DZC <[EMAIL PROTECTED]> wrote:
 
MEMAHAMI ISLAM ADALAH AGAMA YANG LENGKAP

 

Islam adalah agama yang lengkap lagi sempurna. Kesempurnaan ini diistilahkan dalam bahasa Arab sebagai syumul. Setiap bidang dan aspek yang berkaitan dengan kehidupan telah difokuskan oleh Islam. Ia adalah agama kerohanian dan material, dunia dan akhirat, roh dan jasad, hidup dan mati, ibadah dan politik serta manusia dan alam. Allah berfirman, “Pada hari ini telah Aku sempurnakan agamamu untuk kamu dan telah Aku sempurnakan nikmatKu ke atasmu dan telah Aku redai Islam menjadi agamamu..” (Surah Al-Maidah ayat 3)

 

Berhubung dengan ayat ini Imam Ibn Kathir dalam Tafsir Al-Quran Al-Azim berkata: “Ini merupakan nikmat yang paling agung yang dikurniakan Allah kepada umat ini. Apabila Allah menyempurnakan agama ini, umat Islam tidak memerlukan agama lain selain Islam dan mereka juga tidak memerlukan Nabi lain (selepas Nabi Muhammad). Tidak ada perkara yang halal melainkan apa yang dihalalkan agama dan tidak ada perkara yang haram melainkan yang diharamkan agama dan tidak ada cara hidup melainkan yang berlandaskan syariat yang diturunkan Allah....”

 

Di zaman Rasulullah s.a.w ada golongan yang terkejut apabila mendapat tahu Nabi s.a.w mendidik umat Islam tentang setiap perkara termasuk cara membasuh najis. Abdul Rahman bin Yazid ra berkata, “Seorang lelaki bertanya kepada sahabat Salman Al-Farisi ra, ‘Adakah Nabi kamu mengajar kamu tentang setiap perkara termasuk yang berkaitan dengan buang air besar?’ Salman ra menjawab, ‘Benar, Baginda melarang kami menghadap kiblat ketika membuang air besar atau air kecil, melarang kami menggunakan tangan kanan ketika beristinjak (iaitu bersuci selepas buang air), melarang kami dari menggunakan kurang dari tiga biji batu untuk beristinjak dan melarang kami dari menggunakan najis dan tulang ketika beristinjak’.” (Riwayat Tarmuzi – Hasan Sahih)

 

Dalam Usul 20, Imam Hasan Al-Banna merumuskan konsep kesempurnaan Islam ini dengan berkata, “Ajaran Islam adalah menyeluruh mencakupi kesemua bidang kehidupan. Islam adalah negara dan watan, atau pemerintah dan umat. Ia adalah akhlak dan kekuatan, atau rahmat dan keadilan. Ia juga adalah pengetahuan dan undang-undang, atau ilmu dan kehakiman. Islam juga menekankan tentang aspek kebendaan dan harta, atau usaha dan kekayaan. Di samping itu Islam juga mementingkan jihad dan dakwah, atau ketenteraan dan fikrah. Islam adalah akidah yang benar dan ibadah yang sah.”

 

Oleh kerana Islam adalah agama yang lengkap lagi sempurna, Allah memerintahkan agar ajaran yang lengkap itu dilaksanakan sepenuhnya berdasarkan firmanNya yang bermaksud, “Wahai mereka yang beriman, masuklah ke dalam Islam secara keseluruhannya dan janganlah kamu ikut langkah-langkah syaitan. Syaitan merupakan musuh yang nyata bagimu.” (Surah Al-Baqarah ayat 208)

 

Berhubung dengan ayat ini, Imam Ibn Kathir di dalam Tafsir Al-Quran Al-Azim berkata, “Allah mengarahkan hambaNya yang mukmin yang membenarkan RasulNya agar berpegang dengan segala ikatan Islam dan syariatnya serta melaksanakan ajaran Islam sepenuhnya di samping meninggalkan segala larangannya sedaya upaya mereka.....”

 

Jika umat Islam mengutamakan ajaran dan cara hidup yang lain, mereka boleh diumpamakan seperti seorang yang membuang permata untuk digantikan dengan kaca. Allah berfirman, “Sesiapa yang menggantikan nikmat Allah (dengan yang selainnya) selepas ia dikurniakan  dengannya, sesungguhnya Allah amat keras seksaannya”. (Surah Al-Baqarah ayat 211)

 

As-Syeikh Said Hawa di dalam Al-Asas fit Tafsir berkata, “Antara perbuatan yang boleh dikategorikan sebagai menggantikan nikmat Allah ialah, menggantikan sistem, undang-undang dan perlembagaan Islam dengan yang lain daripada Islam, menggantikan akhlak Islam dengan etika dan moral jahiliah dan menggantikan kefahaman Islam dengan kefahaman jahiliah. Sebenarnya umat Islam pada hari ini telah melakukan kesemua ini justeru adakah kita berasa pelik apabila akhirnya bala Allah menimpa kita?”

 

Nukilan Hamba Allah,

Dr. Danial bin Zainal Abidin (M.B.Ch.B., Alexandria),

Penulis buku "Perubatan Islam Dan Bukti Sains Moden" dan "Empayar Minda Muslim".

 



Solehah women SMILE in trouble, gather strength from DOA and grow brave by ISTIGHFAR & SOLAT.
 


Do you Yahoo!?
Yahoo! SiteBuilder - Free, easy-to-use web site design software

Kirim email ke