razlin telah mendapat gambaran sebenar apa yang berlaku
di dalam bangunan AIA - daripada Ulla Odqvist - semasa drama tebusan tersebut
dan juga gambaran di dalam kapal terbang semasa dalam perjalanan dari Kuala
Lumpur ke Tripoli (daripada Osman).

Ini bermakna cerita mengenai drama rampasan tersebut telah lengkap. Atas sifat
ingin tahu, Razlin ingin mengetahui apa yang berlaku sebelum dan selepas
rampasan tersebut, dan kenapa Malaysia dipilih sebagai sasaran dan bukannya
negara lain. Jawapan kepada persoalan tersebut hanya ada pada anggota JRA.

Cabaran bagi Razlin ialah untuk mencari mereka. Tidak ada maklumat siapa lima
anggota JRA yang merampas bangunan tersebut. Mereka juga tidak ada maklumat
dengan siapa Razlin perlu berhunbung untuk menemuramah anggota JRA. Pendek kata
Razlin menemui jalan buntu.

Penyelidikan lanjut memberi Razlin sedikit petunjuk bagaimana hendak mendapatkan
maklumat daripada anggota JRA. Sedikit latar belakang JRA telah membantu mereka.

JRA diketuai oleh Fuzako Shigenobu - seorang wanita - dan berpangkalan di
Lubnan. Dia mempunyai seorang anak perempuan, May Shigenobu yang dilahirkan dan
dibesarkan di Lubnan. Suatu hari Fusako Shigenobu telah ditangkap di Osaka
(tidak diketahui bagaimana beliau menyusup kembali ke Jepun dari Lubnan) dan
dipenjarakan atas beberapa pertuduhan.

Apabila ibunya ditangkap, May Shigenobu mengambil keputusan untuk ke Jepun buat
pertama kali. Di Jepun, beliau menyambung pengajiannya dan mengajar di
Universiti di Jepun. Razlin berusaha untuk mencari beliau melalui Internet.
Akhirnya dia berjaya mendapat alamat e-mel beliau di laman sosial, Facebook.
Dengan bantuan rakan sekerja, mereka berhubung dengan beliau melalui Facebook.

May Shigenobu telah menghubungkan Razlin dengan seorang anggota dan jurucakap
JRA, Masao Adachi. Beliau bersetuju untuk ditemuramah dan menceritakan tentang
kejadian tersebut.

Razlin kemudiannya mengambil keputusan untuk ke Jepun kerana mereka akan menemui
beberapa anggota JRA yang lain. Tetapi sebab yang paling utama ialah subjek
utama Razlin, Masao Adachi tidak dibenarkan ke luar negara atas sebab-sebab
subversif.

Lalu pada penghujung bulan Mei 2008, Razlin dan jurukamera, Jimang terbang ke
Jepun.

Masao telah menceritakan sebab Malaysia dipilih dan apa yang berlaku sebelum
rampasan, bagaimana senjata api dibawa masuk dan apa yang berlaku kepada
perampas selepas tiba di Tripoli.

Ada satu perkara yang membuatkan Razlin tertanya-tanya. Masao Adachi adalah
seorang yang kecil fizikalnya walaupun selepas dibandingkan dengan purata saiz
orang Jepun yang lain.

Cara beliau gambarkan kejadian tersebut adalah sangat tepat seolah-olah beliau
merupakan salah seorang perampas tersebut. Sehingga ke saat ini tidak dapat
dibuktikan siapa perampas tersebut kerana mereka sentiasa memakai topeng.

Daripada bahagian filem yang diambil oleh RTM, salah seorang perampas tersebut
lebih kecil daripada average Japanese yg lain, hampir menyerupai fizikal Masao
Adachi!

Di akhir perbualan mereka, Razlin bertanya satu soalan “Are you one of the
hostage taker?” (Adakah anda salah seorang perampas?).

Razlin memberitahu alasan tersebut kepadanya. Beliau tersenyum dan mengambil
masa untuk menjawab “No”. Mungkin “ya”, mungkin “tidak” hanya Tuhan saja yang
tahu dan Razlin percaya beliau salah seorang daripadanya.

Sebelum berlepas ke Jepun, Razlin telah dibenarkan untuk melihat fail polis
mengenai kejadian tersebut. Daripada senarai nama tebusan, kebanyakan daripada
mereka ialah kakitangan kedutaan, kakitangan insurans AIA, pelancong asing dan
orang tempatan yang berurusan dengan kedutaan AS.

Ada dua nama yang menarik perhatian Razlin. Mansor Jusoh adalah pelajar di
Universiti Malaya dan seorang lagi individu, seorang penjual ayam di Pasar Chow
Kit. Menagapa mereka berada di sana?

Razlin tidak mengetahui kenapa penjual ayam itu berada di sana. Sebelum berlepas
ke Jepun, Razlin mengarahkan rakannya untuk mencari di semua universiti (melalui
laman web mereka) jika ada pensyarah yang bernama Mansor Jusoh.

Razlin percaya beliau ke sana untuk mengambil visa bagi melanjutkan pelajaran ke
AS. Benar telahan tersebut dan setelah disiasat, mereka berjaya menemui Mansor
yang mengajar di UKM.

Sekembali ke Malaysia, mereka telah menemuramah Dr. Mansor. Sedikit terkilan
kerana mereka tidak menemuinya semasa Ulla Odqvist masih berada di Malaysia.

Individu terakhir yang ditemuramah Razlin ialah bekas Ketua Polis Negara. Hanif
memberi maklumat daripada aspek rundingan dan bagaimana ia berlaku.

Ghazalie, orang yang paling penting dalam krisis tebusan ini tidak dapat
ditemuramah kerana diberitakan beliau sangat uzur pada ketika itu.

Setelah lengkap, tiba masanya untuk membuat skrip. Skrip mengambil masa untuk
dihasilkan. Banyak temuramah yang terpaksa digugurkan daripada dokumentari ini
kerana tidak cukup masa untuk menampung semuanya.

Sebelum masuk ke bilik suntingan, Razlin telah mendapatkan rakaman filem
(teknologi video belum ada di Malaysia ketika itu) hari kejadian. Footage
sepanjang 40 minit sedikit sebanyak membantu untuk memberi kesan realisme
didalam dokumentari tersebut.

Keseluruhannya proses suntingan mengambil masa lebih kurang sebulan.
Keseluruhannya dokmentari ini mengambil masa lebih kurang dua tahun untuk
disiapkan. Walaupun mengambil masa yang lama, ianya berbaloi apabila difikirkan
isi kandungan yang berjaya mereka hasilkan.

Sesungguhnya saya cukup berbangga dengan usaha bersungguh-sungguh Razlin dan
krunya yang begitu cekal dan teliti menghasilkan dokumentari ini.

Mungkinkah suatu hari nanti National Geographic atau Discovery akan mengangkat
dokumentari ini di dalam saluran mereka?

Berdasarkan kesungguhan Razlin dan teman-temannya itu, ia bukanlah mustahil
untuk berlaku.

SYAHRIL A. KADIR adalah blogger dan bekas wartawan kanan jenayah yang pernah
bertugas di akhbar arus perdana serta media elektronik tanah air. Blog beliau
boleh dilawati di www.syahrilkadir.wordpress.com


()"" ' )   Nakhai’e
( ,'o' )") http://www.naimqlate.blogspot.com
(,,)(")(")
Hari ini adalah PEMBERIAN, manfaatkanlah sebaik-baiknya kerana semulia-mulia
hamba ialah yg paling tinggi TAQWAnya. Semalam adalah SEJARAH maka
beristighfarlah utknya dan bersyukur atas kurniaan HIDAYAH dari-NYA kerana
sebaik-baik ZIKIR adalah ISTIGHFAR dan sebaik2 DOA adalah ALHAMDULILLAH. Esok
adalah MISTERI yg pada-NYA terletak angan2 dan sebijak2 manusia ialah yg
sentiasa mengingati kematiannya lalu mempersiapkan diri menghadapi kehidupan yg
kekal abadi selamanya. Wassalam sahabat group semua, semoga kita semua dibawah
rahmat Allah selalu, Amin.


Kirim email ke